`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

31 AUGUST 2026

Wednesday, September 2, 2026

Penyelidikan perlu jadi penyelesaian cabaran sebenar, titah Raja Muda Perlis

 Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah kemajuan sebenar bergantung kepada sejauh mana perubahan mampu dicipta untuk beri manfaat kepada masyarakat.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Canselor UniMAP berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Global Trends in Engineering and Science Technology Congress di Pulau Pinang semalam. (Gambar Istana Arau)
PETALING JAYA:
Penyelidikan merupakan antara pemangkin penting dalam membawa kemajuan dan pembangunan negara, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah, hasil penyelidikan tidak seharusnya sekadar tersimpan dalam bentuk laporan, jurnal atau penerbitan semata-mata tetapi perlu dimanfaatkan untuk mencari penyelesaian kepada cabaran sebenar, membantu masyarakat dan memelihara alam sekitar.

“Dalam kita terus meneroka bidang baharu dalam sains dan teknologi, kita juga perlu memastikan setiap kemajuan yang dicapai mengambil kira kepentingan alam sekitar dan generasi akan datang”.

“Kemajuan yang sebenar bukan hanya tentang sejauh mana kita mampu melangkah, tetapi sejauh mana kita mampu mencipta perubahan yang memberi manfaat dan terus dirasai oleh generasi akan datang,” titah Baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bertitah demikian ketika berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Global Trends in Engineering and Science Technology Congress (GTEST 2026) di Pulau Pinang, semalam.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Tuanku Pro Canselor UniMAP dan anakanda puteri kedua Baginda berdua Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Naib Canselor UniMAP Zaliman Sauli.

Kongres antarabangsa anjuran UniMAP itu menjadi wadah penting yang menghimpunkan akademia, penyelidik, jurutera serta pakar industri dari seluruh dunia bagi berkongsi pengetahuan, meneroka perkembangan terkini dan memperkukuh jaringan kerjasama dalam bidang kejuruteraan serta sains dan teknologi.

Penganjurannya kali ini turut memperkukuh jalinan antarabangsa menerusi kolaborasi strategik bersama Tokyo University of Science (TUS), Jepun, selain menggabungkan beberapa persidangan berprestij termasuk Western Belt Electronics Technology Conference (WESTAC 2026), IQ-SITE 2026 dan IC-BUSCLi 2026.

Kongres yang berlangsung mulai semalam itu dijangka menampilkan ratusan kertas kerja penyelidikan mutakhir yang mengetengahkan perkembangan dan trend global, kelestarian serta inovasi dalam bidang kejuruteraan, sains dan teknologi.

Sempena majlis berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) antara UniMAP dengan rakan strategik daripada sektor industri dan akademia.

Antara MoU yang dimeterai melibatkan Renesas Semiconductor Malaysia Sdn Bhd, Maths Proofread, Aemulus Corporation, Horizontal Integration Malaysia Sdn Bhd, AT&S Austria Technologie & Systemtechnik (Malaysia) Sdn Bhd serta Altera Malaysia.

Manakala MoA pula melibatkan Cancer Survivors Malaysia, Renesas Electronics (Penang) Sdn. Bhd. dan ADA Biotech Sdn Bhd.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyaksikan penyerahan cek geran penyelidikan daripada pihak industri kepada UniMAP oleh Fermpro, Cancer Survivors Malaysia, Renesas dan Nagoya, sebagai sokongan terhadap usaha memperkukuh aktiviti penyelidikan dan pembangunan universiti. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.