`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, April 9, 2022

Pelajar lega, Telupid dapat kembali rangkaian telekomunikasi, internet

 

Gambar yang dikongsikan Anis Arina Aqilah Roslee menunjukkan dia mengikuti ODL dalam bonet kereta.


PETALING JAYA: Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Anis Arina Aqilah Roslee, 23, menarik nafas lega selepas daerah Telupid kini mendapat kembali rangkaian telekomunikasi dan internet.

Anis yang sebelum ini terpaksa mengharungi perjalanan sejauh 10 hingga 15 kilometer setiap hari bagi mencari akses internet untuk mengikuti pembelajaran jarak jauh (ODL) berkata dia amat gembira kerana tidak lagi perlu berbuat demikian.

“Bukan sahaja saya, masyarakat di Telupid juga merasakan kesusahan yang sama seperti saya tapi selepas adanya rangkaian ini sedikit sebanyak meringankan beban semua orang.

“Secara peribadi, rasa terharu kerana tak perlu lagi mengharungi belajar dalam kereta. Saya hari ini boleh belajar di rumah,” kongsinya kepada FMT.

Semalam FMT melaporkan, pelajar semester enam Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Sosial itu berdepan kesukaran untuk mengikuti ODL selepas menara telekomunikasi di daerah itu rosak kerana terbakar pada 25 Mac lalu.

Anak sulung daripada tiga beradik itu dilihat terpaksa duduk dalam but kereta bagi mendapatkan rangkaian terbaik

Anis berkata beliau telah dihubungi oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan dimaklumkan kerja-kerja membaik pulih menara itu sedang dilakukan secara berperingkat.

“SKMM akan turun ke sini pada hari Rabu bersama saya untuk cari kawasan yang ada rangkaian dan buat siasatan bersama,” katanya.

Sementara itu, Anis yang juga pelajar tahun akhir secara kebetulan sedang menyiapkan kajian berkaitan jurang digital dan masalah capaian akses internet di Telupid mengakui kemudahan itu merupakan perkara asas yang diperlukan bagi setiap peringkat.

“Sebenarnya jurang digital masih wujud, bukan sahaja kawasan pedalaman seperti di Telupid, ia juga berlaku di bandar-bandar. Capaian akses internet ini bukan terhad kepada saya sebagai seorang pelajar tapi ia juga beri kesan kepada bidang-bidang lain seperti kesihatan, perniagaan dan pendidikan yang sememangnya perlukan internet pada hari ini.

“Kajian saya mengenai jurang digital di telupid menyebabkan saya perlu berada disini untuk siapkan kajian saya. Saya berhasrat untuk teruskan kajian ini ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Naib Canselor UPSI Md Amin Md Taff dalam hantaran di Facebooknya terharu dengan semangat Anis yang tetap bersemangat untuk belajar meskipun berdepan halangan.

UPSI dalam masa yang sama turut menawarkan kemudahan pembelajaran secara ‘offline’ dan penginapan di asrama. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.