PETALING JAYA: Parti komponen Pakatan Harapan (PH) menolak sebarang kerjasama dengan Muhyiddin Yassin ekoran pengkhianatan yang dilakukan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menyebabkan kerajaan PH hanya bertahan selama 22 bulan.
Memetik laporan Minggu Malaysia, Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata tiada peluang kedua bagi Presiden Bersatu itu susulan tindakan tikam belakang serta mengkhianati gabungan kerjasama ketika itu, yang menjejaskan kepercayaan terhadap Muhyiddin.
“Pasti tidak akan kerjasama, mana boleh percaya dengan dia lagi? Kita tidak yakin kerana dia janji ‘tidak serupa bikin,” katanya.
Lim turut menafikan akan mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin dalam tempoh terdekat.
Kelmarin, Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad mendakwa, Muhyiddin meminta sokongannya dalam usaha untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi.
Mahathir menegaskan beliau tidak bersetuju dengan permintaan itu kerana Muhyiddin menjadi punca beliau tidak menjadi Perdana Menteri.
Sementara itu, Presiden Warisan Shafie Apdal pula mendedahkan, Muhyiddin menghubunginya, dipercayai bagi membentuk kerjasama baharu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bagaimanapun, beliau sudah memberikan kata putus menolak permintaan tersebut selepas apa yang berlaku sebelum ini.
Dalam pada itu, Presiden Amanah, Mohamad Sabu ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak pernah mengadakan sebarang pertemuan dengan Muhyiddin.
“Tak ada, saya tidak pernah jumpa. Dan dalam PH, kita belum bincang. Saya sendiri tidak mahu buat keputusan sebab ia mesti melalui gabungan parti, dan bukannya individu,” jelas beliau. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.