Ini hukum yang penting dalam urusniaga 'online' sekiranya pengguna mahu mengelak ditipu.
PETALING JAYA: Ingat ini – jika sesuatu barang dijual terlalu murah, kemungkinan besar ia adalah penipuan.
Ia mungkin hukum terpenting dalam sebarang urus niaga, apatah lagi yang dibuat secara melalui internet di mana pembeli tidak dapat melihat barangan tersebut secara fizikal.
Bagi Ketua Operasi iCar Asia Limited – yang mengendalikan laman jual beli kereta carlist.my – Sujatha Periasamy, cara paling mudah mengenal pasti penjual yang menipu adalah harga terlalu rendah berbanding pasaran.
“Ia sentiasa berlegar sekitar harga. Jika harganya terlalu rendah, dari sana senang untuk mengenal pasti sama ada ia penipuan atau tidak,” katanya dalam satu wawancara baru-baru ini.
Pengurus Besar iCar (Malaysia), PC Gan berkata, jenayah itu semakin memburuk tahun demi tahun, dengan pelbagai taktik penipuan yang digunakan.
“Pada 2015, polis menyatakan ada lebih 4,000 kes penipuan atas talian, yang turut melibatkan e-dagang, dengan jumlah kerugian RM22 juta,” katanya.
Di Malaysia, pembeli atas talian dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pengguna (APP) 1999, dan mereka yang ditipu boleh membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna (TTPM).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Hamzah Zainudin dilaporkan berkata perlindungan tersebut sama seperti kepada pembeli di kedai biasa.
Kerajaan juga menguatkuasa Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012 bermula Julai 2013, yang menggariskan syarat yang perlu dipatuhi penjual sebelum melakukan perniagaan atas talian.
Antara yang perlu dipaparkan adalah nama penjual atau syarikat, nombor pendaftaran perniagaan atau syarikat, nombor telefon serta alamat e-mel dan premis dan maklumat utama barangan yang ditawarkan.
Di carlist.my, kata Sujatha, pemeriksaan ketat ke atas penjual dan kereta yang diiklankan dilakukan demi melindungi pembeli dan mengekalkan kewibawaan laman itu.
“Bagi penjual berstatus syarikat, kami akan memastikan pendaftaran perniagaan serta turun melihat sendiri ‘show room’ mereka.
“Bagi penjual persendirian, kami akan ke rumah mereka untuk melihat sendiri kereta yang bakal diiklankan dan mengesahkan butiran peribadi.”
Malah, katanya, carlist menghantar jurugambar profesional untuk mengambil sendiri gambar kereta yang akan diiklankan, selain memeriksa keadaan kereta tersebut, seperti spesifikasi dan jarak perjalanan.
“Iklan yang tidak menepati syarat akan ditolak serta-merta,” kata Gan.
Carlist merupakan laman web jual beli kereta terbesar di Malaysia, dengan lebih 160,000 iklan (listing), selain memuatkan berita automotif dan ulasan model kereta.
Gan berkata laman itu menerima kira-kira 3 aduan setiap bulan, namun ia lebih kepada “masalah interaksi antara penjual dan pembeli”.
Menurutnya, pihak mereka akan menyiasat setiap aduan dan memberikan penyelesaian yang adil bagi kedua-dua pihak.
Namun, kata Sujatha, kata putus terletak pada pembeli sendiri bagi memastikan mereka tidak mudah jatuh ke dalam perangkap penipu.
“Di mana-mana sahaja, kita perlu berhati-hati jika harga barang terlalu murah. Carlist menyediakan ‘panduan harga purata’ bagi membolehkan pembeli memeriksa harga pasaran setiap model.”
Satu peringatan Gan kepada pembeli di carlist.my ialah jangan membuat bayaran pendahuluan sebelum melihat sendiri kereta yang ingin dibeli.
“Jika selepas itu berlaku pertikaian, ia akan menjadi subjektif. Pendek kata, pembeli sendiri yang perlu lebih bertanggungjawab dan berhati-hati. -FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.