`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, April 15, 2022

(VIDEO) ‘Dia cium pipi saya. Tak terfikir dia nak cakap selamat tinggal,’ ibu tangisi pemergian Baby Syifaa

 

Gambar keluarga yang diambil secara tidak sengaja, dua hari sebelum kematian bayi Syifaa.

PETALING JAYA: Bagi pasangan Yuseri Yusoff dan isteri Anida Idrus, “kemenangan besar” pada Ramadan ini ialah memperolehi kelulusan pihak berkuasa mengadakan inkues ke atas kematian anak mereka di sebuah taska di Bandar Seri Sendayan, Negeri Sembilan, Feb lalu.

Mereka menyifatkan inkues yang bermula 30 Mei depan sebagai langkah penting untuk menyingkap kebenaran di sebalik kematian Nour Rania Asyifaa Yuseri atau Baby Syifaa, 15 bulan, dalam buaian di taska berkenaan.

“Inkues ini bertujuan mencari sebab dan bagaimana Baby meninggal. Menurut polis, kes tak pernah ditutup. Misal kata inkues mendapati kematian Baby Syifaa disebabkan oleh perbuatan khianat atau pun bunuh, polis akan buka kes lain,” Yuseri memberitahu FMT.

Tonton video di sini.

Bagi isteri Yuseri, kehilangan anak berusia belasan bulan itu amat sukar diterima, lebih-lebih lagi dengan 1001 persoalan bermain di minda mengenai kematian Syifaa.

Yuseri Yusoff berharap inkues kematian bayinya yang bermula 30 Mei depan akan memberi jawapan kepada semua persoalan.

“Saya hantar anak saya (ke taska dalam keadaan) sihat, saya ambil dia…dah tak bernyawa. Saya hantar dia…dalam keadaan dia ceria, tapi dapat balik dah tak sedar. Tak bernyawa,” kata Anida, yang tidak dapat menahan rasa sebak.

Bagi Anida dan Yuseri, pemergian Syifaa amat pahit diterima, lebih-lebih lagi tragedi itu menyusul kematian bayi kedua mereka dua tahun sebelumnya.

Justeru, kelahiran Syifa pada 18 Nov 2020 membawa sinar dalam kehidupan pasangan itu berserta anak sulung mereka, Raysha Medina, 7.

“Syifa memang adik kesayangan kakak (Raysha). Setiap kali (saya) ambil kakak dari sekolah, kakak akan cakap ‘Syifa adik kesayangan kakak. Adik kakak yang comel’ sebab Syifaa ini adik yang ditunggu-tunggu oleh kakak,” kata Anida.

Anida Idrus sebak sepanjang sesi temu bual ketika menceritakan saat akhirnya bersama arwah bayinya.

Disebabkan trauma cara kematian anaknya itu, Anida kemurungan. Beliau bersama Raysha kini menerima kaunseling di sebuah hospital.

Sehingga hari ini, rindu terhadap Syifa masih mendalam dan tidak terubat, membuatkan Anida sering mengingati gelagat bayi comel yang tiada lagi dalam dakapannya.

Paling sukar dilupakan ialah kelakuan Syifaa beberapa hari sebelum tragedi di taska itu.

“Kalau (biasanya) kita suruh adik (Syifaa) cium pipi, dia tak nak. Tapi dua tiga hari sebelum (kematian), dia cium sendiri. Dia sendiri datang. Dia cium pipi dan bibir saya. Saya tak terfikir itu…dia nak cakap selamat tinggal,” kata Anida, dengan linangan air mata.

Inkues kematian Syifaa akan diadakan di Mahkamah Khas Koroner Seremban 2. Kematian Baby Syifaa menjadi tumpuan masyarakat khususnya selepas Yuseri tampil dengan beberapa persoalan di sebalik tragedi itu.

Yuseri dan Anida redha dengan pemergian bayi mereka, namun tetap mahukan keadilan untuk anak mereka.

Pasangan itu memulakan gerakan sosial media – #Justiceforbabysyifaa – yang diikuti oleh lebih 60,000 warganet. Laman itu digunakan oleh Yuseri untuk memberi penjelasan dan menuntut jawapan daripada pihak berkuasa mengenai kematian anaknya.

Ketua Polis Seremban, Nanda Maarof berkata, Syifaa dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik kedua rumah pengasuh dengan bahagian leher dan kepalanya terkeluar dari buaian manakala badannya masih berada dalam buai.

Menurut Nanda lagi, hasil siasatan awal mendapati selepas bayi itu diberikan susu pada 12.30 tengah hari, dia ditidurkan dalam buaian di sebuah bilik bersama dua kanak-kanak lain.

Yuseri sarat dengan persoalan mengenai siasatan yang dijalankan sebelum ini. Beliau sekeluarga menaruh harapan inkues yang bakal dijalankan akan membuahkan jawapan kepada beberapa persoalan penting mengenai kematian Syifaa. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.