`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, April 17, 2022

‘Ribut’ Wisma Putra terus gelora?

 

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob melawat UAE dari 29-31 Mac sempena Ekspo Dunia Dubai. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA : Tekanan terhadap Menteri Luar Saifuddin Abdullah semakin memuncak berhubung kegagalan pengurusan kunjungan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan lepas.

Duta Besar ke UAE Mohd Tarid Sufian dan Konsul Jeneral di Dubai Mohd Hasril Abdul Hamid telah dipanggil pulang tetapi ramai pemerhati percaya kedua-dua diplomat kanan tersebut menerima layanan tidak adil.

Insiden itu disusuli kontroversi yang menyaksikan sebuah klip audio dibocorkan, sebuah laporan polis dibuat dan Wisma Putra mengeluarkan kenyataan tiga muka surat, namun ia nampaknya masih belum selesai.

Tonton video di sini.

FMT meninjau kemelut yang menyelubungi kunjungan Ismail ke UAE baru-baru ini.

Apa terjadi?

Ahad lepas, sumber memberitahu FMT bahawa Tarid dan Hasril telah ditugaskan untuk menyertai sekumpulan penjawat awam di Jabatan Perkhidmatan Awam, Putrajaya, yang dikatakan menjadi tempat untuk memindahkan pegawai tidak disenangi sementara menunggu arahan seterusnya.

Langkah ini diambil susulan kunjungan Ismail ke Dubai yang menyaksikan hanya Tarid dan Hasril hadir di lapangan terbang untuk menyambut ketibaan perdana menteri itu.

Tidak ada pegawai tertinggi UAE hadir, sebagaimana menjadi protokol biasa bagi seorang menteri kanan negara tuan rumah ditugaskan secara rasmi untuk menerima tetamu kenamaan asing.

Menurut satu lagi sumber, duta telah memaklumkan Wisma Putra mengenai keraguan kerajaan UAE mengenai masa lawatan Ismail tetapi ia tidak diendahkan.

Ismail mengunjungi UAE dari 29-31 Mac sempena Ekspo Dunia Dubai.

Kerajaan UAE dikatakan telah memberitahu perwakilan Malaysia bahawa ia bukan masa yang sesuai bagi kunjungan rasmi memandangkan ratusan orang kenamaan tiba setiap hari dari seluruh dunia sempena ekspo tersebut.

Pada 1 April, Wisma Putra mengeluarkan kenyataan rasmi yang mengesahkan bahawa kedua-dua diplomat tersebut diarahkan pulang.

Katanya, mereka gagal menyelaras pentadbiran dan logistik untuk perdana menteri, mengakibatkan beliau terpaksa menunggu lama bagi urusan pasport dan pelepasan imigresen di lapangan terbang.

Langkah yang diambil itu adalah “perkara biasa”, katanya sambil menambah, ia bagi melindungi kepentingan hubungan dua hala antara Malaysia dengan negara lain.

Reaksi

Susulan itu, sebuah rakaman audio menjadi tular, yang antara lainnya mendakwa Ismail tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Saifuddin.

Dalam klip berdurasi 2 minit 15 saat itu, seorang lelaki didengar mengadu kepada seorang “Datin” mengenai masalah yang dihadapi kementerian, merujuk kepada peningkatan bilangan kekosongan jawatan dalam misi Malaysia di luar negara.

Wisma Putra telah membuat laporan polis dan menjalankan siasatan dalaman berhubung perkara itu.

Beberapa tokoh turut menyuarakan rasa tidak puas hati mengenai layanan terhadap kedua-dua diplomat tersebut.

Bekas menteri luar Anifah Aman berkata, tindakan tergesa-gesa memanggil pulang diplomat terbabit sangat memalukan negara dan siasatan dalaman sepatutnya dilakukan terlebih dahulu.

“Saya rasa curiga bagaimana diplomat kanan dan berpengalaman boleh terlepas pandang maklumat penting, terutamanya apabila membabitkan hal ehwal perdana menteri,” katanya dalam kenyataan.

Naib Presiden Umno Khaled Nordin mengkritik Wisma Putra kerana gagal memastikan Ismail diberi penghormatan yang sesuai dengan kedudukannya, sambil menambah, “sangat tidak profesional” untuk menyalahkan diplomat terbabit.

Noor Farida Mohd Ariffin, yang pernah bertugas sebagai duta di Belanda, memberitahu FMT bahawa ramai bekas rakan sejawatnya “geram” tentang cara isu ini dikendalikan, dan kecewa dengan pemanggilan pulang Tarid dan Hasril.

Katanya, kebanyakan antara mereka yang mengenali Tarid menggambarkannya sebagai seorang “pegawai diplomatik berwibawa”.

Tekanan terhadap Saifuddin

Anifah berkata, penggantinya, Saifuddin yang mengiringi Ismail ke UAE sepatutnya sepenuhnya bertanggungjawab terhadap kemelut yang tercetus berhubung kunjungan tersebut.

Katanya, Saifuddin boleh mengelakkan kegagalan itu dengan mengadakan kunjungan awal bagi memastikan persediaan dibuat “mengikut amalan standard”.

Khaled turut menggesa menteri luar itu supaya bertanggungjawab.

“Malaysia nyata memerlukan kepimpinan baharu yang lebih kompeten di Kementerian Luar. Prestasi semasa menteri tidak sesuai dengan pengalaman, kedudukan dan kepentingan global Malaysia,” katanya.

Noor Farida memberitahu FMT, sekumpulan bekas duta bercadang menulis surat bantahan kepada Wisma Putra berhubung perkara ini, dan ramai yang mengkritik Saifuddin menerusi Twitter kerana tidak bertanggungjawab dan mempertahankan diplomat terbabit.

Katanya, jika beliau menjadi Saifuddin, beliau akan membuat bantahan keras pada mesyuarat mingguan Jemaah Menteri mengenai layanan terhadap diplomat-diplomat itu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.