`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, April 23, 2022

MN ‘anugerah Allah’, sayang kalau campak senjata bagus, kata Annuar

 

Annuar Musa melakukan kunjungan hormat ke atas Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin di Kompleks PAS Perlis, Kangar hari ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pemimpin Umno, Annuar Musa menyifatkan kerjasama parti itu dengan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) sebagai “anugerah Allah” dan yakin kedua-dua parti boleh bekerjasama bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ahli Parlimen Ketereh itu beranggapan kebuntuan antara dua parti itu ketika ini hanya bersifat sementara dan jalan bagi memperkukuhkan hubungan mereka perlu diteruskan.

“Sebagai seorang ahli politik lama dan banyak kali berlawan dengan PAS dalam PRU, saya dapati MN adalah anugerah Allah apabila Umno dan PAS dapat bekerjasama.

“Oleh itu, kita tidak boleh berputus asa berusaha bagi mengekalkan hubungan silaturrahim libatkan kedua-dua parti ini, walaupun pada masa ini terdapat sedikit kerenggangan,” katanya dipetik Bernama ketika melakukan kunjungan hormat ke atas Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin di Kompleks PAS Perlis di Kangar.

Ketua Umno Bahagian Ketereh itu berkata, sayang jika MN hanya berada di pertengahan jalan dan tidak dibawa sehingga ke PRU.

“Kita buat MN dengan tujuan hendak kuasai pilihan raya akan datang, tiba-tiba bila ada senjata yang bagus di tangan kita bagi memasuki medan perang, dicampak begitu saja.”

Menteri komunikasi dan multimedia itu berkata, dalam memorandum persefahaman (MoU) MN yang dimeterai sebelum ini, terdapat satu frasa sekiranya timbul pertikaian atau masalah dalam kerjasama Umno dan PAS, ia perlu diselesaikan seperti piagam Madinah.

Seperti piagam Madinah, katanya, jika timbul sebarang pertikaian, kembalilah merujuk al-Quran dan hadis sebagai rujukan bagi menyelesaikan masalah berbangkit.

“Roh dan semangat itu (piagam Madinah) penting bukan hanya dalam politik, tetapi dalam kehidupan kita menyelesaikan masalah dan pertelingkahan dengan kembali kepada al-Quran dan hadis.”

Sementara itu, Hashim dipetik Berita Harian menyifatkan dirinya seolah-olah mendapat “tenaga baharu” selepas berbincang dengan Annuar berhubung MN dan merasakan hubungan kedua-dua parti masih boleh diselamatkan.

“Saya sudah dapat ‘tenaga baharu’ selepas bertemu Tan Sri (Annuar). Kita bincang dan saya nampak jalan hadapan dalam kerjasama kita (MN) semakin terang dan cerah untuk kebaikan perpaduan ummah dalam negara.

“Sebelum ini wujud kejadian Puteri Umno buat isyarat ‘sayonara’ (selamat tinggal) kepada PAS. Saya terkejut juga kerana ia melambangkan kita ini (PAS dan Umno) sudah berputus harap terhadap kerjasama yang terjalin.”

Beliau berkata, PAS dan Umno tidak sepatutnya berputus asa meneruskan perjuangan ke arah perpaduan ummah.

“Apakah kita hendak berputus harap? Saya berazam dengan kawan-kawan lain dalam PAS, apa pun halangan di hadapan, kita akan teruskan perjuangan ke arah perpaduan ummah dalam negara kita. Berjaya atau tidak, itu terpulang kepada Allah. Kita hanya berusaha ke arah itu.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.