`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, January 31, 2021

Boleh tamat PKP, tapi ketatkan SOP, tiada rentas negeri, kata pakar

 

Pakar berkata, prosedur operasi standard Covid-19 perlu diketatkan agar penularan pandemik tidak menjadi lebih parah dan matlamat menurunkan angka kes semaksimum dapat dicapai.

KUALA LUMPUR: “PKP tetapi macam tak PKP”, itulah persepsi dan tanggapan masyarakat berhubung perintah kawalan pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan di seluruh negara, kecuali Sarawak.

Isu itu timbul apabila “PKP 2.0” dikatakan tidak begitu berjaya melandaikan penularan kes Covid-19 yang mencecah empat angka setiap hari dengan penguatkuasaannya dilihat amat longgar.

Justeru wujud perasaan bimbang jika PKP kali ini ditamatkan, situasi jangkitan Covid-19 dalam negara akan menjadi lebih teruk.

Bagi presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Dr Zainal Ariffin Omar, lebih penting adalah prosedur operasi standard (SOP) diketatkan agar penularan pandemik itu tidak menjadi lebih parah dan matlamat untuk menurunkan angka kes semaksimum mungkin akan dapat dicapai.

Dr Zainal Ariffin Omar.

“Orang jadi marah sekarang ini kerana walaupun PKP, tetapi SOP tidak tentu hala, seperti tiada PKP.

“Sebenarnya kalau tiada PKP tidak apa, tetapi SOP dan pematuhannya adalah yang paling penting bagi melandaikan lengkung penularan,” katanya.

Pada 25 Jan lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, PKP yang dijadual berakhir pada 4 Feb ini, tidak akan dilanjutkan bagi mengelak kesan negatif terhadap ekonomi negara.

Namun keesokannya, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, ia hanyalah bayangan yang dibuat oleh Noor Hisham, dan keputusan sama ada pelaksanaan PKP lebih ketat atau kembali kepada PKP bersyarat (PKPB), bergantung kepada keputusan mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Zainal Ariffin berkata, jika PKP ditamatkan dan PKPB diperkenalkan kembali, perlu ada larangan terhadap perjumpaan sosial beramai-ramai atau apa jua perhimpunan yang melibatkan ramai orang, selain larangan rentas negeri.

“Mana-mana majlis tertutup, khususnya seperti makan-makan, kenduri-kendara, sambutan hari jadi yang melibatkan ramai orang tidak seharusnya dibenarkan.

Buat seperti negara lain contohnya di Singapura, hanya lima orang sahaja maksimum boleh berkumpul untuk majlis sosial.

“Selain itu, jadikan pemakaian pelitup muka mandatory,i iaitu apabila keluar rumah automatik pakai atau dikenakan tindakan.

“Penjarakan fizikal juga perlu diutamakan, kalau nampak ramai berkerumun di kedai atau pejabat, ambil tindakan,” katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan perlu bertindak lebih tegas terhadap industri perkilangan dengan menutup kilang terbabit apabila terdapat laporan pekerja mereka positif Covid-19.

“Kilang mencatatkan kes yang sangat tinggi, jadi kerajaan perlu lebih bertegas…kalau dahulu bila kes ribu-ribu baru diarahkan tutup, tetapi sekarang ini jika kilang catatkan satu atau dua kes sahaja ia perlu diarahkan tutup sampailah keadaan bertambah baik,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga sepatutnya menyediakan dan menunjukkan kepada rakyat segala strategi mereka untuk melawan Covid-19, seperti Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengeluarkan 200 muka surat strategi untuk memerangi Covid-19 pada hari pertama menjadi presiden.

Beliau berkata, kerajaan juga boleh melaksanakan PKP bersasar dengan ‘menutup’ negeri yang mencatatkan kes yang tinggi seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.

Beliau turut mengingatkan meskipun PKP ditamatkan dan diganti dengan kaedah yang lain, namun angka positif diramal tidak akan menurun untuk sekurang-kurangnya 10 hingga 14 hari berikutan tempoh pengeraman Covid-19.

Dr Yahya Mat Arip.

Senada dengan beliau, pakar virologi di Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Yahya Mat Arip berkata, negara lebih memerlukan PKP secara bersasar, berbanding secara menyeluruh, yang boleh dilaksanakan terhadap sektor “panas” yang dikenal pasti.

“Kita sedia maklum akan kesan pelaksanaan PKP terhadap masyarakat, terutamanya dari segi sektor ekonomi dan pada masa yang sama juga, kita perlu menangani wabak Covid-19 dengan bilangan kes empat angka…mengimbangi kedua-dua perkara ini ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa.

“Pihak berkuasa sudah mengenal pasti beberapa sektor yang menjadi ‘hotspot’ kepada kes Covid-19, maka mungkin boleh PKP disasarkan kepada sektor ini,” katanya sambil menambah, tempoh 14 hari mungkin boleh dijadikan asas untuk PKP bersasar.

Beliau berkata, sama ada PKP, PKPB atau PKP pemulihan (PKPP) dilaksanakan atau SOP diperketatkan sekalipun, jika kesedaran masyarakat adalah rendah, ia juga tidak akan membantu menurunkan bilangan kes dan seterusnya menyekat penularan wabak Covid-19. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.