`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, January 29, 2022

Akibat tak dengar nasihat Tok Guru

 

Artikel ini saya tulis didorong tuduhan terbaharu Presiden PAS Abdul Hadi Awang bahawa Umno melakukan “benda tidak bermoral dan tak betul”.

Abdul Hadi semalam – Jumaat 28 Januari 2022 – di Marang, Terengganu mengumpamakan Umno bagai itik yang pernah patah kaki tetapi setelah sembuh dirawat PAS mahu berenang sendiri “tinggalkan kita”.

Hadi mengulas tindakan Umno memutuskan kerjasama dengan Bersatu sekali gus meletakkan Muafakat Nasional terumbang-ambing.

Merujuk kekalahan Umno pada PRU empat tahun lalu, beliau mengibaratkan Umno “itik yang patah kaki (pada) pilihan raya ke-14″. Lalu beliau berkata “kita selamatkan itik yang patah kaki ini bukan nak ajar berenang. Dia patah kaki. Malangnya bila kakinya dah pulih dia nak berenang sendiri. Nak tinggalkan kita. Jadi itu satu benda yang tidak bermoral dan tak betul.”

Pada pertemuan dengan wartawan di Marang semalam, Hadi juga mendedahkan strategi Umno sekarang khususnya “kluster mahkamah” ialah untuk mencetuskan pilihan raya demi pilihan raya peringkat negeri di mana Umno menguasai.

Hadi juga mengesahkan kerajaan persekutuan kini dikuasai Perikatan Nasional walaupun Perdana Menteri orang Umno.

Kedua-dua perkara amat menarik tetapi akan dibincangkan di lain artikel. Untuk artikel ini tumpuan ialah mengenai ‘itik yang tidak kenang jasa’ jika apa yang dikatakan Hadi disimpulkan.

Maksud Hadi ialah apabila Umno tewas PRU14, PAS lah yang menolong Umno tetapi apabila Umno sudah pulih ia mahu tinggalkan PAS. Itu intipati hujah Hadi di Marang semalam.

Pasti Umno punyai ceritanya sendiri. Namun ketika artikel ini ditulis Umno belum mengeluarkan reaksi. Apa pun kita teruskan bicara hubungan PAS-Umno.

Baru-baru ini tular video sedutan ucapan Allahyarham Nik Aziz Nik Mat mengingatkan PAS jangan terperangkap dengan tipu helah Umno. Tok Guru mengimbas beberapa “pengkhianatan” Umno terhadap PAS lantas menasihati pemimpin dan ahli PAS jangan menjalin apa-apa hubungan dengan Umno termasuk mengwujudkan “kerajaan perpaduan”.

Tidak dapat dipastikan bila video itu dirakamkan. Tetapi Nik Aziz sememang diketahui umum tidak mahu PAS bekerjasama atau menjalin hubungan dengan Umno kerana “Umno nak berbaik-baik dengan kita bila dia tersepit”.

Dalam erti kata lain, Nik Aziz sudah serik berbaik-baik dengan Umno kerana apa yang Umno lakukan ke atas PAS.

Tidak dipastikan juga siapa yang menyiarkan semula video ucapan Nik Aziz yang disebut tadi. Cuma kapsyen yang mengiringinya berbunyi “untuk peringatan anak-anak yang dah mula percaya dengan kerjasama dengan Umno”. Lebih kurang begitulah.

Uru-ura “kerajaan perpaduan” kedengaran sejurus selepas Pakatan Rakyat (gabungan yang tidak formal ketika itu dan dianggotai PAS sendiri bersama PKR dan DAP) menumpaskan kerajaan BN di Selangor pada PRU12 pada 2008. Beberapa negeri lain yang diperintah BN turut tumbang tetapi BN menguasai kerajaan pusat.

Hasrat mengwujudkan “kerajaan perpaduan” diilhamkan pihak-pihak tertentu dalam Umno dan PAS. Bagi PAS, Hadi, timbalannya ketika itu Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha Agung waktu itu Mustafa Ali, dan Pesuruhjaya Selangor Hassan Ali sering dikaitkan dengan isu “kerajaan perpaduan”.

Nik Aziz mahu isu “kerajaan perpaduan” ditutup sepenuhnya. Begitu juga apa bentuk kerjasama dengan Umno. Atas desakan Tok Guru isu berbaik-baik dengan Umno senyap. Tetapi tidak lenyap.

Yang jelas, ia diketepikan tetapi dipendam beberapa pemimpin PAS. Mereka senyap kerana rasa hormat dan mungkin juga takut akan Tok Guru Nik Aziz yang selaku Mursyidul Am PAS ketika itu amat berpengaruh, popular, dan dihormati dalam dan luar parti.

Namun apabila Nik Aziz meninggal dunia pada 2015, usaha beberapa pemimpin PAS berjinak-jinak dengan Umno timbul semula. Memendekkan cerita yang panjang, “atas semangat membela umat Islam” Presiden Umno ketika itu Najib Razak dan Hadi duduk sepentas pada satu perhimpunan solidariti Rohingya pada 2016.

Pada PRU14 PAS dikatakan menjalin kerjasama sulit dengan Umno. Ini dinafikan kedua-dua parti tetapi hakikatnya PAS bertanding menyeluruh dan meletakkan calon di kawasan yang tidak pernah ia tandingi. Ringkasnya calon PAS diletak bertanding juga di kawasan yang peluang untuk menang amat tipis. Malah kadar sifar.

Maka tercetus pelbagai tuduhan. Tidak perlu saya huraikan apa tuduhan itu kerana PAS dan juga Umno menafikan.

Ada pemerhati politik melihat peranan PAS ketika itu ialah bagi memecahkan undi khususnya undi Melayu yang dikatakan akan menguntungkan BN. Bagaimanapun apa yang berlaku ialah sebaliknya. Perpecahan undi lebih memberi manfaat kepada Pakatan Harapan yang ketika itu pembangkang.

Pada 2019, sebagai pembangkang, Umno dipimpin Ahmad Zahid Hamidi dan PAS pimpinan Hadi menubuhkan Muafakat Nasional. Demi “perpaduan ummah” kata mereka. Namun, pemerhati dan penganalisis politik bersetuju ia lebih demi “kelangsungan politik” dua parti itu.

Umno dan PAS amat yakin MN akan membolehkan mereka kembali berkuasa apabila pilihan raya kelak.

Bukan pilihan raya yang diadakan tetapi tercetus pula Langkah Sheraton yang membolehkan Umno dan PAS ambil jalan pintas untuk duduk dalam kerajaan Perikatan Nasional. Disusuli pula kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Ismail Sabri Yaakob.

Kita tahu Umno dan PAS bersengketa atas faktor Bersatu. Tidak perlu diperinci kerana semua sudah maklum dan ia masih dipertonton untuk khalayak.

Serangan Hadi di Marang semalam bukan baharu tetapi di antara yang paling keras dan jelas. Sebelum ini pun hulubalangnya sudah melancarkan serangan ke atas Umno. Terbaharu seperti yang saya tulis baru-baru ini , Mokhtar Senik yang meskipun bukan orang Presiden tetap membelasah Umno dengan menuduh “Umno sudah semacam kembali dirasuk sifat asal mereka iaitu tamakkan kuasa dan dirasukkan kerusi”.

Berkata Rektor Kolej Universiti Islam Perlis, Rozaimi Ramle, menerusi hantaran di Facebook: “Apabila melihat kenyataan terbaru Mokhtar berkenaan Umno, saya hanya mampu tersenyum kerana dari awal telah memberikan teguran kepada beliau apabila dulu berkata kesepakatan itu akan membuatkan malaikat bertakbir bergema seluruh alam dan Muafakat Nasional adalah piagam yang menggetarkan hati syaitan.”

Rozaimi mempersoalkan siapakah yang telah mengikut “telunjuk syaitan” sehingga menggugat kesepakatan dicapai PAS dan Umno melalui MN.

Saya tidak cadang ulas apa yang Rozaimi perkatakan. Realitinya PAS dalam keadaan sukar sekarang. Tak pun paling ringan mereka kesulitan dan tidak selesa kerana isu Umno, Bersatu, dan MN. Itu menggunakan bahasa paling lembut.

Mungkin PAS mengambil sikap ‘realistik’ mahupun ‘pragmatik’ ketika menjalin hubungan intim dengan Umno apabila pulangnya Nik Aziz ke rahmatullah. Kita maklum ia parti politik. Namun bagi saya mungkinkah apa yang PAS harungi kini ialah padah tidak mendengar nasihat Tok Guru? Waullahualam. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.