`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, February 27, 2017

Kg Kerinchi, dari lubuk penagih kepada apartmen moden

Penantian penduduk selama lebih 6 tahun berbaloi meskipun pelbagai dugaan yang dialami.
residensiKerinchiKUALA LUMPUR: Selepas lebih 6 tahun, seramai 472 keluarga menarik nafas lega apabila kediaman usang yang dihuni mereka sejak 1971 bertukar wajah dengan apartmen moden “Residensi Kerinchi”.
“Kami sangat bimbang sekiranya projek pemaju terbengkalai, jika rumah tidak siap hancurlah harapan kami.”
Ia antara luahan penduduk Flat Empat Tingkat, Kampung Kerinchi ketika cadangan projek pembangunan semula atas tapak mereka seluas 2.8 hektar itu berada di kemuncak pada 2010.
Berbanding kediaman sebuah atau tiada bilik di Flat Empat Tingkat sebelum ini, Residensi Kerinchi menampilkan 3 bilik tidur dan 2 bilik air bagi setiap unitnya yang berkeluasan 83.61 meter persegi.
Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Residensi Kerinchi, Ahmad Rahman, penantian selama lebih 6 tahun itu berbaloi meskipun pelbagai dugaan yang dialami oleh para penduduk sejak projek pembangunan itu diumumkan.
“Keadaan kami sangat teruk ketika mendiami flat berkenaan, selain masalah kebersihan seperti tikus dan sampah-sarap, ia juga merupakan lubuk penagih dadah suatu ketika dahulu.
“Namun kini, dengan bantuan kerajaan pusat dan syarikat pemaju, hasrat kami untuk memiliki rumah selesa akhirnya tercapai,” katanya.
Warga emas Siti Rohani Idris, 67, berasa teruja dengan kediaman baharu yang jauh lebih baik daripada apa yang diimpikannya.
“Kami menerima kunci rumah baharu itu bulan lepas, apabila melangkah masuk sahaja ke Residensi Kerinchi, saya sekeluarga sangat gembira kerana kemudahannya seolah-olah kediaman kondominium mewah.
“Selain ada sekuriti dan padang mini permainan, mereka juga turut menyediakan kolam renang.
“Oleh kerana pihak pemaju tidak menggalakkan kami menyidai baju di ampaian, kami turut diberi sebuah mesin basuh 2 dalam 1 yang dilengkapi dengan fungsi pengering bagi setiap unit rumah,” katanya.
Katanya, pelan pembangunan pemaju mempunyai skim yang membantu mereka sebelum berpindah ke rumah baharu, antaranya elaun pindah keluar ke rumah transit di PPR Kerinchi sebanyak RM5,000 dan pindah masuk ke Residensi Kerinchi sebanyak RM8,000.
“Selain itu, pihak pemaju turut memberi bantuan kepada penduduk yang mempunyai anak-anak yang bakal masuk ke alam persekolahan dan mengangkut barang untuk berpindah hatta kenduri-kendara, sepanjang kami mendiami rumah transit
selama 6 tahun,” katanya.
Pengarah syarikat pemaju Suez Domain Sdn Bhd, Datuk Yasran Hussain berkata, walaupun projek pembangunan ini mengalami sedikit kelewatan, namun penduduk berpuas hati dengan apa yang ditawarkan oleh pihaknya.
“Sepatutnya kediaman ini siap pada Mac 2016. Jadi setiap keluarga dibayar RM1,250 sebulan untuk tempoh lapan bulan projek lewat. Kami tidak menukarkan nilai itu dengan hal lain, tetapi kami berikan secara tunai kepada mereka setiap
bulan,” katanya.
Katanya, projek membangunkan Residensi Kerinchi begitu dekat dengan hatinya kerana ia bukan hanya sekadar mengaut keuntungan, malah turut menaik taraf kehidupan kaum Bumiputera di tengah-tengah kawasan elit itu.
“Ketika sesi penyerahan kunci pada Januari lalu, ramai warga emas yang menangis terharu melihat kediaman baharu mereka yang telah siap, dan turut mengenangkan ada dalam kalangan anggota keluarga yang tidak sempat merasai rumah baharu itu.
“Ada dalam kalangan mereka terlalu teruja sehingga mula berpindah dengan serta merta selepas mendapat kunci dengan menanggung kos pemindahan sendiri, meskipun kami telah menetapkan jadual pemindahan dan kos ditanggung secara
percuma,” katanya.
Kerinchi Residensi, yang menempatkan 472 unit apartmen dibangunkan di kawasan lebih 2.8 hektar di atas tapak bekas kawasan rumah pangsa empat tingkat di Kampung Kerinchi.
Projek bernilai kira-kira RM600 juta itu yang setiap satunya berkeluasan 83.61 meter persegi, bernilai antara RM350,000 dan RM400,000 seunit. Ia dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.