Friday, August 1, 2014
Jawapan Kepada Rafizi Ramli, Anthony Loke Dan Tony Phua
Hampir 20 tahun yang lalu, ketika Samuel Huntington mengemukakan teori tentang ‘Pertembungan Peradaban’ (The Clash of Civilisation), yang menuduh Islam adalah sebuah agama yang sering berkonflik, saya adalah seorang yang menjadi penentang kuat menolak teori tersebut. Pada ketika itu, saya mendukung usaha yang dilakukan oleh guru saya Profeso...r Osman Bakar untuk menolak teori Huntington, sebaliknya memperkenalkan Agenda Dialog, yang bertujuan untuk mewujudkan sebuah dunia yang lebih harmoni dan menghargai nilai kemanusiaan.
Agenda Dialog ialah satu usaha untuk mencari titik-titik persamaan antara peradaban khususnya yang berkaitan dengan nilai sejagat dan menghormati titik-titik perbezaan yang biasanya berkaitan dengan kepercayaan beragama. Saya menggunakan umur muda saya untuk mengusahakan perkara itu, walaupun biasanya umur muda seseorang dicorakkan oleh pemikiran radikal dan ekstrim.
Saya terlibat membantu penganjuran siri Persidangan Antarabangsa Dialog Peradaban yang diterajui oleh Profesor Osman Bakar, termasuklah satu persidangan yang bertemakan ‘Islam and Confucianism’. Di samping itu, saya juga menghadiri beberapa siri wacana yang turut disertai oleh tokoh-tokoh kontroversi seperti Dr Nurcholis Majid dan Profesor John Esposito, sebagai usaha melangsungkan Agenda Dialog tersebut. Berikutan dengan siri-siri persidangan dan wacana itu, Kementerian Pendidikan kemudiannya memperkenalkan satu kurikulum wajib di universiti-universiti tempatan dikenali sebagai Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS). Kurikulum TITAS ini bertujuan untuk membawa generasi muda Malaysia yang terpelajar menghargai empat peradaban besar dunia yang mereka warisi, di samping menjadikan mereka generasi yang menghargai keharmonian hidup dan menolak unsur-unsur melampau.
Ketika TITAS mula diperkenalkan, saya terlibat menyumbangkan fikiran dalam membina kurikulum tersebut. Saya bersama-sama dengan Profesor Chandra Muzaffar, Profesor Hashim Musa dan beberapa rakan yang lain menulis Bab Pertama Buku Teks TITAS berkaitan dengan ‘Pengenalan kepada Peradaban’ dan Bab Terakhir berkaitan dengan ‘Cabaran-cabaran Peradaban Masa Kini’. Ketika TITAS diperkenalkan, harapan yang tinggi diletakkan agar kurikulum ini akan melahirkan generasi muda Malaysia yang berusaha ke arah memupuk keharmonian kaum dan menghindarkan ekstrimisme. Apabila Anthony Loke beberapa bulan yang lalu melahirkan pandangan prejudis terhadap kurikulum TITAS ini seterusnya menyarankan TITAS tidak lagi menjadi kursus wajib di universiti, saya adalah antara mereka yang tertanya-tanya adakah beliau mendapat gambaran yang betul tentang latar belakang kursus TITAS ini?
Apabila Profesor Chandra Muzaffar ditamatkan kontrak perkhimatan, saya telah menggantikannya mengajar satu kursus dalam program Sarjana Dialog Peradaban. Sekali lagi saya meneruskan peranan mempromosikan Agenda Dialog terutama kepada bakal pemegang ijazah sarjana yang bakal menjayakan kurikulum TITAS di seluruh negara. Saya juga terlibat menyelia pelajar-pelajar ijazah tinggi dan ijazah dasar termasuk mereka yang mengkhusus dalam Sarjana Dialog Peradaban. Kesempatan mengajar TITAS dan Sarjana Dialog Peradaban memberi peluang kepada saya memperolehi ramai anak murid dari pelbagai kaum yang bilangannya mungkin menjangkau ribuan. Mereka yang pernah menjadi murid saya, boleh melihat sendiri sikap saya yang konsisten terhadap hubungan harmoni antara kaum dan saling faham-memahami antara peradaban.
Saya bukanlah seorang ahli politik, dan jauh sekali untuk menjadi selibriti politik. Saya hanya seorang akademis yang menyumbang fikiran kepada orang politik, supaya politik negara ini akan lebih menghargai keharmonian kaum dan mengelakkan ekstrimisme. Menjelang PRU 2004, saya pernah dijemput membentangkan satu kertaskerja tentang peranan Masyarakat Madani, sebagai salah satu langkah menyediakan Manifesto Barisan Alternatif. Dalam pembentangan itu, saya menekankan sekali lagi Agenda Dialog, dan peranan Masyarakat Madani sebagai elemen penting mencapai peradaban Malaysia. Meskipun demikian, peranan Masyarakat Madani ini tidak boleh lari dari garis panduan agama sesuai dengan perkataan ‘Madani’ itu sendiri berkaitan rapat dengan peranan agama sebagai asas pembinaan sesebuah peradaban.
Semenjak saya berperanan sebagai penyumbang fikiran kepada orang politik, saya pernah beberapa kali duduk sepentas dengan Rafizi Ramli. Saya pernah duduk sepentas dengan beliau dalam wacana sumbang saran penyediaan budget Kerajaan Negeri Selangor beberapa tahun lalu. Kami diminta membincangkan tajuk bagaimana memperkasakan demokrasi di Negeri Selangor. Dalam wacana itu, saya sekali lagi menyebut tentang kepentingan peranan Masyarakat Madani sebagai rakan kongsi kepada Kerajaan Negeri ke arah mencapai sebuah pemerintahan yang bertatakelola baik (good governance). Selain daripada itu, saya membangkitkan sekali lagi tentang kepentingan berdialog ke arah mewujudkan sebuah masyarakat berbilang kaum yang harmoni dan terhindar dari sikap perkauman yang melampau.
Sebelum puasa yang lalu, saya berkesempatan pula duduk sepentas dengan Anthony Loke dalam satu program anjuran WADAH Negeri Johor, dan kebetulan saya diminta untuk bercakap soal perpaduan. Saya bercakap di hadapan Anthony Loke sendiri, bahawa Islam sama sekali tidak membenarkan sikap perkauman sebaliknya saling berdialog (bertaaruf) antara satu sama lain. Saya menegaskan pendirian saya, bahawa sekolah-sekolah vernakular yang merupakan satu institusi membentuk jatidiri kaum masing-masing tidak boleh ditutup sebaliknya diperkasakan. Setiap kaum tidak boleh dihakis jatidiri mereka sebagaimana pendekatan banyak negara yang menghakis jatidiri kaum atau etnik demi membentuk satu identiti bangsa. Di atas pentas itu, saya menyebut pendekatan Islam dalam perpaduan ialah bersatu dalam kepelbagaian, justeru tidak boleh menghakis jaatidiri sesebuah kaum yang sebenarnya juga anugerah dari Allah.
Mereka yang pernah mengenali saya, pernah menjadi anak murid saya dan pernah bersama di atas pentas, saya yakin dapat mengenali pendirian saya yang konsisten tentang Agenda Dialog, iaitu mencari titik-titik persamaan antara peradaban dan saling menghormati titik-titik perbezaan yang ada. Rakan-rakan media sosial saya di FB dapat mengetahui bagaimana pendirian saya ketika muncul isu berkaitan dengan kalimah suci nama Allah. Saya konsisten mempertahankan pendirian Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, bahawa dalam sesebuah pemerintahan Islam orang bukan Islam tidak boleh dihalang menggunakan kalimah Allah atas prinsip “Lakum Dinukum Wa Li Yadin”, selama mana penggunaan itu tidak bertujuan penghinaan. Artikel saya dalam FB tentang isu kalimah suci nama Allah turut dikongsi banyak pihak di samping juga diterbitkan dalam portal akhbar maya. Saya yakin rakan-rakan dalam PKR dan DAP mengetahui pendirian saya tentang perkara itu.
Saya juga beberapa kali membela DAP yang dituduh sebagai punca Tragedi 13 Mei dan juga dicop sebagai small brother PAP Singapura. Dalam satu forum yang dianjurkan oleh mahasiswa UIA menjelang PRU 13 yang lalu, saya dijemput menjadi ahli panel bersama rakan saya Dr Mazlee malik (UIA), Dr Yusri Mohamad (PEMBELA) dan Tun Faisal Ismail (UMNO), dan soalan-soalan yang sedemikian turut ditanya. Saya menjawab bagi pihak DAP dengan memberikan hujah-hujah membersihkan nama parti itu sebagai punca Tragedi 13 Mei dan small brother kepada PAP. Klip video yang memuatkan jawapan saya tentang tuduhan terhadap DAP ini telah lama dimuatnaik oleh pihak pengajur dalam laman Youtube. Jelasnya, saya yakin mereka yang mengenali saya, anak-anak murid saya dan yang pernah duduk sepentas dengan saya mengetahui pendirian saya tentang isu kalimah Allah dan sikap saya terhadap DAP.
Malang sekali, apabila bocornya Printscreen Whatsapp AJK PAS Pusat, sebahagian rakan kenalan saya, segelintir anak-anak murid saya dan mereka yang pernah duduk sepentas dengan saya seperti Rafizi Ramli dan Anthony Loke dengan pantas menghukum saya sebagai racist atau ekstrimist. Saya bukan ahli politik dan jauh sekali sebagai selibriti politik yang memilih kenyataan media untuk menjawab tuduhan-tuduhan itu, malah saya tidak berminatpun nama say a dipopularkan di akhbar sepertimana diidamkan oleh kebanyakan ahli-ahli politik yang lain. Saya juga tidak boleh mendedahkan keseluruhan perbincangan dalam Whatsapp itu yang telahpun disimpan oleh sahabat saya Ustaz Nasrudin Hasan Tantawi, sehingga menurut beliau jika dicetak atas kertas A4 dengan font bersaiz 12, perbincangan itu memakan 115 mukasurat. Kalaulah saya boleh mendedahkan kesemua 115 mukasurat itu, saya yakin kesemua mereka dapat memahami apa sebenarnya yang terkandung dalam printscreen yang dibocorkan itu.
Saya telah menjelaskan beberapa kali bahawa perenggan-perenggan yang dibocorkan itu tidak mewakili pendirian dan sikap saya. Ketika saya mengemukakan analisis senario tersebut ada ahli-ahli perbincangan menegur saya tentang pemilihan bahasa yang kasar, lalu saya jelaskan bahawa bahasa yang saya pilih itu bukan mewakili pendirian dan sikap saya sebaliknya perkataan-perkataan yang akan dihamburkan oleh pihak-pihak dalam PAS yang selama ini tidak berpuashati terhadap DAP dan lain-lain isu yang mereka merasakan sepertu dikunci mulut untuk bersuara, sedangkan sebelum ini mereka mempunyai kebebasan untuk melakukan sedemikian. Kalaulah saya boleh bocorkan printscreen yang berkaitan dengan jawapan saya itu, saya yakin ramai akan memahami apa yang saya ingin sampaikan. Malangnya, akhlak mengikat kita untuk membocorkan perbincangan sulit sesama ahli kumpulan Whatsapp, meskipun ada segelintir yang sewenang-wenangnya melakukan pembocoran tersebut.
Sewaktu perbincangan tentang usul keluar PR di dalam kumpulan Whatsapp itu, unsurnya bercampur-campur, sekejap humor, sekejap provok, sekejap sindir dan kadangkala tegang. Sewaktu perbincangan ada ahli perbincangan yang menyebut, memang segelintir ahli PAS akan lega bila PAS keluar dari PR sebab selama ini mereka begitu marah dengan DAP dan lain-lain, terutama dalam isu nama Allah dan serbuan gereja. Seperti yang dimaklumi PAS telah ambil tindakan disiplin kepada beberapa orang seperti ini, tetapi masih ada ahli PAS yang masih bersikap marah kepada DAP dan lain-lain pihak berkaitan. Bila saya buat analisis senario apa berlaku kalau PAS keluar PR, maka saya sebut tentang kemungkinan yang boleh berlaku di Selangor. Pada perenggan kedua saya sebut secara imaginatif dan berbentuk sarcasm (sindiran) perkataan yang akan dihamburkan oleh ahli-ahli PAS yang selama ini memendam kemarahan kepada DAP dan pihak-pihak lain yang berkaitan dengan isu nama Allah, isu murtad dan seumpamanya.
Sekali lagi saya jelaskan, ayat yang saya pilih itu tidak menggambarkan pendirian saya, sebab saya tidak berada dalam senarai yang ahli-ahli perbincangan yang menyokong keluar PR. Saya cuma memaparkan senario perasaan lega segelintir ahli yang selama ini menganggap PAS seperti dikuasai oleh DAP sehingga tidak dapat lagi bersuara seperti dulu. Mereka yang ada dalam perbincangan itu akan faham unsur-unsur imaginatif dan sarcasm tersebut, melainkan kalau mereka sememangnya menyimpan strategi busuk untuk menjayakan agenda mereka seperti yang dilakukan oleh si pembocor. Tujuan si pembocor adalah untuk mendesak PAS khususnya Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mengambil tindakan terhadap saya, kerana saya adalah antara penentang kuat ‘Kajang Move’ yang dicita-citakan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim. Secara tidak langsung juga, mereka yang berada di pihak pembocor memberi tekanan supaya pimpinan PAS bersetuju dengan langkah itu.
Saya ingin menegaskan, bahawa saya tiada cita-cita politik yang tinggi sepertimana ahli-ahli politik, melainkan hanya sekadar menyumbang fikiran supaya politik Malaysia membawa kepada keharmonian kaum dan persaingan demokrasi yang sihat. Saya melihat ‘Kajang Move’ sebagai langkah yang tidak memenuhi kehendak rakyat Selangor yang mahukan orang-orang politik yang diberi mandat berkuasa memberi khidmat kepada rakyat bukannya meletakkan jawatan sesuka hati dan boleh menurun-naikkan kepimpinan Kerajaan Negeri seperti mudahnya menukar pakaian. Ahli-ahli politik perlu menyedari bahawa jawatan MB itu bukan sekadar hak parti, tetapi ada hubungannya dengan hak Istana yang telah memperkenankan perlantikan seseorang dan hak rakyat Selangor yang telah memberi mandat bukan hanya berdasarkan kepartian. Semoga dengan penjelasan ini, semua pihak dapat mengerti pendirian dan sikap saya tentang isu perkauman dan memahami apakah ‘game’ sebenar pihak pembocor printscreen tersebut.
Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Klang, Selangor
1 Ogos 2014
5 Syawal 1435
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.