`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, August 27, 2019

Ada cara lain kumpul dana selain bon Samurai, pakar ekonomi beritahu Putrajaya

Dr Mahathir Mohamad bergambar dengan rakan sejawatan dari Jepun, Shinzo Abe ketika mengadakan lawatan ke Tokyo tahun lalu. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA: Seorang pakar ekonomi menggesa Putrajaya mencari pilihan lain untuk mengumpul dana selepas kerajaan dilaporkan sedang mempertimbangkan tawaran kedua bon Samurai dari Jepun.
Yeah Kim Leng memberitahu FMT, pilihan lain termasuk menjadikan aset bukan pendapatan kepada sumber pendapatan dan menjual saham dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang beroperasi di bidang mempunyai pelabur sektor swasta mencukupi.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad semalam yang kerajaan sedang mengkaji satu lagi tawaran bon Samurai kerana Jepun menawarkan pinjaman “cukup murah”.
Yeah berkata, walaupun kadar faedah “menghampiri sifar” di sesetengah negara maju, bon perlu kos efektif selepas mengambil kira kos melindung nilai.
Katanya, walaupun bon tempatan mungkin ialah pilihan lebih bijak, menukar aset bukan pendapatan kepada sumber pendapatan dan menjual saham GLC lebih baik.
“Pendek kata, elak berhutang dan jika ia tidak boleh dilaksanakan, pinjamlah dalam mata wang kita sendiri kecuali ada alasan strategik untuk mengambil pinjaman mata wang asing,” kata profesor ekonomi di Universiti Sunway itu.
Beliau berkata, aset seperti lapangan terbang dan pelabuhan boleh dijual dalam bentuk amanah pelaburan hartanah.
“Pegangan saham kerajaan dalam GLC pelbagai sektor seperti kewangan, perindustrian, penjagaan kesihatan dan pendidikan boleh dijual untuk meningkatkan penyertaan sektor swasta.”
Pensyarah ekonomi di Universiti Putra Malaysia, Abu Sofian Yaacob bersetuju bon tempatan ialah pilihan lebih baik berbanding bon Samurai kerana ia hampir tiada risiko dan kos hampir sama, jika mengambil kira kos melindung nilai.
Sebelum ini, Putrajaya dilapor mempertimbangkan untuk mengeluarkan satu lagi bon Samurai jika ia boleh mendapat kadar sama dengan 0.63% dalam terbitan awal 300 bilion yen, walaupun ini tanpa pertukaran mata wang, satu bentuk lindung nilai.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kos untuk bon itu selepas pertukaran mata wang akan menghampiri 4%, sama dengan Sekuriti Kerajaan Malaysia.
Beliau memberitahu FMT, kerajaan boleh mengkaji sebarang jurang cukai sedia ada, bajet dan menjalin lebih banyak kerjasama dengan sektor swasta untuk mengurangkan tekanan ke atas kewangannya.
“Tetapi, kerajaan akhirnya masih perlu meminjam wang, sama ada dari dalam atau luar negara.”
Abu berkata, ada kebimbangan yang perlu ditangani kerajaan terlebih dahulu sebelum memilih satu lagi bon Samurai, termasuk kenapa Jepun menawarkan pinjaman berkadar rendah kepada Malaysia.
Beliau ingin tahu jika ada sebarang kesan terhadap tawaran itu, di mana Jepun boleh mengambil alih aset Malaysia seperti saham Khazanah Nasional dalam IHH Healthcare sebagai balasan.
Beliau turut menggesa kerajaan menjelaskan cara ia membelanjakan pinjaman RM58 bilion yang diambilnya pada suku pertama tahun ini dan keperluan untuk mendapatkan pinjaman lain.
“Orang ramai sedar hutang negara bertambah dengan banyak sejak kerajaan baru mentadbir negara.”
Baru-baru ini, pakar ekonomi Barjoyai Bardai menggesa Putrajaya memperlahankan perbelanjaannya dengan memetik statistik Bank Negara Malaysia yang menunjukkan kerajaan meminjam RM58.1 bilion dalam 6 bulan pertama tahun ini.
Pensyarat Universiti Tun Abdul Razak itu dilaporkan berkata, angka itu menunjukkan hutang kerajaan persekutuan meningkat daripada RM686.8 bilion pada akhir 2017 kepada RM799.1 bilion ketika ini. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.