`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, November 29, 2014

Pekan Serdang lumpuh seketika

Keadaan rumah kedai ditenggelami air sedalam satu meter mulai surut kira-kira jam 1.30 pagi.  
Keadaan rumah kedai ditenggelami air sedalam satu meter mulai surut kira-kira jam 1.30 pagi.

BANDAR BAHARU - Pekan Serdang lumpuh seketika apabila hujan lebat hampir tiga jam menyebabkan banjir sehingga menenggelami kawasan itu, malam semalam.

Dari tinjauan dibuat, hampir 50 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat penempatan banjir sementara menunggu air surut.

Pelbagai pihak termasuk polis, bomba, Rela, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kulim Bandar Baharu bersama Ahli PKR Cabang Kulim Bandar Baharu dan Pas turun padang memberikan bantuan bagi memindahkan mangsa banjir di beberapa lokasi terlibat.

Ban sekitar sungai pecah

Penaung Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kulim Bandar Baharu, Saari Fadzil Hud ketika ditemui di pusat penempatan banjir Batu 16 Serdang berkata, antara punca utama berlakunya banjir besar disebabkan ban yang dibina di sekitar sungai pecah.

"Air sungai di kawasan Bandar Baharu melimpah mengakibatkan paras air naik dengan cepat.

"Kampung Majidee ditengelami air sedalam setengah meter, Kampung Lombong Batu 16 air sedalam satu meter manakala perumahan di sekitar jalan Bandar Baharu ditenggelami air sedalam 1.5 meter," katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, bekalan elektrik juga terpaksa dipotong bagi menjamin keselamatan penduduk.

“Ini merupakan kali pertama Pekan Serdang bergelap. Malah Jalan dari Sungai Punti sehingga ke stesen minyak Serdang ditutup kepada semua jenis kenderaan kerana ditenggelami air sedalam satu meter.

"Semua kenderaan ke Selama dan Serdang diarah melalui Jalan Terap ke Sungai Tengas sebelum berpatah balik ke Selama untuk ke Serdang," katanya.

Katanya, dua pusat pemindahan banjir dibuka iaitu di Serdang dan di surau Batu 16.

Insiden terburuk

Sementara itu, Timbalan Ketua PKR Cabang Kulim Bandar Baharu, Ismail Hassan berkata, paras air sungai mula melimpah kira-kira jam 6 petang bagaimanapun paras air naik dengan cepat sehingga mengakibatkan ramai mangsa terlibat gagal menyelamatkan barangan
berharga termasuk dokumen penting.

Menurutnya, sepasang suami isteri nyaris maut apabila motosikal ditunggangi terjatuh ke dalam parit sedalam hampir dua meter bersebelahan pejabat JKM Bandar Baharu setelah paras air melebihi setengah meter dari tebing parit itu.

“Mangsa tidak nampak parit itu kerana ia tidak dihadang dengan besi penghadang.

"Selain itu, paras air ketika itu dalam dan mangsa tidak nampak tebing jalan. Bagaimanapun mangsa dibantu beberapa penduduk yang ketika itu berada di tempat kejadian," katanya.

Katanya, banjir kali ini antara insiden terburuk pernah berlaku di kawasan berkenaan.

"Sebelum ini banjir hanya berlaku di sekitar kawasan berdekatan dengan Sungai Krian tetapi kali ini ia melibatkan Pekan Serdang,” katanya.
Jalan ditutup

Seorang pekerja industri, Mohamad Firdaus Zulkifli 17, yang tinggal di Kampung Baru Lombong berkata,  dia dalam perjalanan pulang ke rumah bagaimanapun terpaksa berhenti di Pekan Serdang apabila jalan ke rumahnya ditenggelami air.

“Saya dimaklumkan oleh rakan, jalan untuk ke rumah saya sudah ditenggelami air.

"Terpaksa berhenti dahulu sehingga air surut, pada saya ini kejadian terburuk sehingga jalan pun ditutup,” katanya.

Penduduk tak sempat selamatkan barang

Peniaga, Noorhabidi Md Isa 50 yang tinggal di Jalan Bandar Baharu berkata, arus deras juga turut menghanyutkan beberapa kenderaan.

“Jalan utama dari Serdang ke Bandar Baharu ditenggelami air sedalam satu meter dan rumah saya ditenggelami air sedalam 1.5 meter.

"Semua barangan elektrik serta kelengkapan rumah rosak. Saya anggarkan kerugian dialami lebih RM20,000.

"Saya harap masalah dihadapi mangsa banjir di pandang serius oleh pihak terlibat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Helmi Aris turut turun padang dan menemui mangsa banjir di pusat pemindahan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.