`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, February 27, 2017

Demi anak dan ikatan ‘suci’, wanita didera sanggup diam dulu

Kajian mendapat majoriti wanita yang didera suami bertahan lebih setahun sebelum mencari perlindungan, dan ramai juga berulang-alik 'lari' dari rumah atas pelbagai pertimbangan.
abuse
PETALING JAYA: Zaharah (bukan nama sebenar) kini menjadi sukarelawan membantu wanita yang ditimpa nasib sepertinya suatu ketika dulu, dipukul dan dikasari suami.
Beliau bergiat aktif dengan beberapa NGO yang membela nasib wanita, antaranya Women’s Aid Organisation (WAO), selain daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Tidak lama selepas berkahwin beberapa tahun lalu, Zaharah dimasukkan ke hospital kerana dipukul suami.
Menceritakan kepada FMT, Zaharah berkata dia melarikan diri mencari perlindungan dengan WAO.
“Di sana saya mendapat kaunseling dan berkenalan dengan ramai wanita yang senasib dengan saya, malah ada yang lebih teruk keadaannya dan seperti menuju jalan buntu.
“Ketika itu saya tekad untuk mengumpul semangat dan bangkit semula, demi anak-anak,” katanya dalam wawancara bersama FMT.
Zaharah merupakan sebahagian daripada beribu-ribu kes keganasan rumah tangga di Malaysia setiap tahun.
Pada 2014, sejumlah 4,807 kes keganasan rumah tangga dilaporkan, iaitu tertinggi sejak 2000.
Kajian bagi tempoh 2007 hingga 2011 oleh Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (Kanita) di Universiti Sains Malaysia mendapati 9 daripada 100 wanita berhadapan keganasan rumah tangga dengan pasangan mereka.
Mungkin ia hanyalah angka, namun bagi wanita yang menghadapinya, ia penderitaan yang amat besar.
Zaharah juga terpaksa mengambil langkah sendiri kerana hubungannya yang renggang dengan keluarga kandungnya.
Mengemis di Masjid Negara
“Ia bermula ketika anak-anak kami masih kecil, apabila suami terlibat dengan ajaran sesat. Semua duitnya dihabiskan kepada ‘tok guru’. Dia juga terpengaruh dengan kawan daripada kumpulan itu sehingga ketagih judi.
“Rumah dan kereta terpaksa dilelong. Kami tiada wang nak makan, sehingga saya terpaksa bawa anak-anak mengemis di Masjid Negara,” katanya.
Beliau tidak lagi ingat bilangan laporan polis yang dibuatnya, atau berapa kali berulang-alik ke pejabat agama – ada kalanya bersama suami – untuk sesi kaunseling.
Sehinggalah polis yang mengendalikan kesnya mencadangkan beliau berlindung di WAO.
“Suami saya seorang yang baik, tetapi berubah selepas terjebak dengan ajaran itu. Demi anak-anak dan untuk memberi pengajaran kepada suami, saya perlu ambil tindakan drastik – meminta cerai dan meninggalkan rumah,” katanya.
Ketika wawancara FMT bersama Zaharah, ibu kepada dua anak berusia 9 dan 8 tahun itu dilihat seperti mana-mana ibu lain, berulangkali menegur mereka “tidak boleh duduk diam”.
Zaharah menceritakan seorang lagi anaknya meninggal dunia dalam kemalangan beberapa tahun lalu, yang juga hampir meragut nyawanya.

Tidak kira latar belakang
Keganasan rumah tangga terjadi kepada semua golongan, tanpa mengira latar belakang dan ekonomi.
“Ia mempunyai pelbagai dimensi dan lebih menjurus kepada kawalan emosi,” kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan JKM, Sulaimah Daud.
“Namun tidak dinafikan keluarga dan pengalaman semasa kecil banyak mempengaruhi… keganasan sering dikaitkan dengan pendedahan awal terhadap kekerasan dalam keluarga pelaku,” katanya kepada FMT.
Setakat Oktober tahun lalu, JKM mengendalikan 719 kes keganasan rumah tangga, meningkat berbanding 2015 dengan 667 kes.
Tetapi Sulaimah berkata peningkatan itu menunjukkan kesedaran orang ramai mengenai kesalahan keganasan rumah tangga dan membuat laporan, termasuk melalui “Talian Kasih” 24 jam yang disediakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Ambil masa sebelum bertindak
Kebanyakan wanita menghadapi keganasan rumah tangga selalunya bertahan untuk tempoh yang lama, sebelum mengambil tindakan drastik.
Ini disebabkan faktor seperti anak dan tanggapan rumah tangga sebagai “ikatan suci”, menurut WAO.
Laporan WAO 2015 berhubung kajian kes keganasan rumah tangga menunjukkan 89 daripada 110 wanita berhadapan dengan masalah itu lebih setahun sebelum berlindung dengan badan itu.
Laporan sama juga menyatakan 67 wanita pernah meninggalkan rumah mereka sekurang-kurangnya sekali dan 22 lagi membuat percubaan lebih daripada 5 kali, sebelum kembali kepada pasangan mereka.
“Wanita kembali ke rumah mereka atas pelbagai sebab – mereka ingin memberi peluang kepada pasangan untuk berubah, takut tiada tempat tinggal dan masalah kewangan, takut membesarkan anak sebagai ibu tunggal, atau takutkan stigma sosial berkaitan penceraian,” kata laporan itu lagi.
“Bagi wanita yang menghadapinya, ini (lari daripada suami) adalah langkah yang amat sukar,” kata Zaharah.
Zaharah kini sudah kembali bersama bekas suaminya selepas terharu dengan bekas suami dan keluarga mertuanya yang menjaganya yang parah akibat kemalangan, sehingga pulih sepenuhnya.
“Selepas meninggalkan ajaran sesat yang suatu ketika dulu memporak-porandakan hidup kami, dia kembali menjadi dirinya yang saya kenali sebelum berkahwin dulu,” katanya sambil berkata beliau kini menjadi pembuat keputusan dalam keluarga.
Beliau mengakui ada wanita yang berhadapan masalah yang lebih buruk selepas memberikan banyak peluang kepada pasangan mereka.
“Ada ribuan kes keganasan rumah tangga, namun semuanya bergantung kepada keadaan masing-masing. Apa pun langkah yang diambil, kita perlu ada kawalan penuh terhadap hidup kita,” katanya lagi. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.