Wikileaks ialah pertubuhan antarabangsa yang bertapak di Sweden. Kita tahu ia mengeluarkan dokumen sulit yang didapati daripada sumber yang tidak ketahui dan maklumat yang dibocorkan . Pengasasnya Julian Paul Assange.
Ringkasnya Assange dan Wikileaks terkenal dengan pendedahan mengenai skandal dan pelbagai isu.
Dua hari lalu di negara kita timbul dokumen yang dinamakan sebuah portal berita “PASleak” (adik beradik Wikileaks ke?). Antaranya dokumen itu menyebut mengenai idea untuk mempercepatkan proses memenjarakan Presiden Umno, Zahid Hamidi, dan Najib Razak, bekas presiden.
Sebenarnya tidak perlu dinyatakan kerana semua sudah maklum tetapi dalam konteks isu yang ditulis dalam artikel ini perlu saya ulangi juga. Zahid sedang berdepan pelbagai kes di mahkamah berhubung tuduhan rasuah dan pecah amanah. Manakala Najib sudah sabit kesalahan kes SRC International dan dijatuhi hukuman penjara dan denda. Beliau sedang membuat rayuan.
Dokumen “PASleak” yang “bocor”atau “dibocorkan” mendakwa ada gerakan atau gerak kerja pemimpin PAS untuk percaturan politik termasuk menyentuh idea campur tangan dalam bidang kehakiman.
Pemimpin PAS yang dikaitkan termasuk Naib Presiden Ahmad Samsuri Mokhtar, yang juga menteri besar Terengganu, dan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan.
“PASleak” didakwa sebagai minit mesyuarat yang merekodkan perbicangan mereka (yakni pemimpin PAS) dengan pemimpin Bersatu, Azmin Ali dan Hamzah Zainudin, serta bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, dan pemimpin Umno, Hishamuddin Hussein.
Pemimpin dan veteran Umno tangkas menuntut penjelasan daripada Perikatan Nasional berhubung dakwaan “PASleak”. Ketika artikel ini ditulis Zahid diberitakan akan membuat laporan polis berhubung penularan dokumen yang didakwa “mempunyai unsur campur tangan terhadap pertuduhan di mahkamah yang sedang dihadapi”.
Bagi saya reaksi Awang Hashim, ahli Jawatankuasa PAS Pusat, agak “standard” iaitu PASleak cubaan untuk memecahbelahkan dua parti yang mempunyai hubungan akrab.
Beliau tidak sebut nama dua parti yang beliau maksudkan. Namun salah satunya tentulah parti beliau. Adakah parti satu lagi itu Umno? Ikut “logik” begitulah. Tetapi adakah Umno dengan PAS akrab sekarang?
Apa pun kata Awang seperti dilapor FMT “Kami nampak ini tidak lebih daripada cubaan menyedihkan untuk memfitnah PAS serta merosakkan hubungan serta keakraban dua parti oleh individu tidak bertanggungawab”.
Lalu beliau ingin “menafikan ketulenan dokumen itu. Saya juga ingin menjelaskan tiada plot seperti itu. Ia dakwaan palsu dan liar sama sekali”.
Respon Ahmad Samsuri lebih menarik pada hemat saya. Beliau menyifatkan dokumen itu sebagai “sampah” dan “tidak perlu dipercayai kerana dilakukan pihak tidak bertanggungjawab”.
Perhatikan istilah “pihak tidak bertanggungjawab” digunakan meluas untuk merujuk orang yang sama ada mencipta, membocor, atau menular dokumen yang diperkatakan.
Yang menarik bagi saya ialah Ahmad Samsuri mengaku pertemuan bersama pemimpin politik itu (maksudnya seperti yang didakwa PASleak) “benar-benar berlangsung”. Maknanya beliau dan semua pemimpin yang dinamakan dalam dokumen itu ada bertemu.
Dokumen PASleak mendakwa pertemuan antara Ahmad Samsuri dan Takiyuddin dengan pemimpin parti lain yang disebut tadi berlangsung pada 24 dan 27 Mac . Juga 4 dan 7 April.
Namun pertemuan itu menurut Ahmad Samsuri tidak membincangkan perkara seperti yang tular. Kata beliau lagi “Dia (pihak tidak bertanggungjawab itu) tahu ada pertemuan itu maka dibuatnya naratif (seperti yang ditular).”
Berdasarkan apa yang dikatakan beliau , bagaimana agaknya pihak yang “tidak bertanggungjawab” mendapat maklumat pertemuan akan, sedang, atau sudah diadakan antara pemimpin PAS dengan pemimpin Bersatu, Pejuang, dan Umno ?
Bagaimana dia tahu untuk bak kata Ahmad Samsuri “dibuatnya naratif seperti yang ditular?”. Yakni dakwaan ada pakatan pemimpin PAS bersama pemimpin parti lain yang disebut tadi bertujuan jatuhkan BN termasuk dengan mempercepatkan proses mahkamah membabitkan Zahid dan Najib supaya kedua-dua dipenjarakan cepat.
Bolehkah disimpulkan si pihak tidak bertanggungjawab yang buat naratif itu punyai akses dengan pemimpin yang hadir? Atau mendapat maklumat daripada orang parti peserta pertemuan? Atau mungkinkah pihak tidak bertanggungjawab orang parti pemimpin yang hadir? Mungkinkah dia orang luar ? Semua persoalan penting.
Penting juga ialah persoalan yang rugi siapa, yang untung siapa dengan tularnya dakwaan yang diperkatakan ini? Perlu diingat dalam politik ada elemen “reversed psychology”.
Adakah semua persoalan itu akan terjawab? Tidak pasti. Yang pasti setakat ini Ahmad Samsuri tidak akan ambil tindakan undang-undang terhadap pihak tidak bertanggungjawab kerana menganggap proses itu membuang masa selain tidak tahu siapa yang menyebarkan dakwaan berkenaan.
Tak tahu siapa pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan dokumen PASleak macam mana nak ambil tindakan? Nak dakwa siapa?
Oleh itu paling penting identiti pihak yang tidak bertanggungjawab mesti dikenali. Tahu siapa dia maka terhurai dan terburai segalanya. Terjawablah seribu satu persoalan termasuk adakah apa yang didakwa fitnah atau sebaliknya.
Persoalan yang lebih penting – mahukah pihak yang dikaitkan membongkar siapa pihak tidak bertanggungjawab itu? - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.