`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, April 7, 2022

Sultan Johor arah aktiviti selam di Mersing dihentikan sementara

 

Semua pengusaha resort, chalet, pengusaha bot pelancong serta ‘Island hopping’ dan pusat selam skuba perlu menghentikan sebarang aktiviti selam skuba serta snorkeling di perairan Mersing serta-merta. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sultan Johor menitahkan semua aktiviti menyelam di perairan Mersing dihentikan buat sementara.

“Saya mahu kesemua aktiviti menyelam dihentikan sementara sehingga kita dapat kenal pasti apa sebenarnya yang berlaku pada mereka. Aktiviti menyelam tidak boleh diteruskan, jika tahap keselamatan diragui.

“Peraturan-peraturan aktiviti menyelam oleh pihak berkuasa juga mesti dikaji semula secara menyeluruh, sebelum ia boleh dibenarkan beroperasi semula,” titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam catatan Facebook hari ini.

Titah itu dikeluarkan susulan kehilangan empat penyelam warga asing di Pulau Tokong Sanggul, kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman di Mersing, tengah hari semalam.

Setakat ini, hanya jurulatih selam warga Norway, Kristine Grodem, 35, ditemui selamat di perairan Tanjung Sedili, Kota Tinggi, kira-kira 30 batu nautika dari lokasi kejadian, hari ini.

Tiga lagi penyelam, Adrian Peter, 46, yang merupakan warga Britain dan anak lelakinya, Nathen Renze, 14, warga Belanda serta warga Perancis Alexia Alexandra, 18, belum ditemui.

Sultan Ibrahim bertitah, selepas mengkaji semula peraturan sedia ada, pihak berkuasa perlu membuat pengumuman bagi mengembalikan keyakinan orang ramai serta pelancong.

Untuk rekod, Mersing mempunyai lima pulau utama, iaitu Pulau Sibu, Pulau Besar, Pulau Tinggi, Pulau Aur dan Pulau Pemanggil.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Mersing, Mohammed Shakib Ali berkata, semua pengusaha resort, chalet, pengusaha bot pelancong dan “Island hopping” serta pusat selam skuba perlu menghentikan sebarang aktiviti selam skuba dan snorkeling di perairan Mersing serta-merta.

Beliau dalam kenyataan hari ini memberi amaran tindakan tegas akan dikenakan terhadap pihak yang melanggar arahan itu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.