Hairan saya mengapa Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin bercakap ‘bunga-bunga’ dan berlapik ketika membangkitkan soal pelantikan peguam negara tempoh hari. Mungkin dua istilah itu kurang tepat.
Apa pun begini. Memang benar semasa berbahas di Dewan Rakyat 13 Nov lalu Mas Ermieyati agak lantang mempersoalkan adakah pelantikan Mohd Dusuki Mokhtar sebagai peguam negara merupakan ganjaran atas peranannya membolehkan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan atau DNAA dari mahkamah.
Ini kata beliau kerana Dusuki sebelum ini merupakan ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara dan terlibat dalam memberi hujah hujah untuk membebaskan Zahid berhubung kes rasuah membabitkan Yayasan Akalbudi tahun lalu.
“Dan adakah disebabkan oleh budi beliau, beliau dapat (jawatan)? Yang ni kata-kata orang ya. Kata-kata di luar sana,” soal Mas Ermieyati.
Mengapa kata ‘orang di luar sana’ yang bertanya? ‘Why not take responsibility’ secara terus-terang kata “saya nak tahu adakah benar Dusuki dapat jawatan AG sebab dia bantu bebaskan Zahid?”
Siapa ‘orang yang berkata di luar sana?’ Adakah beliau maksudkan Bersih? Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil. Sememangnya sehari terdahalu, Bersih mengkritik pelantikan itu atas alasan sama disuarakan Mas Ermieyati. Jika Bersih dimaksudkan sebut saja Bersih berkata sekian-sekian.
Atau adakah ‘orang di luar sana’ merujuk orang ramai? Rakyat jelata? Adakah mereka sedang membincang dan mempersoalkan pelantikan AG? Jika ya kata terus. Tidak perlu samar-samar dengan merujuk ‘orang di luar sana’.
Adakah beliau bimbang akan diambil tindakan undang-undang jika menuding jari kepada mana-mana pihak tertentu? Kata peribahasa kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai. Namun, saya yakin Mas Ermieyati tidak takut. Cuma ingin tahu takkan beliau tidak tahu sebagai Ahli Parlimen beliau berhak membangkitkan banyak perkara dan isu tanpa bimbang disaman dan sebagainya. Ini kerana Ahli Parlimen dilindungi atau ada imuniti untuk bercakap dalam Dewan Rakyat. ‘In fact’ sebagai YB pembangkang memang dijangkakan beliau membawa soal berkenaan ke Dewan Rakyat.
Ini bukan penggal pertama Mas Ermieyati duduk dalam Parlimen. Beliau menjadi Ahli Parlimen Masjid Tanah sejak Mei 2013. Ertinya bukan ‘green horn’ yang tidak tahu apa boleh dicakap apa yang tidak dalam Dewan Rakyat. Malah beliau sekarang ialah pengerusi PAC atau Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.
Tetapi oleh kerana beliau cakap dengan cara yang beliau cakap, Ahli Parlimen Paya Besar Mohd Shahar Abdullah mengemukan Peraturan Mesyuarat 36(6) terhadap beliau. Perintah itu menyatakan bahawa tiada ahli Dewan Rakyat boleh mengaitkan motif tidak wajar kepada seseorang ahli lain. Dalam isu ini Zahid ialah Ahli Parlimen Bagan Datuk.
Shahar mengkritik Mas Ermieyati kerana berhujah berdasarkan ‘hear say’ atau khabar angin. Cakap-cakap kosong. “Adakah yang berhormat suka mengambil ‘hear say’ untuk bawa ke dalam Dewan?” soal beliau.
Jelas, bagi Shahar apabila Mas Ermieyati membawa kata-kata ‘di luar sana’ semasa berucap di Dewan Rakyat itu beliau lihat sebagai membawa ‘hear say’ ke dalam Dewan.
Untuk berlaku adil perlu dinyatakan Mas Ermieyati semasa berbahas ada memetik ucapan Azalina Othman Said dalam satu majlis Umno pada 2022 bahawa perdana menteri waktu itu Ismail Sabri Yaakob mesti melantik salah seorang ‘orang kita’ untuk jadi AG.
Kata Mas Ermieyati “jadi inilah hasilnya. AG adalah salah seorang daripada mereka.” Nyata beliau mengaitkan saranan Azalina kepada Ismail dengan pelantikan Dusuki meskipun Ismail bukan lagi perdana menteri.
Apa pun pelantikan peguam negara memang kerap menjadi atau dijadikan kontroversi. Yang dilantik dituntut adil dan tidak memihak.
Di Amerika Syarikat pada 1960 presiden John Kennedy melantik adiknya Robert untuk memegang jawatan peguam negara. Kontroversi tercetus. Tetapi Robert Kennedy tetap jadi AG.
Itu kisah lama. Kisah baru ialah presiden terpilih Donald Trump menamakan ahli kongres Republikan yang merupakan penyokong kuatnya Matt Gaetz sebagai calon peguam negara.
Gaetz sekuku Trump bukan isunya. Masalahnya ialah Gaetz berdepan tuduhan salah laku seksual dan penggunaan dadah. Walaupun beliau menafikan semua tuduhan langkah Trump itu menggemparkan Washington.
Ironinya sebagai AG Gaetz akan mengetuai Jabatan Keadilan yang kini sedang menyiasat tuduhan terhadapnya. Walaupun belum pasti sama ada Trump akan mencapai hasratnya, beliau tetap mahukan Gaetz . Menurut CNN ‘the president elect has been calling senators to press them to confirm his pick early next year’.
Andai Mas Ermieyati senator AS apa agak beliau lakukan? Sekadar bayangan dalam minda sendiri. Jangan marah ye. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.