ALOR SETAR - Sebuah pusat tahfiz di Jalan Yan-Kuala Kedah di sini yang dikecam masyarakat kerana menyalahgunakan pelajarnya untuk mengutip derma ke seluruh negara, diberi tempoh sebulan bagi menghentikan kegiatan itu atau berdepan dengan tindakan ditutup operasi serta-merta. Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, pusat tersebut diberi kata dua iaitu sama ada mendaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri untuk diberi bantuan dan patuhi syarat-syarat ditetapkan atau dihentikan terus operasinya. "Jika tidak didaftarkan, maka hentikan segera operasi atau tutup sahaja maahad tahfiz ini kerana kita dapati tujuan asal untuk mengajar anak-anak ini menjadi seorang hafiz al-Quran tidak langsung dilaksanakan, sebaliknya kerja kutip derma pula dibuat," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis berkhatan yang disertai oleh 27 kanak-kanak berusia bawah 10 tahun anjuran Masjid Ar-Rahman Alor Merah di sini hari ini. Mukhriz berkata, kerajaan negeri menerima banyak laporan tentang pelajar pusat tahfiz tidak berdaftar tersebut disalahgunakan untuk mengutip derma ke negeri lain hingga memburukkan imej Kedah. "Pelajar ini masih kecil, mereka dihantar ke negeri Kedah dan luar negeri Kedah untuk mengutip derma, ini mendedahkan anak-anak ini kepada bahaya dari soal keselamatan. "Lebih-lebih lagi sejak kebelakangan ini, kita dengar macam-macam cerita mengenai penculikan anak," jelasnya. Beliau berkata, siasatan mendapati hasil kutipan derma itu pula tidak digunakan sewajarnya untuk menampung pengurusan pusat tersebut. "Mereka tidak berdaftar, tidak mohon kebenaran untuk aktiviti kutipan derma dan beberapa kali sudah diberi amaran oleh jabatan tetapi berdasar laporan kegiatan masih berlaku," dakwa Menteri Besar Kedah itu lagi. selanjutnya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.