Akauntan kanan Khalid Ahmad berkata siasatan itu telah meneliti laporan Jabatan Audit Negara sebelum menolak pendapat audit tanpa teguran yang diberikan.

Khalid Ahmad, bekas presiden jawatankuasa penasihat Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA), memberitahu FMT bahawa laporan audit itu sepatutnya mencerminkan pandangan serta kebimbangan lengkap juruaudit.
“Apakah yang beliau akui? Adakah beliau mengakui bahawa ada perkara tertentu yang disimpan untuk dirinya sendiri dan tidak dimasukkan dalam laporan? Bahawa beliau merahsiakannya?” soalnya.
“Apabila juruaudit mengeluarkan laporan, itulah keputusan muktamad. Tiada lagi pandangan, kebimbangan atau kerisauan yang tidak ditulis atau tidak dinyatakan daripada pihak juruaudit,” katanya.
Beliau berkata Madinah sudah menjalankan tanggungjawabnya dengan menyatakan kesediaan untuk hadir di hadapan RCI dan terpulang kepada anggota suruhanjaya untuk menentukan sama ada mereka memerlukan keterangannya.
“Beliau tidak boleh menyalahkan RCI dalam perkara ini. RCI menerima laporan beliau seadanya. Bagaimana mereka hendak tahu jika sebenarnya ada perkara lain yang disimpan oleh beliau selain daripada apa yang terkandung dalam laporan?” katanya.
Khalid berkata demikian susulan kenyataan Madinah mempertahankan audit Jabatan Audit Negara terhadap TH bagi 2017 selepas laporan RCI itu dikeluarkan.
Madinah menegaskan jabatan berkenaan betul dalam memberikan pendapat audit tanpa teguran dengan dua perenggan ‘penegasan perkara’ (EOM) , sambil menegaskan keputusan itu dibuat berdasarkan bukti audit dan piawaian pengauditan antarabangsa.
Beliau menjelaskan EOM dimasukkan bagi menarik perhatian kepada isu penting dalam akaun tanpa mengubah pendapat audit secara keseluruhan.
Madinah turut berkata pemberian pendapat audit berteguran tanpa memenuhi piawaian yang ditetapkan boleh menjejaskan proses audit serta memberi implikasi besar terhadap keyakinan pihak berkepentingan.
Bagaimanapun, RCI mengkritik jabatan itu kerana mengambil kira keyakinan pendeposit ketika menentukan kandungan pendapat audit, dengan menyatakan perkara sedemikian berada di luar skop sesuatu audit.
RCI membuat kesimpulan bahawa TH tidak sepatutnya diberikan sijil audit tanpa teguran bagi 2017.
Madinah turut berkata beliau sudah menyatakan kesediaan untuk memberi keterangan kepada RCI tetapi tidak dipanggil berbuat demikian. Dakwanya, RCI akan membuat dapatan berbeza sekiranya beliau memberikan keterangan.
Khalid mempersoalkan apakah maklumat tambahan yang boleh diberikan Madinah, sambil menegaskan tanggungjawab juruaudit adalah untuk memasukkan semua kebimbangan dalam laporan itu sendiri.
“Anda tidak boleh menyimpan sesuatu perkara sebagai rahsia selama hampir 10 tahun kemudian berkata, ‘Saya menjangkakan akan dipanggil. Kalau mereka panggil saya, saya akan beritahu perkara ini.’ Selama 10 tahun? Bagi saya, ia sangat pelik,” katanya.
Tambahnya, kenyataan Madinah bahawa audit tidak menemui bukti kecurian tidak menjawab kritikan utama RCI yang sebaliknya tertumpu kepada kaedah perakaunan, kemerosotan nilai aset, kegagalan tadbir urus serta pembayaran hibah walaupun mengambil kira kedudukan kewangan TH.
“Laporan audit tidak pernah menggunakan perkataan ‘sakau’. Ada istilah yang lebih tepat untuk itu – salah laku, penyelewengan, pecah amanah dan pakatan sulit.
“Dapatan RCI tertumpu kepada kaedah perakaunan, kemerosotan nilai aset dan kegagalan tadbir urus. Itulah pertikaian utamanya,” katanya.
RCI mendapati TH melaporkan keuntungan RM3.4 bilion pada 2017 sedangkan ia sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion sekiranya piawaian pelaporan kewangan berkaitan diterapkan sepenuhnya.
Suruhanjaya itu berkata isu yang diketengahkan sebagai EOM sepatutnya dikategorikan sebagai ketidakpatuhan serius.
Ia berkata tanpa sijil audit tanpa teguran tersebut, TH tidak sepatutnya mengisytiharkan hibah berjumlah RM2.75 bilion bagi tahun berkenaan. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.