`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


16 SEPTEMBER 2026

Tuesday, November 3, 2026

Gen Z pemimpin kita

 Sesebuah negara itu hebat kerana pemimpinnya sentiasa mempunyai idea segar, bertenaga dan bersemangat melaksanakan visinya tanpa mengira berapa pun usianya.

ronasina

Baru-baru ini calon muda Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Kuala Linggi pada PRN Melaka, menarik perhatian ramai apabila mendakwa berjaya membantu menyelesaikan masalah penalti cukai lebih RM70,000 yang menghimpit sebuah persatuan nelayan sejak beberapa tahun lalu. Kemudian calon tersebut mengisytiharkan ‘This is how Gen Z works (beginilah cara Gen Z bekerja)’.

Kenyataan itu mengundang pelbagai reaksi. Penyokong parti menyatakan inilah generasi yang kita mahu, muda dan pantas tidak seperti pemimpin tua yang lambat, malas dan banyak main politik. Penyokong parti lawan pula sudah pastilah mentertawakan dan memperlekehkan kenyataan tersebut. Katanya ‘budak ini’ berangan.

Dakwaan calon tersebut menggambarkan seolah-olah selama ini orang tua tidak mampu menjadi pelaksana yang berkesan. Memang di media sosial pun sering kita lihat warga Malaysia bawah 60 tahun menyatakan rasa muaknya melihat muka pak cik-pak cik di Parlimen yang telah pun mereka lihat sejak kecil lagi. Sebab itu selalu timbul saranan agar kita tolak pemimpin tua dalam pilihan raya.

Soalannya, apakah sekarang kita benar-benar perlukan orang muda sebagai peneraju barisan hadapan dalam pentadbiran negara? Dan kali ini calon Gen Z sendiri telah mengangkat dirinya dan mendakwa generasinya mampu mengambil alih kerja ini dengan lebih efisien.

Di Threads sering saya lihat Gen Z bertekak dengan Gen Y (milenial). Masing-masing mahu membuktikan generasi merekalah paling bagus. Maksudnya, kami Gen X dan Boomers ni kira dinosaurlah, kena duduk di tepi diam-diam.

Tapi benar, memang perkembangan dunia hari ini sedang menyaksikan kebangkitan politik anak muda. Di Nepal, demonstrasi besar-besaran pada September 2025 yang digerakkan anak muda akibat kemarahan terhadap rasuah, nepotisme dan sekatan media sosial akhirnya membawa kepada kejatuhan kerajaan. Pada Mac 2026, Balendra Shah, bekas penyanyi rap berusia 35 tahun muncul sebagai perdana menteri baharu negara itu. Walaupun Shah sendiri tergolong dalam Gen Y, naiknya dia sebagai perdana menteri tidak dapat dipisahkan daripada gelombang perubahan yang digerakkan oleh Gen Z.

Di Kenya, anak muda bangkit menentang dasar percukaian dan tekanan ekonomi. Di Madagascar, anak muda bangkit melawan kerajaan. Di Maghribi menyaksikan gerakan bernama ‘Gen Z 212’ mendesak kerajaan melakukan pembaharuan pendidikan dan perkhidmatan kesihatan. Seperti kesan domino, walaupun tiada kaitan di antara mereka, kebangkitan anak muda ini semakin melebar ke serata dunia.

Paling baru bulan lepas dan masih berlaku, anak muda Perancis bangkit memprotes besar-besaran isu pendidikan sehingga memberikan tekanan kepada Presiden Emmanuel Macron. Gelombang rakyat kemudiannya menjadi makin besar dan merebak sehingga menarik penyertaan mahasiswa, kesatuan sekerja dan masyarakat umum memprotes isu-isu lain juga.

Ini memperlihatkan satu fenomena di mana golongan yang selama ini sering dianggap lembik dan cepat layu seperti strawberi tiba-tiba mampu mengucar-ngacirkan kestabilan politik sebuah negara. Apakah Malaysia juga sedang bergerak ke arah itu? Nampaknya calon Kuala Linggi ini cuba membayangkan bahawa proses pengambilalihan anak muda boleh bermula.

Melihat perkembangan dunia, kita tahu protes anak muda di jalan raya bukan perkara baru tetapi perlu ditegaskan bahawa menjatuhkan kerajaan dengan mentadbir kerajaan merupakan dua perkara berbeza. Semua orang boleh marah dan turun memprotes menumbangkan kerajaan. Semua orang boleh berceramah tetapi bukan semua boleh merangka dasar, merancang belanjawan dan mengurus ekonomi. Yang dulu kaki demo, kini sudah jadi menteri pun kita dapat lihat dia masih terpinga-pinga. Yang dah berhenti jadi menteri pun kita lihat banyak bercakap di podcast komplen sana-sini walhal sewaktu jadi menteri entah apa yang dia buat, tak nampak pun hasilnya.

Sebenarnya, kemunculan pemimpin muda bukan perkara baharu dalam sejarah politik negara kita. Najib Razak menjadi Ahli Parlimen ketika berusia 23 tahun, dilantik sebagai timbalan menteri pada usia 25 tahun dan menjadi menteri besar Pahang ketika berusia 29 tahun.

‘Pengantin baru’ Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pun pernah menjadi menteri belia dan sukan pada usia 25 tahun. Kini, di kementerian sama menyaksikan Mohammed Taufiq Johari, menjawat jawatan menteri dalam usia tak sampai 30 tahun. Maknanya, kebolehan orang muda memimpin memang sentiasa diiktiraf. Bezanya dulu kita tidak melabelkan seseorang mengikut generasi yang bunyinya macam bunyi model telefon pintar atau kereta. Gen itulah, gen inilah!

Sebenarnya, saya sendiri rimas dengan label dan pembahagian kategori manusia kepada Baby Boomers, Gen X, Gen Y, Gen Z, Alpha dan bermacam-macam generasi lagi. Bagi saya, label tersebut bukanlah ketetapan saintifik yang mutlak. Label generasi yang pada asalnya digunakan dalam kajian sosial ini kemudian telah menjadi alat pemasaran dalam dunia perniagaan.

Dalam dunia pemasaran, pengguna perlu dikenal pasti, dikelompokkan supaya produk dapat dijual dengan lebih berkesan. Meletakkan label pada generasi adalah satu jalan mudah untuk tujuan tersebut. Masalah yang timbul ialah apabila kategori pemasaran ini mula dianggap sebagai kebenaran fakta tentang sifat manusia. Boomers beginilah, Gen X begitulah, kononnya mereka lebih lasak tapi menjadi hamba pekerjaan. Generasi sekarang pula lebih pintarlah, tetapi lembik macam strawberi. Macam saya kata tadi, kebenaran teori itu tidak mutlak dan bergantung kepada banyak faktor.

Padahal, perbezaan yang diperdebatkan selalu ini hanya sekadar pertembungan biasa antara golongan tua dengan orang muda. Orang muda dulu pun memberontak dan mempertikaikan kewibawaan orang tua yang dirasakan sudah mula tumpul. Kita waktu muda dahulu pun rebel, mahu bebas dan bercita-cita mengubah dunia. Manakala orang tua adatnya pula sentiasa meragui keupayaan anak muda. Macam kita hari ini berat untuk menyerahkan baton kerana menganggap anak muda masih belum cukup matang dan kurang pengalaman.

Di Malaysia pula, budaya politiknya memang sudah ‘begitu’ sejak sekian lama. Anak muda yang mahu menjadi pemimpin kebanyakannya masih perlu melalui struktur parti yang dikuasai generasi tua. Mereka perlu mendapat restu kepimpinan, mematuhi disiplin parti dan menyesuaikan diri dengan budaya politik sedia ada ini. Pendek kata, dengan acuan politik tua, Gen Z yang berada di dalamnya pun akan kelihatan poyo dan tak menarik. Itulah yang berlaku ketika Baby Boomers, Gen X dan milenial masih muda. Mahu mengubah, bercakap lantang tentang kebangkitan anak muda tetapi akhirnya tersedut ke dalam lubang yang sama.

Apakah boleh terjadi satu gelombang di mana anak muda Gen Z beramai-ramai menyertai mana-mana parti politik besar tanah air dan melakukan ‘serang hendap’ mengambil alih tampuk kepimpinan lama lalu melakukan reformasi politik? Sempatkah mereka naik atau belum apa-apa mereka semua akan dicantas?

Kepada calon Kuala Linggi, saya mengalu-alukan calon muda tetapi saya kira keberkesanan seseorang pemimpin bukan diukur dengan cepat atau lambatnya mendapat tandatangan perdana menteri. Itu masih belum dianggap satu perubahan. Dan kalau itulah yang dikatakan sebagai satu kerja, ia bukanlah sesuatu yang membanggakan. Budaya surat sokongan, budaya potong barisan guna kabel politik bukan perkara baru dan bukan budaya yang sihat.

Jika Gen Z bercita-cita untuk melakukan reformasi, ia harus mempercekapkan sistem pentadbiran itu sendiri tanpa banyak kerenah birokrasi dalam menyelesaikan masalah rakyat. Jika itu berjaya, kita tak perlukan hubungan istimewa wakil rakyat dengan Perdana Menteri untuk meluluskan sebarang pekerjaan. Kita mahu kecekapan sistem itu sendiri yang memainkan peranan dengan berkesan. Itu yang harus anak muda Gen Z ubah jika berjaya menjadi perangka dasar di Dewan Rakyat.

Persoalan sama ada Gen Z mampu memimpin negara tidak boleh dijawab dengan melihat kad pengenalan, kepetahan berpidato, jumlah ‘follower’ TikTok atau aktif menghasilkan video. Kita memerlukan pemimpin yang memahami tanggungjawab, mempunyai keberanian membuat keputusan, menghormati institusi dan sanggup dipertanggungjawabkan apabila melakukan kesilapan. Ciri-ciri tersebut tetap ada pada sesetengah pemimpin tua kita hari ini. Sekiranya ada ahli politik dari Gen Z yang tidak memenuhi kriteria tersebut, pada saya dia hanyalah mesin baharu dengan program lama.

Sesebuah negara itu hebat kerana pemimpinnya sentiasa mempunyai idea segar, bertenaga dan bersemangat melaksanakan visinya tanpa mengira berapa pun usianya. Tetapi jika pemimpin generasi muda terus membawa perangai politik lama yang poyo dan main -main, nescaya kita tidak akan ke mana-mana. Harap muka sahaja muda, idea dan wawasannya tetap lapuk. Buat apa? Kepada calon muda Kuala Linggi, jika cita-cita anda memang mahukan perubahan, ‘pak cik’ sokong! - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.