`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, November 14, 2014

NAJIB: DI HIMPIT KIRI DAN KANAN

Kini PM, Dato Najib seolah-olah satu menjadi satu liabiliti kepada negara, semua pihak khusus dari kalangan kepimpinan UMNO sudah mula mengkritik beliau, kritikan bukan lagi secara selindung sebaliknya keterbukaan kritikan ini membuatkan beliau tak senang duduk

Tidak dinafikan kedudukan Perdana Menteri, Najib Razak ketika ini sedang diasak kiri kanan dan atas bawah oleh pelbagai pihak  yang seolah-olah tidak boleh lagi menerima kepimpinannya. 

Bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad yang sudah menarik balik sokongannya kepada Najib, telah beberapa kali mengkritik mengenai hutang 1MDB yang terlalu tinggi dan membebankan negara. Isu yang sama juga menjadi bahan bagi beberapa pemimpin pembangkang di Parlimen untuk menyerang lagi kerajaan. 

  
 
Seorang pemimpin UMNO Sabah, Salleh Tun Said Keruak ( gambar ) secara terbuka mengingatkan bahawa isu hutang 1MDB ini jika tidak diuruskan dengan baik, boleh menjadi punca kejatuhan Najib daripada tampuk kuasanya. 

Mahathir dalam komen terbarunya pula mengatakan, "Malaysia jika tiada 1MDB pun tidak mengapa" sebagai suatu lagi kecaman bahawa badan pelaburan yang ditubuhkan oleh Najib pada 2009 itu langsung tidak memberi kebaikan, selain semata-mata menambah lagi beban hutang negara. 

Mengiringi Mahathir, bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin dan bekas Menteri Penerangan, Zainuddin Maidin juga turut melancarkan "peluru berpandu" masing-masing. 
 
Daim mengkritik hasrat Najib untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi dengah mengatakan ia tidak berguna jika masih ramai rakyat yang tidak mampu memiliki rumah sendiri. 

   
 
Zainuddin Maidin atau Zam ( gambar ) pula melancarkan serangan bak "pukul anak sindir menantu"  apabila mengatakan adik Najib, Nazir Razak yang mengetuai Kumpulan CIMB lebih banyak menyalurkan peruntukan iklannya untuk akhbar bukan bahasa Melayu berbanding Utusan Melayu yang dimiliki oleh UMNO dan dipimpin oleh abangnya sendiri. 

Kritikan yang mahukan Najib melepaskan jawatan Menteri Kewangan juga bergema kembali berikutan banyak kekalutan dalam dasar kewangan serta ekonomi negara ketika ini. Najib disarankan hanya menumpukan kepada jawatan Perdana Menterinya saja. 

Dua pemimpin pembangkang, Liew Chin Tong dan Mahfuz Omar telah pun mengeluarkan gesaan itu semalam demi untuk kebaikan negara. Sebelum ini, Daim Zainuddin dan bekas Menteri Pelancongan, Sabbaruddin Chik turut membuat desakan yang sama. 

Di dalam UMNO pula, isu pemansuhan Akta Hasutan yang pernah dijanjikan Najib untuk menunjukkan keterbukaannya, mulai mendapat tentangan yang makin meluas. 

Selain Muhyiddin Yassin dan kumpulan konservatif yang sudah beberapa kali berikrar untuk mempertahankan akta itu, kini Shahrizat Jalil yang suaminya bakal dikenakan tindakan saman oleh kerajaan untuk bayaran balik projek lembu NFC, turut menyatakan sokongan dengan ikrar untuk mengumpul sejuta tandatangan agar akta penjajah itu terus dikekalkan. 

Isu cukai GST turut menjadi hambatan kepada Najib. Selain makin banyak perkara berkaitan kenaikan harga barang mula didedahkan apabila cukai itu dikenakan pada April tahun depan, pihak pembangkang pula giat mengadakan ciri ceramah di seluruh negara menentang perlaksanaan cukai itu. 

 
 

Atas nama prihatin kepada nasib rakyat, pemimpin berpengalaman UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah ( gambar )juga menulis surat kepada semua Ahli Parlimen untuk mencadangkan agar cukai itu ditangguhkan perlaksanaannya serta kadar 6 peratus yang telah diterapkan dicongak semula supaya tidak membebankan. 

Malangnya, cadangan Ku Li itu hanya mendapat reaksi positif daripada kalangan pemimpin pembangkang, sementara Ahli Parlimen UMNO dan BN membisu seribu bahasa. 
Rakyat pula, rata-rata mulai terbuka meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan, terutama berikutan kenaikan harga petrol dan diesel baru-baru ini. 

Ahli UMNO sendiri sudah ramai yang tidak segan-silu lagi mengkritik, malah mencerca dan memaki hamun Najib berikutan beban kos hidup yang makin meningkat ini. 
 
Di persada antarabangsa pula, selain mereka mengecam mengenai Akta Hasutan, kes perbicaraan Anwar Ibrahim yang sedang menunggu keputusan rayuannya diumumkan juga menarik perhatian banyak negara. 

Banyak negara Barat yang melihat pelbagai kecelaruan dalam kes itu tentunya akan memperhebatkan lagi kecaman mereka jika akhirnya Anwar didapati bersalah dan menghuni penjara sekali lagi. 

Tetapi atas semua kecaman dan asakan itu, Najib tetap selesa dan relaks, bukan saja seolah-olah tiada apa yang mengancam kedudukannya, malah sentiasa terbang daripada satu negara kepada satu negara.  

Walaupun rakyat makin tidak bersamanya, Mahathir dan Daim yang banyak membantu kempen PRU 13 sudah mengasingkan diri, pembangkang kian agresif dan dunia antarabangsa pula memerhati, Najib sedar kedudukannya sama-sekali tidak terancam sehinggalah PRU 14 akan datang lantaran majoriti pimpinan UMNO sudah berda dalam "jagaan" dan "genggamannya". 

UMNO pula, barangkali kerana memahami Najib lebih suka disanjung, dipuji dan dipuja, sudah pun memulakan projek ke arah itu menjelang dua minggu lagi berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO. 

Sepupu Najib, Hishammuddin Hussein yang mengetuai tapisan usul dan jurucakap negeri-negeri, hari ini mengadakan persidangan meja bulat ke arah menyelaraskan semua suara dalam perhimpunan itu nanti. 
 
Dengan Hishammuddin membangkitkan kepada wakil setiap negeri mengenai pelbagai kejayaan - daripada menduduki kerusi tetap PBB dengan undi terbanyak, mengurus kehilangan MH370 walau belum ditemui, kejayaan berunding dengan militan dalam kes MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine sehinggalah kemampuan berhadapan dengan media antarabangsa mengenainya. 
 
Semua yang dicapai itu, menurut Hishammuddin, tidak mungkin dapat dilakukan jika UMNO begitu teruk dipandang oleh dunia serta jika bukan kerana Najib yang melakukannya. Diulang sekali lagi, tidak mungkin dapat dilakukan jika UMNO begitu teruk dipandang oleh dunia serta jika bukan kerana Najib yang melakukannya. 

Maka, dapatlah dijangka Perhimpunan Agung UMNO kali ini akan terus gegak-gempita dengan amalan puji, puja, bodek dan sanjungan terhadap Najib semata-mata. 
Akan bergemalah Dewan Merdeka bahawa tiadalah yang sehebat Najib memimpin negara ini. 

Najib akan dikompang semahu-mahunya dan Hishammuddin nampaknya sudah menyampaikan mesej itu kepada pemimpin UMNO setiap negeri untuk dijadikan garis panduan kepada setiap jurucakap nanti. 


Mahathir - ketua pengkritik. 

Rungutan dan keluhan pelbagai peringkat masyarakat, waima teguran bekas pemimpin sekali pun bukannya mahu diambil iktibar sebagai asas untuk memperbetulkan kesilapan, sebaliknya cuba ditutup dan dilindungi dengan lebih kuat suara pujian dan sanjungan yang diatur rapi. 
 
Isu GST, kos hidup rakyat, kenaikan harga barang, harga rumah yang kian meningkat dan semakin jauh daripada jangkauan rakyat, pembaziran, kemewahan pemimpin dan seumpamanya, apatah lagi hutang 1MDB, akan terus disembunyikan daripada disuarakan.



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.