Hisommudin Bakar berkata kerjasama lebih mudah dicapai di negeri BN dominan tetapi prinsip timbal balik akan benar-benar diuji di kubu PAS.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, berkata formula kerjasama di Melaka tidak semestinya boleh diterjemahkan secara langsung ke negeri lain kerana setiap negeri mempunyai komposisi politik, sejarah persaingan dan keseimbangan kekuatan parti berbeza.

Katanya, Umno mempunyai asas sokongan kuat di Melaka, Johor dan Negeri Sembilan, sekali gus membolehkan BN bertanding lebih banyak kerusi berbanding PAS dan PN.
Namun, Hisommuddin mengingatkan prinsip timbal balik akan benar-benar diuji apabila kedudukan dominan itu bertukar tangan, terutama di negeri yang mempunyai penguasaan PAS lebih besar seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Malah, beliau mengingatkan Perak juga mempunyai dinamik lebih kompleks kerana BN dan PN mempunyai asas sokongan serta kepentingan kerusi masing-masing tanpa jurang dominasi seperti di Melaka.
“Adakah Umno bersedia menerima kedudukan sebagai rakan yang lebih kecil dan memberikan ruang dominan kepada PAS sebagaimana PAS memberikan laluan kepada BN di negeri tertentu?
“Di sinilah prinsip timbal balik dan keikhlasan kerjasama akan benar-benar diuji,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Ketua Umno Melaka Rais Yasin yang negeri itu boleh menjadi contoh keberkesanan kerjasama BN dan PAS jika parti terbabit berjaya meningkatkan sokongan pengundi serta jumlah kerusi dimenangi pada PRN 14 Nov ini.
Pada PRN kali ini, BN bertanding di 23 daripada 28 DUN, manakala PN meletakkan calon di lima kerusi. Kedua-dua gabungan turut bersetuju menyediakan manifesto pilihan raya bersama.
Presiden PAS Hadi Awang pula dipetik berkata kerjasama BN dan PN mungkin diteruskan selepas PRN Melaka, malah diperluaskan ke PRU16.
Formula penyandang boleh tekan BN

Sementara itu, Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata penggunaan formula penyandang seperti di Melaka boleh meletakkan BN dalam kedudukan kurang menguntungkan jika pendekatan sama dibawa ke negeri lain atau PRU16.
Katanya, PAS berkemungkinan mahu mengekalkan kerusi yang sudah dikuasainya, terutama di negeri yang parti itu mempunyai kedudukan lebih kukuh.
“Kalau formula penyandang digunakan dalam kerjasama PAS dengan Umno, maka Umno akan berada dalam kedudukan yang tidak baik,” katanya.
Azmi berkata, PN mungkin menggunakan pendekatan sama dengan memberi laluan kepada MCA di kerusi sukar dimenangi, merujuk pertambahan kawasan ditandingi parti komponen BN pada PRN Melaka iaitu lima berbanding dua ketika pengumuman calon.
“PAS (di negeri dominannya) mungkin memberi laluan kepada BN di kawasan yang peluang kemenangannya rendah termasuk kerusi majoriti bukan Melayu atau kawasan dikuasai Pakatan Harapan dengan majoriti besar,” katanya. - FMT





