Parti Komponen BN Ini Bakal Lenyap. Pemimpin masyarakat India mengingatkan para pemimpin MIC segera mengambil tindakan bagi menamatkan krisis dalaman yang sudah lama berlarutan, jika tidak mahu melihat parti itu berkubur pada pilihan raya umum akan datang.
Jika perpecahan yang berlaku dalam parti itu berterusan tanpa penghujung, apakah pemimpin parti itu mempunyai banyak waktu untuk memulihkan semula parti bermasalah itu dan menyakinkan kepada masyarakat ia adalah sebuah parti yang boleh dijadikan tempat bergantung harap.
Mereka tidak banyak waktu lagi, memandangkan pilihan raya umum mungkin diadakan dalam dua atau tiga tahun ini.
Dengan krisis dalaman yang kini diheret menjadi kes mahkamah, tidak mungkin ada penyelesaian secara baik dalam masa terdekat ini.
Kebarangkaliannya, ketika tiba masa rakyat keluar mengundi kelak, MIC mungkin masih sibuk menyelesaikan masalah dalaman mereka.
Keadaan ini pastinya bukanlah suatu senario yang memberangsangkan bagi Barisan Nasional (BN), di mana MIC adalah parti komponen yang penting kerana tanpa keyakinan terhadap parti yang boleh memperjuang dan membela kepentingan mereka, undi kaum India mungkin memihak pembangkang.
Presiden Persatuan Peniaga India Malaysia (Miba) R. Letchmikanthan menggesa para pemimpin MIC berhenti "mengetengahkan agenda masing-masing" dan memberikan tumpuan kepada masyarakat India.
"Ramai di antara kita yang tertanya-tanya sama ada parti menjadi benar-benar tidak relevan berikutan krisis dalaman yang berlanjutan.
Parti Komponen BN Ini Bakal Lenyap
"Tetapi, sejujurnya, saya fikir ramai yang masih mahukan MIC menjadi relevan dan kekal sebagai sebahagian daripada parti pemerintah," katanya, dan menambah parti itu kini amat memerlukan pemimpin berkebolehan yang berupaya mengemudinya menjadi sebuah organisasi dinamik yang dapat memberi keutamaan perkhidmatan kepada rakyat melebihi daripada segala yang lain.
Melahirkan keyakinan asas parti berusia 68 tahun itu masih kukuh, beliau menyalahkan para pemimpin parti yang gagal memberi keutamaan.
"Kami memerlukan MIC untuk memberi tumpuan kepada memberi khidmat kepada masyarakat. Sebenarnya menerusi parti sebegini, barulah suara kami akan didengar di Parlimen," katanya.
Krisis MIC semakin bergejolak berikutan perbezaan pendapat antara dua pemimpin utama parti setelah Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengeluarkan satu notis pada 5 Disember lepas mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan semula bagi tiga jawatan naib presiden dan 23 jawatan anggota jawatankuasa kerja pusat (CWC).
RoS membatalkan semua pemilihan parti yang diadakan pada November 2013 berikutan aduan penyelewengan.
Pada 18 Februari, Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak, timbalan pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menemui Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dan timbalannya Datuk Seri Dr S. Subramaniam bagi menyelesaikan krisis parti.
Menurut Tengku Adnan, pada mesyuarat itu dipersetujui MIC akan mengadakan pemilihan semula parti dan ia akan menggunakan senarai CWC 2009 bagi tujuan mengadakan pemilihan semula parti seperti yang diarahkan oleh RoS.
Namun, pada 23 Februari, anggota CWC MIC A K Ramalingam memohon semakan kehakiman bagi mengarahkan RoS dan ketua pengarahnya, Mohammad Razin Abdullah, untuk menarik balik arahan pemilihan semula parti yang diberikan kepada MIC.
Menurut laporan akhbar hari ini, permohonan semakan kehakiman kedua terhadap RoS difailkan pada 24 Februari oleh Palanivel, dua naib presidennya Datuk S Sothinathan dan Datuk S Balakrishnan, dan bekas setiausaha agung A Prakash Rao. Mahkamah Tinggi menetapkan 9 Mac untuk mendengar permohonanan itu di hadapan Hakim Datuk Asmabi Mohamad.
Pilih pemimpin berkebolehan dan berpendidikan
Letchmikanthan berkata sebaik sahaja parti menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan RoS dan mengadakan pemilihan semula parti, ia hendaklah memilih pemimpin berkebolehan dan berpendidikan di peringkat cawangan dan bahagian.
"Kaedah pengurusan parti perlu ditingkatkan dan dipermodenkan bagi memastikan ia seiring dengan peredaran masa. Itulah sebabnya kita memerlukan pemimpin yang berpendidikan tinggi dan celik teknologi," katanya.
Parti Komponen BN Ini Bakal Lenyap
Presiden Persatuan Kebajikan India Malaysia A. Prakash berkata MIC perlu menjalani satu "baik pulih menyeluruh" sekiranya ingin kekal relevan dalam lanskap politik negara.
"Bahkan bila tidak berlaku masalah dalaman pun, parti ini gagal untuk memberi khidmat dengan baik kepada masyarakat India. Ramai orang datang menemui saya meluahkan rasa tidak puas hati terhadap MIC," katanya.
Merujuk pentadbiran yang cekap dan sokongan rakyat sebagai kunci utama kepada kelangsungan MIC, beliau berkata: "Setakat ini parti gagal dalam kedua-dua hal berkenaan. MIC perlu melakukan lebih banyak usaha lagi jika ia benar-benar mahukan orang ramai mengundi calon mereka pada pilihan raya umum akan datang."
Ketika dihubungi Presiden Kelab Belia Tamil Bell K Murali, yang sering bersuara lantang membangkitkan hal-hal MIC, enggan mengulas, dan hanya berkata tiada ada apa-apa yang mahu dibicarkannya memandangkan "segalanya sudah tidak dapat dikawal lagi".
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.