`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!





Monday, March 30, 2015

[VIDEO] POTA - "ISA" Yang Diwujudkan Semula


Akta anti-keganasan baharu ‘jelmaan semula ISA’, kata Pakatan

Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (Pota) 2015, yang dibentangkan di Parlimen hari ini umpama "jelmaan" Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dan jaminan yang diberikan terhadap pemimpin politik tidak bermakna, kata pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

Putrajaya hari ini membentangkan dua rang undang-undang baharu, termasuk Pota dan Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015, serta lima pindaan terhadap akta sedia ada bagi mengekang kegiatan dan ancaman pengganas di dalam negara.

"Semasa ISA dahulu, sewaktu zaman Tun Abdul Razak, beliau beri jaminan ISA tidak digunakan kepada orang politik, tetapi adakah ianya memberi apa-apa makna?" soal Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad ketika ditemui The Malaysian Insider di Parlimen hari ini.

"Sejak dahulu, ketika ISA diluluskan, jaminan yang diberikan tidak akan berlaku salah guna kuasa terhadap orang politik diberikan oleh perdana menteri, bukan menteri biasa," katanya.

Pemimpin PAS itu berkata, meskipun terdapat peruntukan khas berhubung jaminan kepada orang politik, pendakwaan terpilih tetap akan berlaku.

"Jaminan untuk ahli politik tiada, sekarang sudah ada Akta Hasutan tapi hanya digunakan untuk pembangkang sahaja.

"Sebenarnya bukan undang-undang sekarang tidak cukup, tetapi salah guna dan digunakan secara terpilih," 
katanya.

"Jaminan seperti ini sudah banyak kali diberikan dahulu, ISA lagi lama, bukan sekali salah guna, puluh ratus kali salah guna."

Sementara itu, Ahli Parlimen Kelana Jaya Wong Chen berkata, akta baharu itu tiada sebarang perbezaan daripada ISA dan bakal menjadi ancaman terhadap kebebasan hak asasi manusia.

"Selepas semakan, saya mendapati tiada beza antara ISA dan Pota, ini ancaman kebebasan hak asasi.

"Seperti 'like old wine in new bottle'," katanya pada sidang media di lobi Parlimen.

Beliau turut berkata, pasukan guaman yang terdiri pemimpin PR akan menjalankan semakan terhadap akta berkenaan dan mengadakan sidang media setiap hari.

"Kami akan mengkaji rang undang-undang ini dan pasukan guaman kami akan memberikan sidang media setiap hari," katanya.

Antara kandungan Pota termasuklah sebuah Lembaga Pencegahan Keganasan terdiri daripada antara tiga dan enam ahli dan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, boleh mengeluarkan perintah menahan suspek pengganas tidak melebihi tempoh dua tahun jika didapati perlu demi keselamatan negara. Tempoh penahanan juga boleh diperbaharui tidak melebihi dua tahun.

Sementara pindaan yang dibawa oleh Akta Pencegahan Jenayah 1959 turut menyatakan: "Tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan di bawah Seksyen 4 semata-mmata kerana kepercayaan politik atau aktiviti politiknya."

Antara akta yang turut dicadangkan dipinda adalah Rang Undang-Undang Penjara (Pindaan) 2015, Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2015, Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2015, dan Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Pindaan) 2015.

Kesemua rang undang-undang berkenaan sudah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini, dan bakal dibahaskan pada sidang Parlimen minggu hadapan. -TMI


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.