PETALING JAYA: Selepas dua tahun hilang punca pendapatan, pengumuman kerajaan membuka semula sempadan negara pada 1 April lepas membuatkan kalangan pemandu pelancong mengalirkan air mata kesyukuran, kongsi seorang wanita yang turut bekerja dalam bidang berkenaan.
“Dua tahun kami tunggu akhirnya sempadan dibuka. Masih ada harapan untuk kami cari rezeki, walaupun ia dibuka pada bulan Ramadan,” luah Nadira Muhamad Mohsin, 34, kepada FMT.
Katanya, mengikut kebiasaan sebelum pandemik Covid-19 melanda, bulan Ramadan selalunya tidak ada tempahan perjalanan dibuat, bagaimanapun pemandu pelancong tetap menaruh harapan akan ada tempahan ketika Hari Raya Aidilfitri nanti.
“Yang paling awal terkesan kami. Dulu artis dan gim bising, musim pandemik tak ada kerja. Tapi lepas itu mereka dah boleh kerja seperti biasa. Tapi kami, sampai sekarang tak boleh lagi,” ujarnya kepada FMT.
Nadira berkata, kali terakhir dia mendapat “trip” membawa pelancong dari Indonesia pada Mac 2020, sebelum negara mengumumkan sekatan pergerakan akibat penularan wabak Covid-19.
Sejak itu, dia hilang sumber pendapatan sehingga artikel ini disiarkan, hari ini.
Ujar Nadira, walaupun dua tahun negara dalam perintah kawalan pergerakan (PKP), pemandu pelancong tetap diwajibkan untuk memperbaharui lesen dengan Tourism Malaysia. Jika tidak, mereka akan dikenakan kompaun.
Setiap kali perbaharui lesen mereka perlu menyediakan anggaran kasar RM1400 untuk tempoh dua tahun.
“Bayangkan, dalam waktu PKP pun kami kena perbaharui lesen? Kami tak ada sumber pendapatan. Ada bantuan ‘one-off’ dari Tourism Malaysia RM500. Tapi lepas lesen saya mati, saya sudah tak dapat apa-apa bantuan.
“Kenapa saya nak perbaharui lesen sedangkan saya tak boleh bekerja pun waktu itu?,” soalnya.
Nadira kemudiannya mempersoalkan sistem perbaharui lesen seliaan Tourism Malaysia yang disifatkannya sebagai menyusahkan pemandu pelancong, yang terkesan dengan pandemik.
“Pada tahun 2020, saya tak perbaharui lesen sebab tak boleh kerjakan? Jadi saya perbaharui lesen saya pada Oktober 2021. Ia ambil masa dua bulan untuk siap.
“Bila dah siap saya pergi ambil lesen saya. Saya terkejut sebab sistem, perbaharui lesen saya bermula tahun 2020. Jadi bulan April 2022 nanti, lesen saya sudah tamat. Pandemik ke…tak pandemik ke, sistem tetap perbaharui lesen kita ikut tahun, bukan ikut tarikh kita mohon,” katanya dengan nada kesal.
Nadira memberitahu bayaran yang diterima pemandu pelancong agak memuaskan di mana dia sendiri pernah mendapat bayaran sekitar RM8,000 hingga RM11,000 sebulan pada setiap hujung tahun.
Namun tambah beliau, harus diingat sektor pelancongan lumpuh sepenuhnya selama dua tahun, dan pemandu pelancong antara yang paling terkesan.
“Tak ada pengecualian ke untuk kami? Paling kurang Tourism Malaysia lanjutkan tempoh lesen kami jadi kami tak perlu perbaharui lesen ketika pandemik.
“Saya pernah tanya pegawai di Tourism Malaysia dan jawapannya sistem mereka akan perbaharui lesen ikut tahun. Kami pemandu pelancong harap sistem ini akan dinaik taraf,” katanya.
Kerajaan pada 1 April memutuskan membuka sempadan negara berikutan Malaysia kini sedang dalam fasa peralihan ke endemik. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.