Bekas perdana menteri itu berkata, kampung air selama ini menjadi pintu masuk tidak rasmi negara dan pendatang dengan bot boleh mendarat melalui mana-mana sudut kampung tanpa diketahui sesiapa.
“Pada waktu malam penyeludupan barangan dan senjata boleh dilakukan dan disimpan dalam rumah di kampung air. Selagi ada kampung air selama itulah Sabah tidak selamat daripada pencerobohan pengganas dan penyeludup.
“Amat memalukan apabila Malaysia tidak mampu menghalang pengganas daripada memasuki wilayah pada bila-bila masa. Masa sudah tiba untuk penduduk kampung air ditempatkan di kawasan lebih selamat di daratan.
“Kosnya tentu tinggi tetapi saya percaya Malaysia yang mampu membelanja berbilion ringgit untuk projek yang kurang penting boleh membiayainya,” katanya melalui blog chedet.cc hari ini.
Sabtu lalu, sekumpulan lapan lelaki bersenjata berat menyerang hendap sebuah resort di Pulau Mabul dan membunuh seorang polis marin, Koperal Ab Rajah Jamuan dan menculik Konstabel Zakia Aliep.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam berkata. Pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur Misuari terlibat dengan menggunakan kumpulan sendiri dan beberapa kumpulan lain dalam melakukan pencerobohan dan penculikan di Sabah.
Katanya, kegiatan itu dilakukan dengan tujuan mengumpul dana bagi membentuk semula tentera upahan Nur Misuari selain bagi mengembalikan semula pengaruhnya di selatan Filipina.
Dr Mahathir berkata, usaha kerajaan yang menggiatkan rondaan oleh pasukan keselamatan tidak akan berkesan sekiranya kampung air masih menjadi pusat pendaratan penceroboh.
Katanya, semasa peristiwa serangan pengganas di Lahad Datu, kampung air sukar diawasi pihak berkuasa kerana amat sukar bagi polis membezakan antara penduduk dan pengganas.
“Di waktu pengganas menyerang Lahad Datu, pasukan keselamatan terdedah kepada serangan dan tembakan oleh pengganas yang bersembunyi dalam rumah di kampung air.
“Perjalanan polis mudah didengar dan dilihat pengganas. Polis berjalan atas titian kayu yang sempit dan tidak kemas. Tidak ada tempat untuk melindung diri jika diserang.
“Ini mengganggu mereka sehingga mereka diserang. Mereka akan terbunuh atau tercedera sebelum dapat menembak balas. Peristiwa seperti ini sudah pun berlaku,” katanya.
Beliau mengingatkan zaman kampung air sudah berlalu dan cara penduduk di kawasan itu tidak lagi sesuai dengan cara kehidupan moden di Malaysia yang mahu menuju Wawasan 2020.
Katanya, kerajaan perlu mengambil iktibar daripada insiden serangan Lahad Datu dengan menggunakan pelbagai senjata canggih.
“Rondaan pasukan keselamatan di laut dan di darat tidak dapat menghalang 100% penculikan berlaku. Apa akan terjadi jika serangan beribu pengganas berlaku?
“Ingatlah, kita tidak terfikir 200 orang dapat mendarat dan menguasai satu kawasan di Sabah. Tetapi ia berlaku. Alatan seperti bot laju, pesawat intip dan senjata canggih perlu dibekal kepada pasukan keselamatan.
“Hari ini pesawat mengintip sudah begitu canggih sehingga tidak mungkin sesiapa boleh bersembunyi sama ada siang atau malam,” katanya.
- TMI
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.