
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi nampaknya tidak memandang berat gesaan 13 cawangan Umno dalam di Teluk Kemang yang mahu perdana menteri berundur.
Dengan nada sinis Zahid berkata gesaan terhadap Datuk Seri Najib Razak itu sedikit jika dibandingkan dengan 20,000 Umno cawangan lain di seluruh Malaysia.
“Tiga belas orang daripada 20,000 ketua cawangan,” katanya sinis ketika ditanya perkara itu.
Tambah Zahid beliau juga masih belum menerima memorandum menggesa Najib meletakkan jawatan daripada kumpulan itu.
“Saya tak dapat lagi memorandum itu, kalau dapat kita akan teliti,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Pengguna Kebangsaan dan Kempen Cintai Buatan Malaysia di Dataran Merdeka petang ini.
Semalam 13 cawangan Umno dalam bahagian Teluk Kemang, Negeri Sembilantampil menggesa supaya Najib meletakkan jawatan.
Ketua Cawangan Taman TKK, Kamarul Azman Habibur Rahman yang mengetuai kumpulan itu berkata, sebagai pemimpin akar umbi beliau tidak berniat menghukum presiden parti berhubung isu yang melanda negara ketika ini.
Sebaliknya, pengunduran Najib perlu dilakukan bagi memastikan Umno tidak menjadi mangsa keadaan oleh pengundi pada pilihan raya umum akan datang.
Bagaimanapun Ketua Umno bahagian itu Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, kesemua mereka seharusnya menyatakan pendirian masing-masing pada Persidangan Perwakilan Umno bahagian ketika usul sokongan terhadap kepimpinan parti yang diadakan sebelum ini.
Katanya lagi, tindakan kesemua mereka tidak menghormati keputusan yang telah diputuskan semasa persidangan sebelum ini.
Isa bagaimanapun berkata Umno Bahagian Teluk Kemang tetap memberikan sokongan terhadap Najib selaku presiden Umno.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.