`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

21 JUNE 2026

Thursday, June 25, 2026

‘Ghobut koso’ atau perebutan kuasa di Negeri Sembilan

 Sejarah ‘ghobut koso’ ini kerap berulang. Krisis begini bukan sahaja boleh berlaku di Negeri Sembilan malah boleh berlaku di negeri lain juga.

faisal tehrani

Baru-baru ini dalam program saya hadiri di universiti, generasi baharu mahasiswa atau saya hujahkan sebagai Gen Z sahaja di sini, mereka telah mengemukakan satu pertanyaan tunggal yang tulus ikhlas mengenai keadaan politik di Negeri Sembilan. ‘Apakah yang sedang dan telah berlaku di Negeri Sembilan?’

Jawapan saya kepada anak-anak Gen Z itu tidak payah mana pun, ‘yang telah, dan sedang berlaku adalah ghobut koso atau perebutan kuasa’.

Untuk memahamkan siswa-siswa Negeri Sembilan tersebut saya membawa mereka kembali kepada pembentangan yang diberikan oleh mendiang Profesor Khoo Kay Kim dalam ‘Seminar Adat Perpatih dan Wilayah Negeri Sembilan’ dianjurkan antara 3 hingga 5 Mei 1984, bertempat di Universiti Pertanian Malaysia (UPM hari ini). Untuk anak-anak hari ini, saya menjelaskan bahawa Khoo itu adalah seorang sejarawan yang dihormati, dan nama beliau diabadikan di sebatang jalan tidak jauh dari Universiti Malaya.

Menurut Khoo dalam pembentangan berjudul ‘Adat dan Perkembangan Politik: Pembangunan Masyarakat Negeri Sembilan’, mereka yang dikenali sebagai Undang hari ini, adalah sekadar ‘Penghulu Berlantik’. Mereka bukan raja pun.

Perebutan kuasa antara ‘penghulu’ yang perasan raja ini telah mengakibatkan persaingan politik yang sengit sehingga tercipta dua institusi yang diberi nama Yamtuan Muda Rembau, dan Yamtuan Muda Jelebu. Ini berlaku selepas 1832, iaitu di era Yamtuan Besar tidak lagi diangkat daripada mereka yang dijemput dari Minangkabau. Dapatlah difahami, terdapat perebutan kuasa antara putera-putera raja yang dijemput dari Pagar Ruyung dengan ‘putera-putera tempatan’ ini.

Perebutan kuasa antara mereka tentu sahaja melibatkan ‘Penghulu Berlantik’ ini memandangkan mereka adalah pembesar adat yang ada sedikit kuasa dalam menentukan. Jika di negeri-negeri Melayu lainnya (luar Negeri Sembilan) persaingan berlaku sesama putera raja, sanak saudara melibatkan bapa saudara, anak saudara, sepupu-sepapat malah menantu; di Negeri Sembilan ia menjadi lebih rumit kerana luak mempunyai autonomi untuk menentukan dan membuatkan perebutan kuasa bukan sahaja kian sengit, tetapi menjengkelkan. Dalam sejarah, kadangkala keadaan ini menyebabkan ‘perang saudara’. Di Negeri Sembilan terdapat Perang Bukit Putus (1875).

Maka, sejak itu bermulalah pula persaingan sesama datuk penghulu ini. Perbilangan Adat Perpatih yang menekankan kepada muafakat selalunya tinggal perbilangan sahaja. Malah kadangkala dalam banyak keadaan hukum-hakam adat ini ditafsirkan sesuka hati, dan ditunggang oleh pihak yang beragenda. Khoo menulis panjang lebar begini:

“Persaingan ini bukan hanya berlaku di kalangan anak raja-raja sendiri kerana takhta tidak menjamin kuasa, tetapi sebagaimana telah disebutkan, menurut tradisi, kuasa politik terserah kepada Penghulu Berlantik. Maka persaingan antara anak raja-raja dengan para datuk penghulu tidak dapat dielakkan bila anak raja-raja cuba merebut kuasa. Kalau dibandingkan sejarah Negeri Sembilan antara 1820-an hingga 1860-an dengan sejarah negeri-negeri Melayu lain pada tempoh sama, ternampak bahawa banyak persamaan wujud. Yang sama bukanlah organisasi atau struktur sosial; yang sama adalah ‘power politics’. Di negeri-negeri Melayu lain, penggantian merupakan suatu masalah yang rumit. Sistem tradisional membenarkan mereka yang dianggap waris bersaingan untuk merebut takhta. Yang dianggap waris pula biasanya terdiri daripada ramai calon – selain daripada putera raja yang baru mangkat, termasuk juga sanak saudaranya seperti bapa saudara, anak saudara, sepupu dan, kadang-kadang, menantu juga. Keadaan di Negeri Sembilan sebenarnya jauh lebih kompleks kerana berbanding dengan negeri-negeri lain, dari segi strukturnya, Negeri Sembilan bukan sebuah kerajaan unitary. Setiap luak mempunyai kuasa autonomi yang besar. Bahkan pernah dituntut bahawa Negeri Sembilan sesungguhnya merupakan suatu ‘persekutuan’. Sama ada ini benar atau tidak bukan soal yang mustahak; memadailah kalau dikatakan bahawa struktur politiknya mengakibatkan keadaan di mana persaingan berlaku bukan hanya di peringkat alam (negeri keseluruhannya) tetapi juga di peringkat luak (jajahan). Sebagai permulaannya telah diikhtiarkan supaya politik di Negeri Sembilan seharusnya berasaskan muafakat:

Bulat anak buah menjadi buapak,
Bulat buapak menjadi lembaga,
Bulat lembaga menjadi penghulu,
Bulat penghulu menjadi raja.

Pada praktiknya muafakat (sebulat suara) amat sukar dicapai. Dari segi politik, Adat Perpatih tidak mendatangkan apa-apa keistimewaan kepada Negeri Sembilan; maksudnya ia tidak berdaya menghapuskan konflik.”

Nah, lihat apa yang disebutkan oleh Khoo itu. Kepada siswa-siswa Negeri Sembilan itu saya syarahkan yang, seperti mana di negeri-negeri lain, perebutan kuasa ini terjadi kerana faktor kebendaan. Khoo menyebutkan ia sebagai ‘perkembangan ekonomi’. Saya kutip lagi dari kertas pembentangan beliau itu:

“Ada Perpatih juga tidak menjadikan Negeri Sembilan lebih ‘resilient’ pada waktu perkembangan ekonomi berlaku pada pertengahan kurun ke-19. Pembukaan lombong di Sungai Ujong sebagaimana di Larut dan Lembah Klang membuka peluang untuk pembesar tempatan menambahkan pendapatan masing-masing jika sekiranya seseorang itu berkuasa di tempat yang mengalami perkembangan ekonomi. Maka, pada pertengahan kurun ke-19 berlakulah pergelutan di Negeri Sembilan untuk mengawal satu-satu kawasan yang produktif atau kawasan-kawasan di sepanjang Sungai Linggi yang menghubungkan lombong Sungai Ujong dengan pelabuhan Melaka. Perang berulang kali berlaku di sepanjang Sungai Linggi sehingga eksport dan import tergendala, yang banyak menanggung kerugian ialah saudagar-saudagar di Melaka yang telah melaburkan modal…”

Penjajah British memerlukan keamanan untuk merompak hasil-mahsul negeri ini, maka mereka mendamaikan semua ‘Penghulu Berlantik’ ini dan mereka diberi gelar baharu, Undang. Ekoran itu, dalam satu perjanjian pada tahun 1898, institusi Yang Dipertuan Besar lahir sebagai raja berdaulat untuk Negeri Sembilan, maka untuk memberi sedikit muka kepada penghulu atau Undang yang suka berebut kuasa dan keuntungan ini, British menyatakan mereka dibenar secara adat untuk memilih Yamtuan Besar (Yang Dipertuan Besar), dengan harapan tiada lagi pergaduhan atau perang terjadi. Yamtuan Besar Tuanku Muhammad ibni Yamtuan Tuanku Antah kemudian memerintah dengan aman (1888-1933). Keamanan yang datang itu seterusnya membolehkan British melombong sesuka hati tentunya, dan para Undang ini ditutup mulut dengan beroleh imbuhan lumayan dengan sekian-sekian jumlah.

Demikianlah zaman-berzaman, ‘perkembangan ekonomi’ akan bertaut rapat dengan ‘ghobut koso’. Fahamilah anak-anak itu sambil melihat lingkungan.

Pilihan raya Negeri Sembilan yang bakal berjalan tidak lama lagi adalah satu referendum untuk rakyat Negeri Sembilan, baik mereka itu orang suku atau orang luar (penghijrah atau orang datang), asalkan berhak mengundi maka mereka berhak memilih. Dalam erti kata lain, pengundi di Negeri Sembilan ketika PRN mendatang perlu memilih antara status quo iaitu Yamtuan Besar Negeri Sembilan sekarang, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang menurut saya ‘berkeadilan’ menurut undang-undang adat purbakala; atau memilih kumpulan yang disebut-sebut dalam sejarah sebelumnya. Tidak dapat tidak anda di Negeri Sembilan perlu turun mengundi.

Kita tidak perlukan British datang untuk menghentikan perang saudara di Bukit Putus. Saya berpendapat Gen Z yang mesti mengajar kelompok yang tidak semenggah ini untuk berhenti berebut materi atau duniawi. Jadilah generasi baharu Adat Perpatih yang celik sejarah, celik demokrasi dan antiperebutan kuasa. Ajari generasi lama yang tidak sedar-sedar diri. Berikan mereka pengajaran dan pendidikan sewajarnya.

Sejarah ‘ghobut koso’ ini kerap berulang. Bukan itu sahaja, krisis begini bukan sahaja boleh berlaku di Negeri Sembilan; ia boleh berlaku di negeri lain juga. Tiada yang terkecuali. Ini satu keadaan yang mesti diinsafi oleh semua; baik rakyat, raja-raja, dan para pembesar. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.