`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, September 4, 2021

SD bukan penamat keabsahan PM, undi percaya jawapan sebenar, kata sarjana politik

 

Pada 18 Ogos lalu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah perdana menteri yang dilantik menerusi surat akuan ahli Dewan Rakyat hendaklah ‘secepat mungkin’ mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Keabsahan perdana menteri menerusi sokongan majoriti perlu dibuktikan di Dewan Rakyat, bukannya di luar dengan menggunakan akuan berkanun (SD), walaupun Ismail Sabri Yaakob selesai mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

Sarjana Politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Jayum Jawan, berkata jika undi percaya dibentangkan di Parlimen, ia bukan menunjukkan penderhakaan atau meragui kuasa Agong, sebaliknya Ahli Parlimen hanya melakukan kewajipan, selain menunaikan hak mereka sebagai ahli Dewan yang mulia itu.

“Sama ada perdana menteri akan ikut nasihat atau tidak, undi tidak percaya itu bukan perkara ditentukan oleh peguam negara atau perdana menteri. Ia adalah hak ahli Dewan Rakyat dan hal ini di luar bidang kuasa peguam negara dan PM.

“Usul undi percaya bukan datang daripada PM atau Perikatan Nasional (PN). Ia datang daripada ahli Dewan atau parti yang meragui bahawa PM ada cukup majoriti. Ini adalah proses politik dan PM kena terima hakikat ini untuk menunjukkan bahawa beliau benar-benar ada majoriti, di luar Dewan dan dalam Dewan,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Peguam Negara Idrus Harun dalam kenyataan berkata, pelantikan perdana menteri baharu tidak memerlukan keabsahan oleh mana-mana pihak selain daripada Seri Paduka Baginda.

Beliau berkata, jika pelantikan perdana menteri yang baharu masih memerlukan keabsahan oleh mana-mana pihak selain daripada baginda, ini bermakna kuasa mutlak Agong boleh diatasi pihak lain.

Pada 18 Ogos lalu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah perdana menteri yang dilantik menerusi surat akuan ahli Dewan Rakyat hendaklah “secepat mungkin” mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat.

Istana Negara dalam kenyataan pada tarikh demikian berkata, langkah itu bertujuan mengabsahkan individu berkenaan mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Jayum berkata kerajaan Ismail sama seperti Muhyiddin Yassin akan terus “bergoyang” kerana kedua-dua mereka mempunyai majoriti amat tipis.

“Ismail boleh tumbang bila-bila masa sekiranya tiga Ahli Parlimen menarik sokongan. Selagi Ismail yang juga PM ada majoriti tipis seperti (mana) beliau dan Muhyiddin, maka kepimpinan mereka akan goyang,” katanya.

Mengulas tindakan Umno mengenai usul undi percaya terhadap naib presidennya itu, Jayum berkata Umno dijangka tidak akan melakukan apa-apa.

“Sekiranya Umno mahu tahu sejauh mana sokongan Ismail di Dewan Rakyat, maka Umno boleh usul undi itu. Usul undi percaya atau undi tidak percaya bukan milik mana-mana individu atau parti. Mana-mana Ahli Parlimen dan parti boleh mengusulkannya,” katanya.

Beliau berkata, malah baik untuk diusulkan demi membuktikan bahawa Ismail mempunyai cukup sokongan majoriti.

“Ini sekali gus boleh memenangkan semua pihak dan memberi kestabilan kepada kepimpinan beliau sebagai PM,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.