`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, March 23, 2013

VIDEO TAIB MAHU BANGKITKAN KEBENCIAN




Oleh : HAMDAN ISMAIL
VIDEO terbaharu menuduh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud melakukan penyelewengan menguruskan tanah dan hutan negeri adalah cubaan jelas untuk mencemarkan Sarawak di mata dunia, kata Naib Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) Pandi Suhaili.

Beliau berkata sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menghasilkan video itu berniat jahat untuk memfitnah Sarawak, pemimpin dan rakyatnya.
"Malah sebelum ini (sebelum video didedahkan), terdapat pelbagai cubaan oleh beberapa NGO barat untuk melemahkan pemimpin kami dan ekonomi negeri," katanya kepada Bernama.

Katanya seperti yang berlaku beberapa tahun lepas sebuah NGO berpangkalan di Eropah mendakwa mewakili masyarakat Penan di Sarawak tetapi niat sebenar mereka adalah untuk mengganggu industri pembalakan, yang merupakan aktiviti ekonomi utama Sarawak.

"Akhirnya kerajaan Sarawak yang tidak pernah mendakwa menjadi juara, yang mengambil langkah realistik untuk membantu kaum Penan dengan menyediakan kemudahan bagi meningkatkan taraf sosio ekonomi mereka," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Robert Laing Anyie berkata pendedahan video itu bertujuan membangkitkan kebencian rakyat Sarawak terhadap pemimpin negeri.

Beliau berkata pendedahan video itu yang dilakukan sekarang turut membangkitkan persoalan ketika rakyat Malaysia sedang bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum ke-13 dengan pembangkang cuba sedaya upaya untuk mencari kesalahan di pihak kerajaan.

Seorang pensyarah kolej swasta, Karambir Singh berkata berbanding pencapaian Sarawak pada awal kemerdekaannya yang lewat dibangunkan berbanding sekarang menjadi antara negeri yang maju di negara ini sudah cukup membuktikan ketokohan kepimpinan Abdul Taib.

"Pembangunan dan kemajuan di Sarawak membuktikan segalanya. Jika benar berlaku penyelewengan rasuah, tiada pembangunan langsung di Sarawak," katanya. (Bernama)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.