BATU PAHAT: Bagi mengimarahkan lagi kehadiran bulan Ramadan di Johor, kerajaan negeri membenarkan jamuan berbuka puasa, diadakan di surau dan masjid.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid bagaimanapun berkata, hanya 50 orang sahaja dibenarkan.
Katanya sekiranya terdapat lebih daripada 50 orang jemaah, pihak pengurusan masjid dan surau perlulah menyediakan makanan secara berbungkus kepada yang hadir.
“Kita nak maklumkan prosedur operasi standard (SOP) untuk berbuka puasa. Setiap masjid boleh buat berbuka puasa, melainkan lebih 50 orang, mesti berbungkus. Kalau berbuka puasa tidak ramai dalam 20 orang, dibenarkan berhidang.
“Lain-lain SOP untuk aktiviti di masjid dan surau adalah sama seperti sebelum ini, hanya berbuka sahaja kita longgarkan. Solat berjemaah dengan sejadah dirapatkan dan kapasiti jemaah mengikut keluasan masjid,” katanya kepada Bernama selepas menunaikan solat sunat Tarawih, di Masjid Parit Besar Semerah, malam tadi.
Jelas Fared lagi, aktiviti masak-memasak di surau dan masjid masih tidak lagi dibenarkan termasuklah memasak bubur lambuk yang menjadi tradisi sebelum ini yang kebanyakannya dilakukan di masjid.
“Edaran dan penyampaian bubur lambuk berkenaan dibenarkan diadakan di masjid dan surau, namun hanya memasaknya sahaja tidak dibenarkan serta perlu dilaksanakan di tempat yang lain,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.