`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, April 22, 2022

Tahanan Rohingya lolos tak ancam keselamatan penduduk, kata Sanusi

 

Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor, berkata beliau amat mengenali etnik Rohingya khususnya sewaktu aktif menjalankan misi kemanusiaan di bawah PAS Relief ke Arakan, Myanmar dan Kem Pelarian Rohingya di Bangladesh. (Gambar Bernama)

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor menganggap tahanan etnik Rohingya yang masih bebas selepas melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen, tidak akan mengancam keselamatan penduduk.

Beliau berkata, mereka yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap, dekat Bandar Baharu, pada Rabu lalu itu, juga tidak mempunyai hala tuju serta tidak arif mengenai keadaan di negara ini.

“Saya difahamkan mereka sudah duduk lama di dalam depot tahanan itu, selama dua tahun, dalam keadaan sesak. Saya tidak pasti apa isu di dalam depot itu, tapi saya percaya mereka ini ‘tidak tahu apa-apa’.

“Bagi saya (mereka) bukan satu ancaman, yang mengancam (keselamatan) adalah penjenayah seperti pengedar dadah, itu adalah ancaman, mereka (etnik Rohingya yang masih bebas) bukan ancaman, mereka cuma nak hidup,” katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas sama ada tahanan etnik Rohingya yang belum ditemui berkemungkinan akan mengancam keselamatan penduduk khususnya di daerah Bandar Baharu di negeri ini.

Sanusi berkata, beliau amat mengenali etnik Rohingya khususnya sewaktu aktif menjalankan misi kemanusiaan di bawah PAS Relief ke Arakan, Myanmar dan Kem Pelarian Rohingya di Bangladesh.

Beliau berkata, etnik Rohingya bukanlah bangsa yang jahat sebaliknya menjadi mangsa kejahatan dan ditindas di negara asal mereka sehingga terpaksa melarikan diri untuk meneruskan kehidupan.

“Mereka ini saya kenal mereka tidak jahat, mereka bangsa yang ditindas, bangsa yang paling ditindas di dunia, sama dengan rakyat Palestin.

“Dalam keadaan masyarakat antarabangsa tidak mempedulikan penindasan di negara mereka, mereka ambil keputusan untuk lari dari negara mereka dan menumpang di sana sini,” katanya.

Sanusi turut berasa sedih dan simpati dengan nasib enam pelarian etnik Rohingya termasuk dua kanak-kanak yang maut selepas dirempuh kereta di KM165 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Jawi, Pulau Pinang.

Dalam kejadian awal pagi Rabu lalu, seramai 528 warga asing terdiri daripada etnik Rohingya melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap dekat Bandar Baharu dan setakat ini 96 daripada mereka belum ditemukan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.