HULU LANGAT: Pengurusan Sekolah Kebangsaan Jalan 4, Bangi, dekat sini mengambil inisiatif mewujudkan pusat pemberian vaksin (PPV) sendiri untuk memberi perlindungan tambahan kepada 2,408 murid sekolah terbabit.
Langkah itu diambil kerana menyedari kemungkinan berlakunya peningkatan kes Covid-19 selepas Aidilfitri nanti selain memudahkan ibu bapa mendapatkan suntikan pelalian untuk anak masing-masing tanpa perlu ke PPV yang biasanya terletak jauh dari rumah.
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid yang juga penyelaras program itu Hamizon Hamid berkata, mereka berhubung dengan beberapa pihak iaitu Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sebelum Hospital Az Zahrah dilantik sebagai pelaksana program PPV School Outreach itu.
“Kami mahu pastikan semua murid kami sekurang-kurangnya mendapat satu dos vaksin menjelang raya kerana selepas Aidilfitri kemungkinan besar kes akan naik, kita tidak boleh jangka perkara itu.
“Walaupun sudah masuk ke fasa peralihan endemik tetapi masih berlaku jangkitan. Jadi, untuk kurangkan risiko (penularan dalam sekolah), kita wujudkan PPV sendiri agar murid mendapat akses terhadap vaksin,” katanya kepada FMT.
Difahamkan, PPV SK Jalan 4 adalah yang pertama ditubuhkan di peringkat sekolah di kawasan Bandar Baru Bangi dan ia beroperasi selama empat hari iaitu pada 21, 23, 27 dan 28 April ini bermula jam 9 pagi hingga 3 petang.
Sementara itu, penyelaras PPV SK Jalan 4 dari Hospital Az Zahrah, Azzah Suboh berkata Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) selama empat hari itu menyasarkan 1,200 dos suntikan.
Katanya, program itu turut dibuka terbuka kepada komuniti setempat yang ingin mendapatkan dos kedua atau dos penggalak.
“Ini kali pertama kita bekerjasama dengan pihak sekolah untuk beri vaksin di ‘on site’ (lokasi). Sebelum ini kita hanya beri vaksin di hospital, dan bila dijemput untuk buat PPV di sekolah, kita teruja dan gembira sangat dapat diberi peluang,” katanya.
Katanya, pihak sekolah dan hospital akan membuka semula PPV di SK Jalan 4 untuk murid melengkapkan dos kedua mereka dalam sela masa lapan minggu akan datang.
“Segera berikan perlindungan maksimum kepada anak anda sebelum PICKids tamat pada 15 Mei ini,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.