`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, April 27, 2022

Mahkamah tetapkan 25 Julai dengar permohonan injunksi PM terhadap artikel ‘rayu sokongan’

 

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata laporan Agenda Daily memberi gambaran bahawa beliau hanya mementingkan kedudukan dan tidak mempedulikan rakyat.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 25 Julai untuk mendengar permohonan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bagi menghalang pemilik sebuah portal berita daripada menerbitkan atau mengulangi penyiaran satu artikel sehingga kes saman fitnah selesai.

Ismail menyaman Agenda Daily dan pemiliknya, Izwan Mohd Zubit kerana artikelnya bertajuk “Ismail Sabri bimbang jadi PM paling singkat, ‘rayu’ jangan tarik sokongan”, yang mengatakan ia membayangkan beliau telah merayu sokongan berterusan daripada rakan sekutu Perikatan Nasional (PN).

Peguam Joshua Tan yang mewakili Ismail berkata, mahkamah telah menulis surat minggu lalu untuk mengosongkan pendengaran hari ini.

“Prosiding hari ini ditukar kepada pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Idamasliza Maarof, dan 25 Julai ditetapkan untuk mendengar permohonan injunksi,” katanya kepada FMT.

Tan berkata injunksi interim yang diperoleh Ismail terhadap Agenda Daily pada 2 Mac akan terus berkuatkuasa.

Injunksi ad interim itu berfungsi memberi perlindungan sementara terhadap plaintif (Ismail), yang memfailkan permohonan untuk mengekalkan status quo, sementara menunggu perbicaraan injunksi interim.

Peguam Asiah Abdul Jalil mewakili Izwan, pemilik Agenda Daily Media Enterprise, sebuah perniagaan yang mengendalikan portal berita.

Dalam pernyataan tuntutannya, Ismail berkata, artikel tersebut, dalam maksud biasa dan secara inferens, menyatakan bahawa beliau bimbang akan menjadi Perdana Menteri yang paling singkat penggalnya dalam sejarah Malaysia.

Katanya, artikel itu juga membayangkan beliau terdesak untuk kekal menyandang jawatan itu dengan apa cara sekalipun dan sanggup “merayu” parti politik tertentu agar tidak menarik balik sokongan kepadanya.

Tambahnya, artikel itu turut memberi gambaran bahawa beliau hanya mementingkan kedudukan dan tidak mempedulikan rakyat.

Beliau memohon injunksi kekal, ganti rugi dan permohonan maaf diterbitkan di Agenda Daily dan dua akhbar tempatan lain.

Dalam pembelaannya, Agenda Daily berkata, ia mengamalkan kewartawanan bertanggungjawab dan laporan itu bukan diterbitkan dengan niat jahat. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.