Calon PH berkata pengalaman mengurus masyarakat berbilang kaum dan hubungan dengan kerajaan persekutuan mampu beri kelebihan kepada penduduk.

Calon Pakatan Harapan (PH) berkata, pengalamannya mengendalikan parti di Wilayah Persekutuan, khususnya dalam kawasan masyarakat berbilang kaum, boleh dimanfaatkan penduduk Paya Rumput.
Beliau menegaskan, jawatannya sebagai ketua PKR Wilayah Persekutuan bukan halangan untuk bertanding di Melaka, sebaliknya satu nilai tambah.
“Saya tidak melihat jawatan ketua PKR Wilayah Persekutuan sebagai satu isu. Sebaliknya, saya melihatnya sebagai nilai tambah atau kelebihan kepada penduduk Paya Rumput.
“Pengalaman saya di Wilayah Persekutuan juga boleh dibawa ke Melaka,” katanya kepada FMT ketika ditemui di Bilik Gerakan PH Paya Rumput.
Azman berkata, perjalanan antara Kuala Lumpur dengan Melaka yang mengambil masa kira-kira sejam juga tidak menghalangnya memberi tumpuan kepada kawasan itu.
Katanya, Presiden PKR Anwar Ibrahim turut mencadangkannya bertanding di Melaka kerana keluarganya berasal dari negeri itu.
“Kampung saya di Kuala Sungai Baru, Kuala Linggi. Jadi, presiden PKR beritahu saya, oleh kerana saya orang Melaka, kenapa tak nak cuba bertanding di Melaka. Kamu dah lama dalam politik. Kamu cuba di Melaka,” katanya.
Azman berkata, kedudukannya sebagai setiausaha politik perdana menteri juga membolehkannya menjadi penghubung antara kerajaan negeri dengan persekutuan, sekali gus membawa keperluan penduduk terus ke Putrajaya.
Mengulas peluang PH merampas kerusi itu, beliau mengakui saingan tiga penjuru menuntutnya bekerja lebih keras mendekati pengundi.
Katanya, ketiga-tiga calon tidak mempunyai rekod sebagai wakil rakyat di kawasan itu, justeru pengundi perlu menilai mereka berdasarkan profil dan maklumat masing-masing.
Beliau turut mengenal pasti banjir kilat sebagai antara isu utama Paya Rumput yang memerlukan perhatian, termasuk kajian semula sistem perparitan dan perancangan bandar susulan pembangunan pesat projek perumahan.
Azman yang kali pertama bertanding pilihan raya berdepan calon Perikatan Nasional (PN) Rafie Ahmad dan Bersama Abdul Rashid Abu Bakar pada 14 Nov ini.
Paya Rumput secara tradisinya kubu Barisan Nasional (BN), namun pernah dimenangi PH menerusi Bersatu pada 2018.
Kerusi campuran itu mempunyai 61% pengundi Melayu, 30% Cina dan 6% India.
Pada PRN 2021, calon Umno Rais Yasin memenangi kerusi itu dengan majoriti 629 undi dalam pertandingan lima penjuru. Rais, yang juga anggota kanan exco negeri kali ini bertanding di Sungai Udang. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.