`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, March 10, 2015

[VIDEO] K'jaan Pusat Cuba "Rompak" Tanah Selangor, Perjanjian Air Batal - Azmin


MB: Perjanjian batal demi kedaulatan S'gor

Menteri Besar Selangor, Azmin Ali menegaskan bahawa perjanjian penstrukturan air di antara Selangor dan kerajaan Persekutuan lupus secara automatik apabila kerajaan Persekutuan cuba mengambil alih 26,000 kilometer persegi tanah Selangor.

Menurut Azmin, perjanjian yang ditandatangani pada 12 September 2014 sebelum ini hanya melibatkan pemindahan aset air dari Selangor kepada kerajaan Persekutuan, dan bukannya tanah.

Tegasnya, syarat baru yang cuba diperkenalkan oleh kerajaan Persekutuan itu tidak selaras dengan semangat perjanjian itu.

"Percanggahan dari perjanjian utama yang cuba dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan akan menyaksikan kerajaan negeri hilang kedaulatan ke atas tanah dan aset air milik Selangor.

"Kedaulatan Selangor adalah nombor satu," kata Azmin pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.


Kerajaan pusat tuntut tanah, langgar perjanjian air – Azmin

Kerajaan Selangor tidak boleh melaksanakan perjanjian penstrukturan air yang akan menyebabkan negeri itu berisiko hilang kedaulatan ke atas tanah dan aset air yang dimilikinya.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan Selangor pada awalnya menghormati perjanjian yang ditandatangani 12 September tahun lalu, namun tidak boleh membenarkan perjanjian yang bercanggah daripada prinsip yang dipersetujui.

Terdahulu dalam sesi soal jawab di parlimen, Azmin mendedahkan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mahu mengambilalih tanah yang menempatkan paip air sepanjang 26,000 kilometer dan dijadikan aset dalam perjanjian konsesi air.

Katanya, Kerajaan Negeri hanya bersetuju menyerahkan aset air yang sudah dinaiktaraf syarikat konsesi dan tidak akan menggadaikan kedaulatan tanah Selangor.

“Antara perkara utama yang dilanggari Kerajaan Persekutuan adalah untuk menyemak semula perjanjian yang termeterai dalam perjanjian utama iaitu Kerajaan Negeri sudah bersetuju menyerahkan aset air milik syarikat konsesi yang dinaiktaraf.

“Tetapi dalam tempoh dua tiga bulan lalu, Kerajaan Persekutuan mendesak bukan sahaja aset yang sudah dinaiktaraf tetapi jajaran tanah yang dilalui aset itu mesti diserahkan sekali. Apakah rakyat dan pengguna Negeri Selangor bersetuju menyerahkan 26,000 km tanah itu?”

“Kedaulatan pemilikan tanah dan aset air bukanlah sesuatu yang boleh diserah milik sewenang-wenangnya,” katanya dalam sidang media di parlimen hari ini.

Menurutnya, belum pernah berlaku syarikat konsesi diberi hak milik tanah yang membolehkan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) mengambil alih tanah berkenaan.

“Mengapa sekarang tanah itu diminta menjadi milik PAAB? Ia tidak pernah berlaku dan kita melihat tindakan Kerajaan Persekutuan ini untuk menggagalkan penstrukturan air,” katanya.

Azmin berkata kerajaan pusat enggan menghormati beberapa prinsip dalam perjanjian utama iaitu:

1. Enggan mengiktiraf pemilikan aset air Negeri Selangor berjumlah RM 14.9 bilion yang bakal disuntik ke dalam Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (“Air Selangor”).

2. Enggan mengiktiraf dan menerima pemindahan RM 2 bilion dari aset air milik Air Selangor bagi tujuan penyediaan dana kepada Air Selangor bagi mengambilalih ke semua konsesi air di Negeri Selangor.

3. Enggan mengeluarkan Lesen Kemudahan kepada Air Selangor sebagai pengiktirafan pemilikan ke semua baki aset air yang dimiliki oleh Air Selangor.

4. Enggan meluluskan pemeteraian Perjanjian Kemudahan dan Sewaan di antara Pengurusan Aset Air Berhad (“PAAB”) dan Air Selangor bagi penyewaan aset air yang akan dipindahkan kepada PAAB. 
-KD


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.