`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, April 15, 2022

Dedahkan syarat penyelesaian saman Apandi terhadap Dr M, peguam gesa Idrus

 

Dalam saman yang difailkan pada September 2020, Apandi Ali memohon deklarasi bahawa penamatan khidmatnya sebagai peguam negara oleh Dr Mahathir Mohamad menyalahi undang-undang.

KUALA LUMPUR: Dua peguam menggesa agar syarat penyelesaian di luar mahkamah antara kerajaan dan bekas peguam negara Apandi Ali berhubung pemecatannya pada 2018 didedahkan.

Salah seorangnya, R Kengadharan berkata, klausa kerahsiaan tidak terpakai kerana ia saman berkait kepentingan awam yang melibatkan Putrajaya dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dengan Apandi.

Katanya kepada FMT, Peguam Negara Idrus Harun harus mendedahkan keputusan kes itu memandangkan ia melibatkan pampasan berbentuk kewangan.

Seorang lagi peguam, Syed Iskandar al-Mahdzar berkata, individu persendirian atau entiti korporat berhak menyelesaikan pertikaian fitnah atau kontrak kerana pampasan akan dibayar menggunakan dana persendirian.

R Kengadharan.

“Namun sebarang pampasan yang dibayar kepada Apandi adalah daripada wang pembayar cukai dan kerajaan mesti dipertanggungjawabkan,” katanya kepada FMT.

Mereka mengulas laporan berita yang memetik peguam Apandi, Baljit Singh Sidhu, sebagai berkata: “Kerajaan, tanpa prejudis, bersetuju untuk menyelesaikan saman itu tanpa pengakuan liabiliti. Kami tidak boleh mendedahkan syarat penyelesaian.”

Tambahnya, penyelesaian itu direkodkan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir.

Kengadharan berkata kerajaan, jika menyokong ketelusan, mesti memanjangkan ini kepada prosiding kehakiman antara Jabatan Peguam Negara dan mana-mana pihak lain.

“Dalam kes ini, orang ramai berhak mengetahui keputusan akhir kerana ia melibatkan bekas perdana menteri dan bekas pegawai perundangan tertinggi negara,” katanya.

Syed Iskandar menggesa ahli Parlimen membangkitkan isu itu di Dewan Rakyat jika Idrus memilih untuk berdiam diri.

Syed Iskandar Jaafar al-Mahdzar.

Dalam saman yang difailkan pada September 2020, Apandi memohon deklarasi bahawa penamatan khidmatnya sebagai peguam negara oleh Mahathir menyalahi undang-undang.

Beliau meminta RM2,233,599.36 sebagai ganti rugi khas, dan ganti rugi punitif dan am untuk dinilai oleh mahkamah.

Apandi dilantik sebagai peguam negara pada 27 Julai 2015, dengan kontrak yang sepatutnya tamat pada 26 Julai 2018.

Beliau berkata, ketua setiausaha negara memaklumkan menerusi sekeping surat yang dikeluarkan sebelum pilihan raya umum ke-14 bahawa tempoh khidmatnya akan dilanjutkan tiga tahun lagi.

Bagaimanapun, dalam surat bertarikh 5 Jun 2018, ketua setiausaha negara memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong memperkenan penamatan khidmatnya, namun beliau tidak ditunjukkan sebarang dokumen membuktikan perkara ini.

Kerajaan dalam pembelaannya berkata, sebarang keputusan menamatkan kontrak Apandi dibuat berdasarkan undang-undang dan Mahathir tidak mempunyai peranan dalam keputusan tersebut. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.