`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, October 28, 2019

PH mahu berdepan Dr M yang marah?

Pelbagai tindakan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri kini sering dipertikai. Malangnya, ia sering dipertikai dalam kalangan pimpinan Pakatan Harapan sendiri yang beliau bantu untuk menguasai Putrajaya.
Insiden terbaru yang boleh dijadikan bukti ialah kritikan pedas ahli jawatankuasa tertinggi DAP Ronnie Liu terhadap beliau di mana Liu berkata Pakatan Harapan tidak memerlukan PPBM, sekiranya gabungan itu berpecah kerana tindakan Mahathir.
Suara-suara menggesa Mahathir mengundurkan diri sebagai PM dan digantikan Anwar Ibrahim semakin bergema saban hari terutamanya selepas Mahathir menghadiri Kongres Maruah Melayu (KMM).
KMM diserang kiri kanan sebagai himpunan yang rasis oleh mereka yang tidak mempersetujuinya dalam kalangan PH sendiri.
Walaupun serangan awam kelihatan tertumpu kepada Naib Canselor Universiti Malaya, Dr Abdul Rahim Hashim yang didesak letak jawatan dan ketua penganjur Zainal Kling, persepsinya ialah para pengkritik KMM sebenarnya ingin menyerang Mahathir yang sudi hadir merasmikan KMM.
Kritikan pedas terhadap KMM mengusik Mahathir sehingga terpaksa meluangkan masa membalas kritikan melalui blognya Chedet walaupun beliau sedang sibuk dalam lawatan ke Turkmenistan.
Dalam tulisannya, Mahathir tidak menyangka dengan nasihat yang diterima yang mendesaknya tidak menghadiri kongres tersebut. Pada pandangannya, walaupun terdapat pandangan yang ekstrem tetapi secara keseluruhan KKM seimbang.
Membalas hujah para pengkritik KMM, beliau mengingatkan mereka ia perkara normal bagi rakyat mengadakan pertemuan dengan kumpulan etnik mereka sendiri.
Ini kerana, katanya, rakyat masih suka mengaitkan identiti mereka dengan negara asal masing-masing walaupun mereka merupakan warganegara selama tiga generasi. Manakala di negara berbilang kaum yang lain, beliau berkata, rakyat bukan asal telah pun mengikut budaya dan bahasa rakyat asal negara itu.
“Mereka tidak mahu kehilangan identiti bangsa mereka. Mereka menunjukkan kaitan etnik ini melalui bahasa, budaya, sekolah dan organisasi etnik mereka. Ini ukuran toleransi orang asal di Malaysia bahawa perhimpunan yang terbatas kepada kumpulan etnik yang berbeza diterima sebagai normal.
“Ia tidak boleh, kumpulan etnik lain boleh mengadakan perhimpunan untuk membincangkan hal mereka, orang Melayu tidak boleh, bahawa perhimpunan mereka bersifat rasis,” tulis beliau.
Mahathir juga membangkitkan isu sensitif yang pasti menyinggung perasaan orang bukan asal negara ini apabila beliau mengingatkan hakikat bagaimana orang bukan asal diterima sebagai warganegara dengan satu juta kewarganegaraan diberikan walaupun tidak layak ketika negara mencapai kemerdekaan.
“Ia menyakitkan saya untuk fikir bahawa di negara mereka sendiri, orang asal tidak sepatutnya mengadakan perhimpunan mereka sendiri tanpa dituduh bersifat rasis. Dan sekarang, tentu saja, saya akan dilabel sebagai rasis kerana menulis (catatan) ini.”
Sesiapa yang membaca tulisan itu boleh merasai kekecewaan dan kemarahan Mahathir.
Sudah pasti tulisan Mahathir akan menyemarakkan azam para pengkritiknya untuk terus menggesa dan mendesak agar Mahathir diganti segera oleh Anwar.
Cuma persoalannya, apakah desakan berulang ini akan menyebabkan Mahathir marah selepas beliau sudah mengulang-ulang berkata peralihan kuasa akan berlaku selepas beliau puas hati dengan proses pemulihan negara?
“Saya janji tidak akan duduk lama, cuma saya berpendapat bahawa berasaskan pengalaman saya dulu saya boleh cuba betulkan segala kesalahan yang dilakukan oleh (bekas perdana menteri) Najib (Razak).
“Apabila saya berpuas hati, saya tidak akan teruskan (jadi perdana menteri) tetapi saya tidak dapat memberi masa tertentu kerana masalah negara ini (Malaysia) amat besar dan tidak mudah untuk kita selesaikan,” katanya.
Dalam dunia politik Malaysia, semua tahu apabila Mahathir menjadi marah, pasti sesuatu akan berlaku kerana beliau akan melaksana misinya dengan segigih hati.
Tanyalah Abdullah Ahmad Badawi dan Khairy Jamaluddin, apa yang berlaku ketika Mahathir marah.
Lihatlah apa yang terjadi pada Najib Razak apabila menimbulkan kemarahan Mahathir. PH menyaksikan bagaimana Dr Mahathir boleh membawa mereka ke Putrajaya ketika Anwar gagal berbuat demikian.
Ingatlah juga nasib Anwar pada 1997 dan 1998.
Apakah PH dan Anwar mahu mencuba nasib sekali lagi dengan Mahathir yang marah? - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.