`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, December 28, 2013

[TURUN] Polis Tak Boleh Sembarangan Larang & Tangkap Peserta Himpunan


PAS sertai himpunan Turun

KUALA LUMPUR: PAS bersedia untuk bersama-sama menyertai Himpunan Turun yang akan diadakan menjelang tahun baru akan datang sebagai permulaan kepada siri-siri himpunan seterusnya.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr. Mohd Hatta Ramli melihat himpunan yang akan diadakan pada malam 31 Dis anjuran NGO Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) itu bersesuaian dengan perjuangan Pakatan Rakyat.

Bercakap kepada Harakahdaily, Dr. Hatta yang juga Penyelaras Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) menegaskan selepas Himpunan Turun itu, PAS akan terus menyokong mana-mana himpunan yang diadakan selepas itu, sekiranya bersesuaian dengan perjuangan PAS.

Sebagai contoh, katanya PAS akan sama-sama menggerakkan Himpunan Bantah GST yang dirancang diadakan pada Hari Buruh, 1 Mei akan datang.

"Selepas Himpunan Turun, kita akan ada pula Himpunan Bantah GST. Antara masa-masa tersebut, akan ada program-program yang diatur bersama Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sebagai Penggerak Mobilisasi PAS dengan kerjasama NGO lain," tegas beliau.

Dalam pada itu, Dr. Hatta melahirkan rasa kesal dengan sikap pihak tertentu yang cuba melabelkan himpunan malam 31 Dis itu sebagai kononnya himpunan untuk menggulingkan kerajaan.

Biarpun tidak tahu-menahu sekiranya ada gerakan yang akan mengadakan himpunan sedemikian (guling kerajaan), Dr. Hatta berkata Pakatan Rakyat dan NGO Turun tiada kaitan dengan himpunan tersebut.

"Semua tahu, Himpunan Turun itu bertujuan untuk membantah pesta kenaikan barangan dan perkhidmatan. Berhimpun secara aman. Tidak timbul isu guling kerajaan, bukan tujuan pun.

"Jadi, janganlah kerajaan bersikap antagonistik sangat apabila rakyat berhimpun dengan aman. Kita hanya nak bersuara menyatakan bantahan sahaja selepas pelbagai cara kita lakukan bagi mengelakkan kenaikan kos hidup ini, sama ada melalui perbahasan parlimen, perbincangan, penyerahan memorandum dan sebagainya," tegas beliau.

Sehubungan itu, beliau yang berkemungkinan turut menyertai himpunan itu menyeru ahli-ahli PAS untuk bersama-sama menyertainya di Dataran Merdeka dengan suasana aman dan tenteram bagi memberi signal kepada kerajaan tentang kepayahan rakyat. -HD

ULASAN GB

Negara kita ada undang-undang. Polis tidak boleh sembarangan melarang dan menangkap peserta perhimpunan kerana semasa perhimpunan BERSIH 2.0 mahkamah pernah memutuskan polis bersalah menahan dan menangkap beberapa aktivis. 

Malah kerana tindakan polis menangkap sesuka hati, pihak kerajaan Malaysia telah diperintahkan oleh mahkamah untuk membayar gantirugi kepada aktivis berkenaan.

Berikut ialah berita-beritanya:-


Bersih 2.0 - Mahkamah Putuskan Kerajaan Bersalah Tangkap Naib Presiden PAS


KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan hari ini mengarahkan Kerajaan Malaysia membayar ganti rugi sebanyak RM50,000 kepada dua Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar.

Ganti rugi itu adalah berhubung dengan kes saman yang difailkan oleh mereka selaku plantif terhadap tangkapan yang tidak sah ketika perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011 di KL Sentral.

Sebelum itu Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus memutuskan bahawa rayuan kerajaan Malaysia terhadap keputusan saman kedua-dua plantif adalah dibenarkan berhubung ganti rugi sahaja.

Kedua-dua plaintif telah berjaya dalam tindakan saman mereka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan diputuskan ganti rugi sebanyak RM70,000 tiap seorang atas tangkapan salah dan tidak sah tersebut.

Kedua-dua plantif diwakili peguam Muhammad Faiz Fadzil Noor, Abdul Aziz Hamzah dan Surya Putra Taulan Rasul.

Manakala Kerajaan Malaysia diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Habibah Haron.



21 aktivis bebas tuduhan perhimpunan haram


Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini menggugurkan pertuduhan terhadap 21 orang peserta yang didakwa berhimpun secara haram dan tidak mematuhi arahan polis dalam perhimpunan sambutan tahun pertama Bersih dan vigil anti ISA pada November 2008.

Pendakwaan terhadap peserta gagal untuk membuktikan prima facie berikutan kegagalan pihak polis menunjukkan peranan yang dimainkan oleh peserta dalam perhimpunan tersebut.

Mereka telah dikenakan pertuduhan dibawah Seksyen 27 Akta Polis yang jika disabit kesalahan membawa hukuman antara RM2,000 sehingga RM10,000 dan/ atau penjara tidak lebih dari setahun.

Pada awal tahun ini Seksyen 27 telah dimansuhkan dan digantikan dengan Akta Perhimpunan Aman.

Dalam kenyataan ringkasnya, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, keputusan mahkamah tersebut menunjukkan bahawa kesemua 21 orang peserta tidak seharusnya didakwa.

“Saya juga ingin menegaskan dan berharap agar Peguam Negara tidak membuat rayuan bagi keputusan ini,” ujar beliau.

Menyifatkan keputusan ini sebagai tepat, Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua berkata, “Keputusan mahkamah ini sebagai kemenangan kepada kebebasan berhimpun dan menunjukkan bagaimana undang-undang sebelum ini menindas.”

Antara yang bebas dari pertuduhan tersebut antaranya ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, Exco Negeri Selangor Ronnie Liu, ADUN Kampung Tunku Lau Weng San dan Ahli Majlis MBPJ Tiew Way Keng dan yang lain ialah seorang peguam S Ashok Kandiah, Paulino Francesco Miranda, Mohd Khairul Anuar Mohd Jamil, Mohd Fasya Mohd Tajudin, K Thengaran, Ong Boon Keong, Goh Jin Kiat, Henry Hor @ Henry James Hor, and Goh Chien Yee, Johny Andu @ Abu Bakar Adnan, K Raman, G Ramish, Augustine Gan Liam Tee, Andrew Ng Yew Han, Lim Cheng Inn, Ooi Suan Huah dan Ambrose Poh Teik Huat,

Kesemua mereka dituduh mengambil bahagian dalam perhimpunan haram di hadapan bangunan MBPJ pada 9 Oktober 2008 untuk sambutan ulangtahun pertama Bersih dan vigil anti ISA. -HD (19/09/2012)



Bersih 1: Mahkamah bebaskan Tian Chua, Mat Sabu


Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membebaskan Timbalan Presiden PAS Mohammad Sabu (Mat Sabu) dan Naib Presiden PKR Tian Chua daripada tuduhan menyertai perhimpunan haram semasa Bersih 1.0 pada November 2007.

Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah Datuk Jagjit Singh Bant Singh dalam keputusannya berkata, kedua-dua tertu berjaya menimbulkan keraguan munasabah semasa memberikan keterangan berhubung insiden di hadapan Istana Negara.

Sementara itu Jagjit dalam hujahnya berkata, pihaknya bersetuju dengan keterangan bahawa Tian Chua (SD8) dan Mat Sabu (SD10) pada hari terbabit hanya berjalan kaki ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang diPertuan Agong (YDPA).

Malah, semasa kejadian mereka tidak dihalang polis untuk menyerahkan memorandum.

“Mereka berada dalam himpunan di hadapan Istana yang tidak dihalang polis sebaliknya polis bagi mereka masa untuk serahkan memorandum.

“Tujuannya bukan untuk memudaratkan, maka saya berpendapat kedua-dua tertuduh telah berjaya menimbulkan keraguan munasabah tehadap kes pendakwaan,” kata Jagjit.

Unit Amal tidak bersalah

Hakim turut menerima hujah lima tertuduh lain yang bertugas sebagai Unit Amal pada hari itu tidak menyertai himpunan tersebut, tetapi hanya bertugas menjaga keselamatan peserta dan mengutip sampah.

Keputusan itu sekaligus membebaskan mereka daripada hukuman penjara maksimum enam tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali, seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 143 Kanun Keseksaan dan Seksyen 27(5)(a) Akta Polis 1967.

“Kami bersyukur dan berterima kasih atas sokongan rakyat.

“Saya berpendapat sebarang kes yang melibatkan himpunan yang tidak bersenjata perlu digugurkan.

“Peguam Negera perlu pertimbang semula untuk tarik balik kes perhimpunan aman yang berdasarkan Akta Polis terdahulu kerana sekarang sudah ada Akta Perhimpunan 2012,” kata Mat Sabu ketika ditemui pemberita di luar mahkamah.

Sementara itu, Tian Chua berkata kemenangan ini membuktikan perjuangan rakyat menuntut pilihan raya yang adil dan bebas sejak enam tahun lalu bukanlah perkara yang sia-sia.

“Terbukti perjuangan Bersih sejak dulu tetap relevan dan kita akan teruskan sehingga matlamat memulihkan sistem pilihan raya terlaksana,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.