`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, December 28, 2013

KERANA PENULISAN BELIAU ATAS TAJUK "MENUNTUT HAK, MENEBUS MASA SILAM" .. AHLI KOPERAT TERKENAL TELAH MENYERAHKAN KEMBALI 3 DARJAH KEBESARAN NEGERI JOHOR KEPADA ISTANA!!!!




Bekas Presiden Johor Corp (JCorp), Tan Sri Muhammad Ali Hashim mengesahkan telah mengembalikan tiga darjah kebesaran negeri Johor, semalam.

Menurutnya, tindakan itu diambil ekoran tidak dapat menerima tuduhan yang dibuat oleh Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli, 5 Disember lalu.

Sebelum ini, Abdul Rahim mendakwa artikel Menuntut Hak, Menebus Masa Silam tulisan Muhammad Ali yang disiarkan Sinar Harian, dikhuatiri boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi diraja negeri Johor.

"Saya sangat memandang berat dan serius tuduhan terhadap diri saya yang mencemar nama baik dan reputasi saya.

"Saya mengesahkan bahawa saya telah mengembalikan semua darjah terbabit pada 27 Disember 2013 (semalam)," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Darjah terbabit adalah Darjah Dato' Seri Paduka Mahkota Johor (SPMJ), Darjah Dato' Paduka Mahkota Johor (DPMJ) dan Setia Mahkota Johor (SMJ).

Menerusi surat bertarikh 18 Disember lalu kepada Abdul Rahim, Muhammad Ali yang juga Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) telah memberi penjelasan mengenai penulisan artikel itu.

"Saya telah memberi penjelasan mengenai penulisan artikel terbabit, juga dengan tegas menolak dakwaan atau tanggapan bahawa sajak itu mengandungi apa-apa motif seperti yang digambarkan.

"Melalui kenyataan media ini, saya minta masyarakat umum khasnya rakyat negeri Johor membaca artikel itu dan menilai sendiri sama ada penulisan itu mengandungi unsur menderhaka kepada raja atau tindakan tidak bertanggungjawab atau bertentangan dengan Rukun Negara," katanya.

Beliau memuatkan sajak tulisan anak bongsunya, allahyarham Khaled Ali yang antara lain menyebut 'Sultan yang adil adalah Sultan yang wajib disembah, Sultan yang zalim adalah Sultan yang wajib disanggah'.

Dipertrunkan semula artikel berkenaan demi kebenaran, keadilan dan pencerahan.

KETIKA artikel minggu lalu di bawah tajuk “Naungan khalifah, sultan dan imam” diterbitkan pada Isnin 25 November lalu,  saya dan isteri telah pun kehilangan Khaled bin Muhammad Ali, anak bongsu kami.

Beliau kembali ke rahmatullah sebelum subuh 23 November, pada umur 20 tahun. Innalillahi wainna ialaihi rajiuun.

Doa saya, ibunya, kakak dan abang-abangnya serta seluruh keluarga: Semoga kematian Khaled diampuni ALLAH Subhanahu Wa Taala. Semoga roh Khaled diletakkan dalam kalangan orang soleh, siddiqin dan syuhada, amiin ya Rabbul alamin.

Buat Khaled: Sebanyak mana sekali pun air mata mengalir, ia tidak akan selama-lamanya mengeringkan, malah tidak setitis pun mengurangkan lautan sedih dan pilu serta cinta rindu kasih sayang di lubuk kalbu ayah dan mama.

Juga, jelas terbukti, kasih sayang dan keprihatinan yang ayah dan mama berikan rupa-rupanya tidak dapat mengisi semua kekosongan dan tidak sampai kepada apa yang Khaled berhak mendapatkan.

Semoga ALLAH SWT mengampuni ayah dan mama atas segala kelemahan, kekurangan, kealpaan, ketidakpekaan dan ketidakprihatinan.

Tiada kata yang dapat saya lafazkan untuk menzahirkan rasa hati, bukan sahaja bagi pihak diri saya sebagai ayah, juga bagi pihak semua yang mengasihi dan mengenali beliau. Biarlah Khaled sendiri yang melahirkan rasa hatinya menerusi kolum Khalifah Bisnes kali ini.

Justeru, berikut saya paparkan sajak beliau tanpa disentuh atau diperbetul sekalipun terdapat kesilapan ejaan dan istilah. Sajak ini terletak paling atas daripada sepuluh sajak beliau tulis yang saya dapati daripada laptop beliau.
Beliau tidak berikan sebarang tajuk kepada sajak ke sepuluhnya ini, seolah-olah penulisannya belum lagi berakhir dan menanti diteruskan.

Jika saya diizinkan memilih tajuk untuknya, mungkin paling sesuai ialah petikan daripada salah satu ungkapan di dalamnya: “Menuntut hak dan menebus masa silam”

....this heart aches at your very thought,
it grows heavier as my memories taunt me,
I can hold back these tears no longer,
many years have passed and I am now a man,
yet I still yearn for you, and that old house on the hill.
rindu dalam hatiku seperti ombak yang memukul pantai,
tidak akan henti sehingga akhir zaman,
sehingga daku dapat kembali ke
tanah asal, jiwaku akan bergelora ingin
kembali, walaupun ke tujuh
lautan ku merantau, Tanjung Puteri
tetap akan di kalbu.
you are the eternal jewel of the south,
the cradle of our civilisation, the custodian of our people,
a sanctuary of hope, an abode of dignity,
they basked in the light of your imperial glory,
and trembled at the might of your warriors.
hari berganti hari tahun berganti tahun,
namun malamku masih menjadi medan air mata,
jangan berani kau persoal cintaku, takkan dapat kau bayang rinduku,
anggaplah pantun ini sebagai janji,
akan datang suatu masa yang akan ku kembali,
menuntut hak dan menebus masa silam.
their blood coarses through my veins, their prayers guide my heart,
this bloodline is an oath of duty, a life of service,
sultan yang adil adalah sultan yang wajar disembah,
sultan yang zalim adalah sultan yang wajib disanggah...


Tan Sri Muhammad Ali Hashim
Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)
ali.bizjihad@yahoo.com
29 November. 2013.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.