PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menolak tanggapan ada kelompongan pada sistem imigresen susulan kemasukan seorang lelaki warga Israel yang ditahan Rabu lalu.
Katanya, ini kerana lelaki itu menggunakan pasport Perancis yang tidak salah jika dokumen perjalanan berkenaan sah.
Jelasnya, Malaysia tidak mempunyai masalah dengan Perancis yang mengeluarkannya.
“Namun, ada orang tanya juga…tetapi pejabat pengeluarnya adalah Tel Aviv. Ya, di Tel Aviv ada Kedutaan Perancis. Jadi, bila dia mohon pasport dia (suspek) pergi Kedutaan Perancis.
“Sekarang, timbul percubaan untuk alihkan seolah-olah pemantauan kita tidak kemas ada ‘loophole’ kenapa benar masuk sedangkan dokumen perjalanannya sah. Sebab itu, bila ada tangkapan dan setelah soal siasat, dia (suspek) benar warga Israel,” katanya menurut Kosmo pada sidang media di Klang.
Saifuddin menggesa rakyat memberikan keyakinan penuh kepada tahap profesionalisme siasatan polis.
“Saya diberikan taklimat dari semasa ke semasa berhubung ‘progress’ dan pencapaian mereka (polis) amat bagus setakat ini.
“Dalam tempoh kurang 48 jam, berjaya menangkap individu disyaki pembekal senjata. Mereka kenal pasti motif dan sebagainya. Jadi, biar polis buat penilaian dengan apa yang penting adalah jaminan keselamatan dan ketenteraman awam menjadi keutamaan kita,” katanya.
Saifuddin menegaskan, pasukan keselamatan sentiasa memastikan kedaulatan negara dengan menerima kedatangan pelawat selagi kemasukannya secara tertib dengan dokumen sah.
“Ini kecuali kepada negara yang tiada hubungan diplomatik. Cuma tanggungjawab kita yang mengawal keselamatan pintu masuk memastikan bahawa mereka adalah dari kalangan yang tidak terlibat dengan sebarang bentuk aktiviti ancaman.
“Kita ada jumlah senarai hitam (individu) yang tidak benarkan masuk itu. Profil kita lengkap, itu tak jadi isu,” katanya.
Pada Rabu, seorang lelaki Israel berusia 36 tahun itu ditahan di sebuah hotel Jalan Ampang, bersama enam senjata api dan 200 butir peluru.
Susulan itu, polis kemudiannya menahan pasangan suami isteri warga tempatan berusia 42 dan 40 tahun di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.