`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, April 11, 2024

Video sedih anak lorong buka hati bukan Melayu bantu Abe Hae

 

NGO Pertubuhan Jejak Jalanan menyediakan juadah berbuka puasa kepada golongan memerlukan di sekitar Chow Kit sepanjang Ramadan lalu.

KUALA LUMPUR: Azhan Adnan masih ingat pertolongan seorang wanita India yang menghubunginya selepas terkesan melihat kesusahan anak-anak miskin bandar sekitar Chow Hidup hidup dalam serba kekurangan, dua tahun lalu.

Ketika itu, beliau atau mesra dengan panggilan Abe Hae baharu memulakan insiatifnya di bawah NGO Pertubuhan Jejak Jalanan menggunakan duit poketnya sendiri dan pastinya memerlukan bantuan kewangan bagi membantu lebih ramai golongan memerlukan di kotaraya.

“Wanita India itu minta nombor akaun bank dan terus masukkan RM500, dia tersentuh melihat video anak-anak lorong tiada pakaian dan kelengkapan bilik tidur baik.

“Sejak itu kami dapat banyak sumbangan dari rakan-rakan bukan Melayu Islam, saya tak kenal mereka dan datang daripada pelbagai latar belakang,” katanya kepada FMT sambil menghargai sumbangan itu yang memberi semangat kepadanya terus berbakti.

Azhan Adnan .

Menurut Azhan, pertubuhannya bermula dengan memberikan nasi bungkus yang kemudiannya ditambah kepada bantuan asas dapur, kelengkapan bilik tidur, dan pendidikan selain sumbangan Ramadan dan Aidilfitri.

“Ramadan tahun ini kita sedia juadah buka puasa sepanjang hari dan untuk Aidilfitri pula mereka dapat bahan asas memasak, pakaian serta duit raya,” ujar pengasas NGO Pertubuhan Jejak Jalanan yang berusia 55 tahun itu.

Beliau menganggarkan kira-kira 300 miskin bandar dan anak lorong telah dibantu NGO Pertubuhan Jejak Jalanan sejak 2022 dengan perbelanjaan sekitar RM600,000, dengan separuhnya disalur untuk menyediakan makanan setiap minggu.


Pusat transit ilmu 

Kini Azhan dan pasukannya mengorak langkah dengan menyediakan pusat transit ilmu di Chow Kit dilengkapi tenaga pengajar untuk mendidik 100 anak jalanan dalam mata pelajaran asas seperti Bahasa Melayu, Inggeris, Matematik, Sains dan Pendidikan Islam.

Menurutnya, ini kerana mereka percaya hanya melalui pendidikan dapat mengubah kehidupan seseorang itu pada masa depan tanpa bergantung selamanya kepada orang lain.

“Menerusi program itu, kita sedia insentif melancong ke luar Kuala Lumpur untuk mereka yang dapat markah lebih 80% dari segi kehadiran dan pertuturan, ini bukan untuk menilai prestasi pelajaran semata-mata.

“Kita mahu didik dari segi moral kerana jika hendak berjaya harus ada adab dahulu, kemudian baru tekan kepada soal penguasaan mata pelajaran,” katanya yang mahu anak jalanan itu menyumbang semula kepada masyarakat apabila mempunyai kehidupan lebih baik pada masa depan.

Perluas bantuan ke seluruh negara 

Azhan turut berkongsi impiannya untuk membantu lebih ramai golongan memerlukan dan miskin di seluruh negara namun ketika ini terpaksa dipendam terlebih dahulu akibat kekangan kewangan.

“Abe ke Kelantan dahulu bermula tahun lalu, tetapi akan datang kalau kewangan cukup mungkin ke negeri lain,” katanya sambil memaklumkan sumbangan motosikal dan peralatan bot turut diberikan kepada mereka yang memerlukan bagi tujuan mencari rezeki.

Azhan bernasib baik kerana selain sokongan sikap pemurah rakyat Malaysia, beliau juga dibantu keluarga yang memahami pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit sepanjang menjalankan kerja amal itu lebih dua tahun lalu.

“Isteri banyak beri semangat ketika berdepan macam-macam ujian dalam menjalankan tugas ini,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.