Timbul persoalan privasi Rosmah Mansor dan ahli keluarga selepas kediaman di Langgak Duta diisytihar penjara.

“Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh Seksyen 3 Akta Penjara 1995 (Akta 537) menteri mengisytiharkan semua bangunan dan kawasan dengan keluasan 4,558.97m persegi di No 11 Jalan Langgak Duta, Taman Duta 50480 Kuala Lumpur yang terletak di atas Lot 5746, Mukim Kuala Lumpur, Daerah Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sebagai suatu penjara bagi maksud akta bagi pemenjaraan atau penahanan orang dalam jagaan sah”.
Begitu bunyi dokumen rasmi perisytiharan termaktub dalam Warta Kerajaan Pesekutuan bertarikh 6 Nov 2026 yang disiarkan menerusi portal rasmi Jabatan Peguam Negara (AGC).
Perisytiharan berkenaan berkuat kuasa pada tarikh tersebut.
‘Orang yang dalam jagaan sah’ ialah Najib Razak dengan alamat tertera ialah kediamannya. Ertinya rumah Najib sekarang ialah sebuah penjara. Menteri yang disebut dalam perisytiharan itu ialah Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution.
Tidak ada huraian atau penjelasan lanjut Kementerian Dalam Negeri khususnya agensinya Jabatan Penjara. AGC juga tidak memberi keterangan mengiringi perisytiharan itu.
“In the case of this Taman Duta Prison, it seems that immediate family members are allowed to share it with the inmate”, kata wartawan veteran A Kadir Jasin menerusi hantaran di Facebook, beberapa hari lalu.
Saya setuju. Menurut dokumen diwartakan seluruh rumah Najib diisytihar penjara, bukan sebahagian. Bukan bilik khas untuk Najib sahaja dijadikan penjara mengurungnya.
Maka, dengan sendirinya semua penghuni yang sememangnya tinggal di banglo mewah di Langgak Duta kekal sebagai penghuni. Ertinya, Rosmah Mansor, isteri Najib, bersama anggota keluarga terdekat akan bersama Najib dalam ‘penjara’ Langgak Duta. Begitu juga pembantu rumah dan sebagainya (kalau ada).
Ini keadaan berbeza dengan apa yang dikenakan oleh pemerintah Myanmar ke atas bekas pemimpin negara itu, Aung San Suu Kyi. Beliau dipindahkan dari penjara ke sebuah rumah untuk menjalani baki hukuman tahanan rumah.
Tetapi, kediaman itu bukan rumah Suu Kyi. Lokasi tidak didedah kepada umum. Sinar Harian memetik akhbar The Irrawaddy melaporkan Suu Kyi ditempatkan di sebuah rumah khas dengan kawalan keselamatan di Naypyidaw yang terletak di kawasan kediaman keluarga tentera dan dikelilingi pagar tinggi.
Hubungan Suu Kyi dengan dunia luar sangat terbatas. Pasukan peguamnya dilapor tidak dibenarkan bertemunya secara bersemuka, sejak Disember 2022.
Pada hemat saya, boleh dikatakan Suu Kyi tinggal sebagai tahanan rumah ‘incommunicado’ – berseorangan.
Bagi Najib, pelawat dibenarkan dengan syarat mendapat izin terlebih dahulu secara bertulis pihak berkuasa dan dikehendaki melalui ‘security screening’ mengikut prosidur biasa Jabatan Penjara. Ini saya nyatakan berdasar laporan media seperti kata Kadir.
“This whole unprecedented operation will cost tax payers additional money,” katanya.
Ikut logik, Najib sebagai seorang banduan tidak boleh memiliki atau memegang telefon bimbit atau apa-apa alat komunikasi. Namun, pada pandangan saya beliau tidak perlu itu semua.
Sebab beliau boleh jika mahu menyampaikan salam dan pesanan kepada kawan, sahabat handai, sanak-saudara, sesiapa sahaja melalui Rosmah atau anggota keluarga.
Yang kena tahan Najib bukan Rosmah. Lantas beliau dan ahli keluarga yang tinggal serumah dengan Najib bebas keluar masuk berjumpa siapa saja di luar.
Justeru, Najib boleh (saya ulangi) kalau mahu, ‘run Umno’ daripada rumah, beri nasihat, dan atur strategi untuk parti berdepan pilihan raya misalnya. ‘Work from home’. Silap. ‘It should be control from home’.
Cuma, jangan sampai Umno merasa mereka ada dua presiden. Sekadar ‘friendly reminder’.
Antara ciri utama konsep tahanan antarabanga banyak negara termasuk Singapura, New Zealand, dan Australia menggunakan peranti pemantauan elektronik atau gelang kaki GPS atau sistem biometrik untuk mengesan pergerakan tahanan dari jarak jauh.
Tidak dapat dipasitkan sama ada ia akan digunakan untuk Najib. Yang pasti, beliau boleh buat apa sahaja dan bergerak dalam rumah. Yakni, bebas bergaul dengan keluarga dan bergerak asalkan dalam rumah.
Untuk memastikan Najib berada dalam rumah sepanjang masa ialah tanggunjawab pegawai penjara. Penjara walaupun banglo mewah mestilah dijaga oleh pegawai penjara. Nama pun penjara.
Maka, tentulah akan ada beberapa syif 24 jam setiap hari. Tidak tahu berapa pegawai bertugas setiap satu syif. Tidak tahu berapa ramai pegawai terlibat. Setakat ini, belum ada apa apa pengumuman mengenai perkara itu.
Pasti pegawai penjara dalam satu syif yang sama perlu dibawa ulang-alik dengan kenderaan jabatan dari Penjara Kajang atau Sungai Buloh untuk bertugas di ‘penjara’ Langgak Duta. Bak kata Kadir ‘a set of prison guards would have to be assigned to it’.
Dan, adakah pegawai penjara boleh masuk ke dalam rumah untuk membuat kawalan atau mengawal Najib? ‘From the inside?’ atau mereka hanya dibolehkan mengawal luar rumah? Mungkin kerana tidak mahu mengganggu privasi anggota keluarga Najib?
Di penjara biasa makanan untuk banduan yakni sarapan pagi, makan tengah hari, makan malam disediakan pihak penjara. Bagaimana pula di penjara ‘luar biasa’ di kawasan elit Langgak Duta?
Makan penjara ‘biasa’ dibawa masuk atau Najib boleh nikmati quinoa, ikan baung tempoyak ala hidangan Terenggnau dan lain-lain kegemarannya yang dimasak di dapur Langgak Duta?
Cukup disini meskipun ada banyak persoalan yang timbul. Umpamanya yang diutarakan kolumnis FMT Tajuddin Rasdi yang disiar semalam.
Apa pun Najib masih di penjara Kajang berikutan pengangguhan sementara AGC berhubung pelaksanaan tahanan rumah untuknya.
Kita tunggu saja perkembangaan seterusnya. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT



No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.