`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, April 3, 2022

Wawasan baru Dr Mahathir?

 

Saham politik Dr Mahathir Mohamad melambung semula. Dia disantuni Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempelawanya bekerjasama membentuk Perpaduan Ummah 2.0.

Sehubungan itu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang juga menyatakan hasrat untuk menemui mantan Perdana Menteri selama 22 tahun itu untuk maksud yang sama.

Bagaimanapun sebagai ahli politik yang tinggi tahap ilmu mantiknya, Dr Mahathir menyebarkan kisah pertemuannya dengan Muhyiddin itu seolah-olah ingin mencetuskan satu lagi gempita politik.

Dr Mahathir memberitahu dalam perjumpaan itu Muhyiddin memohon sokongannya untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi.

Namun ditanya pertolongan apa dan bagaimanakah yang diperlukan Muhyiddin sedangkan Pejuang tiada banyak kerusi parlimen, Tun Mahathir berkata:
“Saya pun tak tahu. Tapi dia minta saya sokong. Dia tahu Pejuang tak kuat. Kami kalah pilihanraya, tiada banyak duit, tapi dia minta kami sokong dia.

“Saya tak tahu nak kata apa. Saya tak jadi perdana Menteri kerana Muhyiddinlah. Dia tikam belakang. Tapi dia minta tolong orang yang dia tikam belakang tapi tak mati lagi.”

Bagaimanapun, pengerusi Pejuang itu berkata partinya belum membuat ketetapan mengenai perkara itu.

Apabila ditanya sama ada Pejuang sedia bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) Mahathir berkata, partinya tidak akan berkolaborasi dengan pihak yang memberi rasuah pada rakyat.

Politikus veteran itu pasti maklum bahawa kenyataannya akan mengundang reaksi daripada pelbagai pihak. Namun seperti lazimnya, dengan cara bersahaja beliau menjelaskan mengapa beliau tidak menyokong Muhyiddin menjadi perdana menteri sekali lagi.

Apabila ditanya sama ada beliau akan menyokong Muhyiddin, Mahathir berkata, Pejuang “tidak akan menyokong individu yang gagal sebagai PM sama seperti Najib (Razak)”.

Mahathir berkata, Muhyiddin bukanlah seorang perdana menteri yang baik. Jika beliau telah ada melakukan kebaikan untuk Malaysia, sudah pasti beliau akan menjadi perdana menteri lagi tanpa perlu sokongan pihaknya.

Seperti dijangka cara dan sudut pandang Mahathir menjelaskan pertemuan dengan beliau itu dipertikaikan oleh pihak Bersatu.

Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata pertemuan antara Muhyiddin dengan Mahathir itu bukanlah sesuatu yang luar biasa.

Katanya, Muhyiddin juga turut berbincang dengan pemimpin parti-parti pembangkang lain, sebelum dan selepas PRN Johor bulan lalu tanpa menamakan siapa mereka.

Wan Fayhsal berkata, pemimpin-pemimpin pembangkang berkenaan yang menghubungi Muhyiddin kerana menyedari kelebihan Perikatan Nasional (PN) di lapangan.

“Pertemuan antara Tan Sri (Muhyiddin) dan Tun (Mahathir) bukanlah peristiwa unik. Pernah ada perbincangan antara Tan Sri dengan pemimpin-pemimpin parti-parti pembangkang lain,” kata Timbalan Menteri Perpaduan Negara itu kepada portal FMT.

Sekaligus Wan Fayhsal cuba membela Muhyiddin dan menolak kenyataan Mahathir secara khusus bahawa presidennya mohon sokongan veteran politik itu untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi.

Wan Fayhsal mempertikaikan dakwaan Mahathir bahawa Muhyiddin seorang Perdana Menteri yang gagal.

Sebaliknya, kata Ketua Pemuda Bersatu itu Malaysia dapat memasuki fasa peralihan ke endemik Covid-19 hari ini kerana usaha Muhyiddin.

Muhyiddin katanya melindungi negara ini daripada masalah yang lagi rumit dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang “tepat dan tegas”, langkah negara yang mendapat pengiktirafan antarabangsa.

“Kecekalan Tan Sri terbukti apabila beliau tidak mencampuri urusan undang-undang membabitkan ‘kluster mahkamah’. Beliau menunaikan janjinya itu kepada rakyat, dan beliau tanggung akibatnya.”

‘Kluster mahkamah’ merujuk kepada beberapa pemimpin Umno terkemuka, termasuk Presiden Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak, yang sedang atau sudah dibicarakan.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Dr. Faiz Na’aman, mempersoalkan niat Mahathir mencemuh Muhyiddin sedangkan beliau sedang berusaha membentuk kerjasama dengan parti-parti lain.

Beliau memberitahu FMT isu pokoknya bukanlah siapa yang menghubungi siapa tetapi agenda bersama menghalang “kluster mahkamah” daripada kembali berkuasa pada PRU akan datang.

Persoalannya, kini PAS juga mahu menemui Dr Mahathir. Adakah Abdul Hadi Awang akan membawa agenda yang sama yang dikemukakan oleh Tan Sri Muhyiddin?

Apa pula cara atau hujah Dr Mahathir untuk menolak PAS dengan agenda perpaduan Melayu-Islamnya? Kebarangkalian ini tentu ada kerana PAS juga dilihat sebagai rakan kongsi yang kurang baik.

Bermula dengan idea mahu menghidupkan kerjasama dengan Umno dan kemudian parti-parti Melayu-Islam lain, PAS memayahkan diri dengan mencari alasan untuk menggugurkan Umno dari ikatan Muafakat Nasional.

Hadi mendakwa MN kurang berkesan kerana ada pihak yang ingin menggunakan MN demi kepentingan peribadi. Soalnya, apakah sebelum tercetusnya idea Gagasan Perpaduan Melayu, PAS tidak kenal siapakah dan bagaimanakah perjalanan politik Umno?

Sudah tentu Mahathir dapat membayangkan sejauh mana ketulenan hasrat PAS itu dan mencongak jika PAS berbuat demikian, tentu pertumbuhan Pejuang pimpinannya, Mukhriz akan terbantut.

Di peringkat ini, dengan mengkaburkan maklumat dan butir perbincangannya dengan Muhyiddin, Pejuang sudah menyentap tirai politik Malaysia sebagai sebuah parti besar!

Langkah Mahathir ini memperlihatkan beliau seolah-olah mahu mendorong Pejuang menjadi pusat pemikiran politik baru. Sebab itu beliau menafsirkan bagaimana Pejuang dapat memungut lebih 18,000 undi dalam PRN Johor lalu walhal keahliannya baru hanya 5,000 orang sahaja di negeri itu!

Beliau memberitahu mungkin tidak bertanding dalam PRU 15, sekarang belum masanya bagi beliau meninggalkan Pejuang seperti yang dilakukan oleh Lim Kit Siang dalam DAP.

Atau, mungkinkah Dr Mahathir sedang mencatur untuk menjadi mentor politik bagi angkatan politik perpaduan parti-parti Islam-Melayu mutlak?

Mungkinkah Dr Mahathir percaya di antara faktor kejayaan Pakatan Harapan menumbangkan kerajaan Umno-Barisan Nasional empat tahun lalu adalah kerana kehadiran beliau dalam Pakatan berkenaan?

Maka apakah mustahil kali ini Mahathir yakin atau diyakinkan beliau boleh mengulangi kejayaan itu jika dapat memimpin gelombang angkatan Melayu-Islam sebagai mentor kerajaan Malaysia pula? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.