`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, September 7, 2021

The Asli Co. pejuang misi kurangkan kadar berhenti sekolah anak-anak Orang Asli

 

Pengasas The Asli Co., Lim dan Wee (sebelah kiri), bersama Anis, Badrul dan Rema, yang secara kolektif membentuk satu pasukan di ibu pejabat. (Gambar Jason Wee)

Jason Wee, 34, dan Lim Xin Yu, 36, mengasaskan The Asli Co. pada tahun 2019 untuk memberi peluang kepada ibu-ibu dalam masyarakat orang asli memperoleh pendapatan tambahan bagi keluarga mereka.

Setelah terlibat secara aktif dalam pembinaan rumah Orang Asli dengan Epic Homes selama kira-kira sepuluh tahun, Wee dan Lim secara tidak langsung memahami dengan baik masalah sebenar yang dihadapi masyarakat itu.

Angka keciciran sekolah menengah yang mengejutkan dalam kalangan anak-anak Orang Asli menjadi isu yang cukup dekat di hati mereka.

“Ketua kampung memberitahu kami lebih daripada 50% anak-anak ini berhenti sekolah, ada ramai juga yang tidak habis sekolah rendah,” kata Lim, sambil menambah satu daripada sebab utamanya adalah kerana ramai ibu bapa Orang Asli tidak dapat menanggung perbelanjaan untuk kembali ke sekolah.

“Walaupun jumlahnya kecil bagi penduduk bandar, rata-rata pendapatan di kampung hanya sekitar RM800- RM1000 setiap isi rumah.

“Dengan tiga atau empat anak, perbelanjaan RM100-RM150 setiap seorang adalah satu jumlah yang cukup besar bagi mereka,” katanya.

Wanita Orang Asli yang bekerja di The Asli Co. mendapat gaji minimum sehingga empat kali ganda. (Gambar Jason Wee)

Wee dan Lim sedar mereka tidak dapat menyelesaikan masalah itu dengan hanya memberi sumbangan.

Mereka ingin mencari jalan keluar yang dapat memperkasakan masyarakat Orang Asli dalam jangka masa panjang.

“Kami juga mendapat tahu bahawa ramai wanita Orang Asli berhenti kerja setelah melahirkan anak kerana tidak mempunyai pengasuh.

“Pendapatan isi rumah mereka juga berkurangan sehingga separuh,” kata Wee, sambil menambah ia sekali gus menyukarkan ibu bapa untuk menyekolahkan anak mereka.

Wee dan Lim kemudian memutuskan untuk mewujudkan peluang pekerjaan buat ibu-ibu Orang Asli ini.

“Ketika itu saya dan Jason adalah pengumpul tumbuh-tumbuhan sukulen dan kami mencari pasu simen.

Kami merujuk beberapa tutorial di YouTube dan memutuskan untuk bertanya kepada kaum ibu Orang Asli jika mereka ingin membuat pasu itu,” kata Lim.

Pada satu hari minggu, Wee dan Lim membawa beberapa simen, kulir dan cat dan mula mengetuk pintu rumah di kampung yang pernah mereka bina sebelum ini.

“Begitulah bagaimana ia bermula,” kata Wee.

Walaupun Wee dan Lim memberikan garis panduan dan reka bentuk umumnya, wanita Orang Asli turut menyumbang idea mereka mengenai teknik dan bahan.

“Keseluruhan proses itu sangat menyeronokkan kita semua.

“Beberapa bulan kemudian, saya dan Jason membawa periuk ini ke bazar dan semuanya habis terjual. Kami menjana kira-kira RM4,000, dan kami tahu ada sesuatu yang dapat kami sumbangkan di sini,” kata Lim.

Didorong oleh sambutan orang ramai, Wee dan Lim segera membangunkan sebuah laman web dan mendapat khidmat lebih ramai wanita Orang Asli untuk membuat pasu.

Misi The Asli Co. adalah untuk memastikan anak-anak Orang Asli menamatkan persekolahan mereka. (Gambar Jason Wee)

The Asli Co. kini bekerjasama dengan 42 ibu dari tujuh kampung Orang Asli di Selangor, Perak dan Pahang, dan sejak itu mereka telah menghasilkan lebih dari 10 produk.

“Ketika pertama kali bermula, kumpulan ibu Orang Asli ini cukup bersemangat. Mereka akan mengajar jiran dan rakan sebelum kita dapat melatih mereka.

“Mereka membawa masuk rakan mereka dan begitulah cara kami berkembang,” kata Wee, sambil menambah ia adalah sesuatu yang tidak kita lihat di bandar.

“Biasanya, kalau orang bandar dapat jalan untuk menghasilkan wang, mereka simpan untuk diri sendiri,” katanya.

Sehingga kini Wee dan Lim telah menyalurkan dana berjumlah RM 550,000 kepada masyarakat Orang Asli melalui upah, latihan, peralatan dan bahan mentah.

“Kami mengira upah dengan cara yang sangat adil,” kata Lim, sambil menambah mereka membayar sehingga 2-4 kali ganda dari gaji minimum.

Wee dan Lim kini menjalankan The Asli Co. secara sepenuh masa bersama dua pekerja Orang Asli yang lain.

Hamidah dan Ayu kini dapat bekerja dengan selesa dari rumah sambil memerhatikan anak-anak mereka. (Gambar Jason Wee)

Hamidah, yang tinggal di Kampung Orang Asli Serendah, telah bekerja dengan The Asli Co. menjahit pelitup muka dan membuat pembersih tangan selama lebih kurang setahun.

Ibu kepada dua anak perempuan itu berkata dia seronok mempelajari kemahiran baru, dan walaupun pengeluarannya dihentikan buat sementara waktu, dia tidak sabar untuk menyambung semula kerja setelah keadaan Covid-19 bertambah baik.

Wanita berusia 24 tahun yang fasih berbahasa Temuan, Bahasa Malaysia, Inggeris dan Dusun itu, amat merindukan suasana sebelum wabak ketika dia bebas pergi ke mana sahaja.

Dia dan anak-anaknya juga tidak sabar untuk bertemu kembali dengan suaminya yang kini bekerja jauh dari rumah.

Ayu, yang tinggal di Kampung Orang Asli Kuang, mula menjahit pelitup muka untuk The Asli Co. pada Ogos tahun lalu.

Sebelum ini, dia bekerja di sebuah kilang jauh dari kampungnya kerana tidak ada pekerjaan yang lebih dekat – masalah yang sering dihadapi oleh Orang Asli.

Wanita berusia 26 tahun itu kini menghabiskan waktu awal pagi dan malam menjahit, sambil menghabiskan masa dengan anak-anaknya.

Ibu kepada dua anak lelaki yang cukup ringan tulang itu mengimpikan untuk membeli sebuah rumah sebaik wang simpanannya mencukupi.

Set hadiah korporat ini yang terdiri daripada bantal mata, semburan linen, sabun dan nota khas adalah salah satu daripada produk terlaris mereka. (Gambar Jason Wee)

Akibat larangan pergerakan Covid-19, Wee dan Lim tidak lagi dapat pergi ke kampung untuk mengadakan latihan dan bertemu dengan Orang Asli.

Buat masa ini, mereka menghantar bahan dan peralatan melalui Grab atau Lalamove supaya para ibu masih dapat bekerja dari rumah mereka.

“Kami bertuah dapat bertahan ketika gelombang pertama pandemik kerana memilih untuk fokus pada pembersih tangan dan pelitup muka yang mendapat sambutan cukup baik,” kata Wee, sambil menambah mereka telah melancarkan bantal mata dan semburan linen pada awal tahun ini.

Wee dan Lim turut menegaskan bahawa kebanyakan wanita ini kini menjadi pencari nafkah keluarga setelah suami mereka kehilangan pekerjaan akibat wabak tersebut.

“Sebahagian lelaki bekerja di kilang sementara yang lain menerima gaji harian sebagai pekerja kebun,” kata mereka kepada FMT.

Anak-anak Orang Asli juga tidak terkecuali terkesan akibat wabak tersebut kerana kebanyakan mereka tidak memiliki komputer riba atau tablet, yang menghalang daripada mengakses pelajaran dalam talian.

“Ada keluarga yang hanya mempunyai satu telefon bimbit untuk setiap isi rumah yang terdiri daripada lima orang, jadi agak sukar bagi anak-anak untuk mengikuti pelajaran mereka,” keluh Lim, sambil menambah orang ramai boleh menderma telefon lama, tablet dan komputer riba mereka jika mereka mahu.

Selain latihan, The Asli Co. turut mengadakan banyak aktiviti membabitkan orang awam dengan masyarakat Orang Asli. (Gambar Jason Wee)

Dalam masa terdekat, Wee dan Lim merancang untuk memperkenalkan bantal leher sebagai pelengkap kepada bantal mata.

Mereka juga telah menemui pasangan yang ingin melatih wanita Orang Asli untuk membuat sabun pencuci pinggan menggunakan minyak kitar semula.

“Kami telah menangguhkannya selama hampir setahun akibat pandemik, tetapi saya rasa sudah tiba masanya untuk kita menggunakan Zoom,” kata Lim, sambil menambahkan bahawa ia juga akan mencegah minyak terpakai dari dibuang ke sungai.

“Apa yang lebih penting, kami ingin bekerjasama dengan lebih ramai ibu dari lebih banyak kampung,” kata Wee dan Lim, yang tetap bersemangat dalam misi mereka dalam memecahkan kitaran kemiskinan di kalangan Orang Asli.

Untuk membeli produk buatan wanita kaum Orang Asli, kunjungi laman web The Asli Co. Anda juga boleh mengikuti mereka di Instagram dan Facebook.

- FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.