`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, January 28, 2022

Parti politik dengan masalahnya di Johor

 

Alasannya untuk memberi peluang kepada tokoh lain. Namun bagi pengkritik, langkah Muhyiddin Yassin tidak bertanding PRN Johor kali ini ialah kerana beliau “takut kalah”.

Kalahnya Muhyiddin kelak, kata pengkritik, bukan sahaja tamparan hebat kepada Presiden Bersatu itu tetapi juga akan menyaksikan partinya tenggelam.

Rekod beliau selaku Perdana Menteri dahulu bukan sesuatu yang boleh dibanggakan. Malah kerajaannya dikaitkan dengan “kegagalan”.

Tentulah partinya mempunyai pandangan dan pendirian berbeza. Bagi Bersatu, Muhyiddin tidak bertanding mempertahankan kerusi DUN Gambir pada PRN yang akan menjelang tiba tidak memberi kesan negatif ke atas parti mahupun Perikatan Nasional yang dipengerusi beliau.

Sebaliknya, kata Pengerusi Penerangan Johor, Mohd Solihan Badri, keputusan itu mampu memperkukuh kekuatan jentera parti untuk menewaskan BN kerana Muhyiddin punya banyak masa untuk fokus kepada strategi kerana tidak terikat sebagai calon.

Itu reaksi yang dijangkakan memandangkan ia datang daripada orang parti. Bagaimana pula pandangan orang “neutral”?

“Saya fikir itu keputusan bijak untuk tidak bertanding kerana beliau sudah pun seorang Ahli Parlimen. Sebagai Presiden PPBM dan Pengerusi PN, beliau mungkin diperlukan untuk mengawasi kempen dan strategi bagaimana mahu menang,” kata penganalisis politik, Sivamurugan Pandian. Itu senada dengan pendirian rasmi Bersatu.

Kata Siva, bekas Perdana Menteri itu “pernah diuji beberapa kali” termasuk ketika digugurkan oleh Najib Razak sebagai Timbalan PM, “bergelut” dengan puak dalam Umno semasa duduk dalam parti itu, dan “melawan” tim Dr Mahathir Mohamad dalam Bersatu ketika berlakunya Langkah Sheraton.

Kali ini Muhyiddin diuji lagi. Johor negeri kelahirannya. Kekalahan akan amat memalukan berdasarkan kedudukan beliau sebagai bekas PM, bekas MB Johor, serta Ahli DUN dan Parlimen sekian lama.

Meskipun Muhyiddin tidak bertanding kali ini seperti dikatakan tadi, kekalahan Bersatu di PRN Johor boleh membawa padah kepada kelangsungan parti itu.

Bersatu diakui ramai bukanlah parti yang kuat. Ia terpaksa bergantung harap pada PAS, yang sendiri terpaksa atau mahu bergantung harap pada Umno, kerana di Johor PAS tidak pernah kuat.

Pun begitu, Muhyiddin dengan tegas mengatakan Umno (BN) mesti dikalahkan dan jangan diberi peluang bangkit semula. Maksudnya, “kill off Umno once and for all”. Tetapi ketika saya menulis artikel ini, ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang, secara rasmi mengumumkan keluar Bersatu dan menyokong Umno.

Tidak dipastikan setakat ini sama ada ADUN Bersatu lain akan menyusuli Mazlan. Hakikatnya Umno awal-awal lagi sudah menyuarakan niat Bersatu mesti dihapuskan terus kali ini.

Ramalan awal ialah Bersatu dan PAS akan “dilenyapkan” di PRN Johor. Ramalan sama dibuat masa PRN Melaka tahun lalu. Walaupun Umno-BN menang besar di Melaka dan PAS tidak dapat satu kerusi pun, Bersatu menang dua kerusi dan PN memperolehi 24.3% undi keseluruhan. Ini dilihat pemerhati politik sebagai “kemenangan dalam kekalahan”.

Mungkinkah itu akan menaikkan semangat Bersatu (dan PAS?) menghadapi cabaran di Johor? Namun perlu diingat Melaka lain Johor lain. Kekuatan Umno di Melaka dan kekuatan Umno di Johor berbeza.

Di Johor, Bersatu perlu semua pertolongan yang boleh diraih. Setakat ini pembangkang sudah pun tolak mereka bulat-bulat walau apapun bentuk kerjasama. Terpaksalah Bersatu seperti dikatakan tadi “menyatu” dengan PAS yang lemah di Johor. Ini kita cerita sebentar lagi.

Apa khabar PH?

Kita bercakap dahulu mengenai pembangkang, khususnya Pakatan Harapan. PKR akan guna lambangnya sendiri di Johor. DAP dan Amanah akan guna logo PH. Maka bertanyalah wartawan veteran, Kadir Jasin, di Facebook: “PRN Johor: PKR guna logo sendiri. Logo PH diguna oleh Amanah dan DAP. Apakah ini strategi atau PKR dah membawa diri?”

Bagi pemimpin PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, keputusan itu didorong permintaan akar umbi dan juga lambang PKR dikaitkan dengan kejayaan PH pada PRU14, disamping ia lebih dikenali berbanding logo PH.

Kata Wong Chen, seorang lagi pemimpin PKR, soal logo dalam konteks PH bukan perkara pelik kerana PRN Sabah pada 2020 menyaksikan DAP dan Amanah tidak mahu guna logo PH, sebaliknya bertanding menggunakan logo Warisan – parti yang bukan anggota PH pun.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu, berkata mereka “lebih suka” jika PKR turut guna logo PH di Johor tetapi “kami menghormati keputusan PKR dan tetap akan menyokong dan bekerjasama”.

Namun bagi pemimpin DAP, P Ramasamy, “jika PKR tidak percaya logo gabungan (PH) apa gunanya kita bentuk gabungan?” Kata beliau lagi, adalah “salah dan dangkal bagi sesetengah pemimpin PKR menganggap punca masalah mereka ialah penggunaan logo PH”.

Ini bagi saya jelas merujuk pandangan sesetengah pihak yang menyifatkan antara punca kekalahan PH di Sarawak dan Melaka adalah penggunaan logo gabungan itu. Mereka yakin logo PKR sepatutnya digunakan.

Apa pun isu logo ini merumitkan usaha yang sememangnya sudah rumit iaitu untuk menang di Johor. Cuma, jika ada tanda positif, ialah pengagihan kerusi antara PKR, DAP, dan Amanah sudah beres dan pintu rundingan “masih terbuka” untuk MUDA, Pejuang, dan Warisan.

Kerjasama dengan MUDA dilihat amat bermakna dengan mengambil kira Undi18 yang akan dilaksanakan di PRN Johor.

Jika konsep “khemah besar” yang dianjur PH menjadi kenyataan, parti yang menyertai tidak perlu berperang berhubung isu logo kerana mereka tentunya bebas guna logo masing-masing berdasarkan keputusan PKR guna logo sendiri.

Apa pun cabaran yang dihadapi pembangkang tetap sengit di Johor.

Apa khabar PAS?

Beralih kepada PAS. Dikatakan tadi PAS masih berharap suatu “keajaiban” boleh berlaku dengan Umno, walaupun mengakui rasa “terhina” dengan tindakan Umno ke atas mereka, terutamanya “penawaran” hanya empat kerusi untuk PAS tandingi.

Pada masa sama, PAS tetap “menyerang” Umno. Sebagai contoh Mokhtar Senik yang menuduh Umno “sudah semacam kembali dirasuk sifat asal mereka iaitu tamakkan kuasa dan rakuskan kerusi” dan “tiada pawang lagi yang mampu merawat Umno selain sebuah kekalahan”.

Shahril Sufian Hamdan selaku Ketua Penerangan Umno menyelar kembali dan berkata kenyataan Mokhtar menyempitkan ruang untuk bekerjasama “dengan kawan yang menyerang serupa lawan”.

Mokhtar dikatakan rapat dengan Khairuddin Aman Razali yang tidak sehaluan dengan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang. Oleh itu mungkin apa yang dikatakannya bukan pendirian rasmi PAS.

Tetapi berkata pula Pengarah PAS Pusat, Sanusi Md Nor, dakwaan “parti lain” mengenai rundingan pembahagian kerusi membabitkan partinya di Johor adalah satu pembohongan dan “pihak terbabit sedang mengusahakan agar penyokong mereka membenci PAS”.

Sanusi tidak menamakan siapa yang beliau makudkan tetapi pemerhati politik percaya kenyataannya ditujukan kepada Umno. Sanusi ialah orang Presiden PAS, dan kata-katanya dilihat mewakili parti.

Apa yang dihuraikan setakat ini ialah Bersatu, PAS, PH ada masalah masing-masing dalam menghadapi PRN Johor.

Apa khabar Umno?

Umno bagaimana? Nampak selesa dan cukup yakin. Bak kata Siva, jika tidak yakin menang takkan Umno mahu bubar DUN untuk PRN diadakan.

Kata Siva, keputusan bekas MB yang juga Naib Presiden Umno, Khaled Nordin, untuk tidak bertanding ialah kerana beliau mungkin akan bertanding Parlimen pada PRU15 kelak.

Buat masa ini beliau beri perhatian terhadap strategi Umno di Johor. Itu pendapat Siva yang mungkin ada betulnya.

Ramai pemerhati politik dan pengamal media menjangkakan Umno-BN akan menang besar di Johor. Namun Umno juga tidak bebas dengan masalahnya sendiri. Khususnya masalah dalaman membabitkan puak – ada puak Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, ada puak Presiden Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak, dan ada puak pro-Bersatu.

Tetapi ini saya kira tidak akan menjejaskan peluang Umno di Johor. Ramai orang kata jika Umno menang besar di Johor ia akan mendorong PRU15 diadakan segera. Kita tahu ada pihak dalam Umno yang mahu PRU15 diadakan secepat mungkin.

Mengambil kira kemenangan besar di Johor (jika ditakdirkan menang) dan PRU15 diadakan segera, tetapi tanpa penyelesaian masalah berpuak, adakah PRU15 akan menyaksikan Umno “menang sorak kampung tergadai?” - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.