`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, April 3, 2024

Tak untung bakar kemarahan guna sentimen agama, Nik Nazmi nasihat Akmal

 

Nik Nazmi Nik Ahmad menasihatkan Dr Akmal Saleh supaya menghayati titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim supaya berhenti menggunakan isu stoking kalimah Allah sebagai modal politik.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin PKR menasihatkan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh supaya berhenti menggunakan isu stoking kalimah Allah untuk memperkenalkan diri ke medan politik yang tidak akan bertahan lama.

Naib Presiden Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa sikap exco Melaka itu didakwa telah mengundang reaksi agresif segelintir pihak yang membuat serangan bom petrol terhadap tiga premis serbaneka KK Mart.

Menurutnya, menggunakan sentimen agama untuk membakar kemarahan dan menimbulkan rasa tidak senang di kalangan rakyat adalah tindakan tidak menguntungkan.

“Nasihat saya kepada Akmal selaku mantan ketua pemuda parti (PKR), keinginan memperkenalkan diri ke medan politik dengan isu seperti ini tidak akan bertahan lama.

“Carilah isu yang benar-benar kritikal dan menguntungkan rakyat. Islam agama yang menjunjung keadilan, namun turut menekankan sikap rahmah,” katanya dalam kenyataan.

Nik Nazmi yang juga menteri sumber asli dan kelestarian alam mengakui tindakan KK Mart telah mengguris hati umat Islam namun tindakan telah diambil termasuk mendakwa mereka terbabit selain mengemukakan permohonan maaf

“Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah kepada semua pihak perlu berhenti mengambil kesempatan ke atas isu stoking tertera kalimah Allah kerana perkara itu sudah dalam proses perundangan.

“Sepatutnya Akmal menghayati titah Yang di-Pertuan Agong dan berhenti menggunakan isu ini sebagai modal politik,” katanya.

Hari ini, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Pengasas Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd Chai Kee Kan yang memohon ampun dan maaf kepada Seri Paduka Baginda serta seluruh umat Islam berhubung isu stoking tertera kalimah Allah.

Kontroversi KK Mart bermula 13 Mac lalu apabila beberapa gambar stoking tertera kalimah Allah ditemui di cawangannya di Bandar Sunway tersebar di media sosial, sekali gus mencetuskan kemarahan orang Islam dan desakan boikot oleh Pemuda Umno.

Pada 26 Mac lalu, Chai dan isterinya Loh Siew Mui yang juga pengarah KK Mart didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain.

Turut didakwa tiga pengarah syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd yang membekalkan stoking berkenaan.

Isu itu berlarutan apabila tiga cawangan KK Mart dibaling bom petrol iaitu di Bidor, Perak dan Kuantan, Pahang serta kejadian terbaru di Kuching, Sarawak. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.