`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


16 SEPTEMBER 2026

Tuesday, November 3, 2026

Nelayan Klebang dakwa kerja tambak laut jejas periuk nasi

 Mereka mendakwa hasil geragau yang sebelum ini jadi sumber pendapatan semakin merosot sekali gus menjejaskan pengusaha belacan tempatan.

PANTAI KLEBANG
Nelayan Kampung Pinang, Klebang, mendakwa selepas tambakan laut geragau sudah tiada dan pendapatan mereka semakin berkurangan.
HANG TUAH JAYA:
Nelayan dan pesawah di Kampung Pinang, Klebang, mendakwa kerja tambakan laut untuk pembangunan Zon Ekonomi Pesisir Pantai Melaka (MWEZ) menjejaskan periuk nasi mereka.
Zainudin Abu
Zainudin Abu.

Zainudin Abu, 61, nelayan sejak berusia 14 tahun mendakwa hasil geragau yang sebelum ini menjadi sumber pendapatan tambahan semakin merosot sejak kerja penambakan laut, sekali gus menjejaskan pengusaha belacan tempatan.

Katanya, hasil geragau sebelum ini mampu memberikan pendapatan antara RM200 hingga RM500 bagi satu tempoh air bani (air mati), malah mencecah RM800 jika tangkapan banyak.

“Kalau dua kali air bani dalam sebulan, pendapatan boleh mencecah kira-kira RM1,000. Tetapi selepas tambakan laut, geragau sudah tiada dan pendapatan kami semakin berkurangan,” katanya kepada FMT.

Projek MWEZ akan dibangunkan di atas tanah tebus guna sepanjang kira-kira 22km dari Umbai hingga Tanjung Bruas.

Zainudin turut mendakwa, muara sungai semakin cetek akibat mendapan pasir sehingga menyukarkan perahu keluar masuk, selain permohonan lesen nelayannya masih belum diluluskan walaupun sudah memiliki perahu, enjin dan jaring.

“Kita sudah sediakan semua kelengkapan sendiri, tetapi lesen masih tidak lulus. Pada masa sama, nelayan yang turun ke laut tanpa lesen pula berdepan risiko ditangkap,” katanya.

Musa Arif
Musa Arif.

Seorang lagi nelayan, Musa Arif, 66, berkata masalah kemudahan pendaratan sampan serta tindakan menyita sampan dan enjin turut menyukarkan nelayan mencari rezeki.

Katanya, ada pemohon terpaksa menunggu sehingga setahun atau dua tahun untuk mendapatkan lesen, malah ada yang ditangkap walaupun sudah mengemukakan permohonan.

“Kami sebagai nelayan tidak menghalang pembangunan. Asalkan jangan pembangunan itu menjadi penghalang kepada nelayan untuk mencari makan,” katanya.

Abdul Aziz Ab Wahab
Abdul Aziz Ab Wahab.

Sementara itu, pesawah Abdul Aziz Ab Wahab, 71, berkata masalah bekalan air dan sistem saliran tidak sempurna terus membelenggu petani di Kampung Pinang.

Beliau yang mengusahakan kira-kira enam hektar sawah berkata kawasan pertanian itu masih bergantung kepada air hujan, sekali gus mudah terjejas akibat cuaca tidak menentu.

Aziz menggesa kerajaan membina saliran konkrit bagi mengatasi masalah tali air tersumbat yang memaksa pesawah melakukan kerja pembersihan setiap musim.

“Saya minta kerajaan sediakan longkang simen atau saliran konkrit berbentuk ‘U’. Kalau masih menggunakan saliran tanah, setiap musim pesawah terpaksa membersihkan tali air yang tersumbat,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.