`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, May 26, 2022

70,000 teksi tersadai, jadi besi buruk, dakwa persatuan

 

Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia, Kamarudin Mohd Hussain berkata, jumlah teksi dilupuskan keseluruhan bernilai RM2.9 bilion membabitkan 2,500 jenis eksekutif dan 67,500 jenama tempatan

PETALING JAYA: Sebanyak 70,000 teksi tersadai dan menjadi besi buruk berikutan kemerosotan penggunaan kenderaan awam itu, sejak 2014, dengan kerugian dianggarkan bernilai RM2.9 bilion.

Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia Kamarudin Mohd Hussain, berkata sebahagian besar daripada jumlah itu membabitkan pemandu di sekitar Lembah Klang.

Katanya, ketika ini hanya 40,000 daripada 110,000 pemandu teksi seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak masih bertahan dalam industri terbabit.

Jelasnya, keadaan bertambah buruk ketika negara dilanda pandemik Covid-19 menyebabkan sebahagian syarikat teksi terpaksa gulung tikar.

Kamarudin Mohd Hussain.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 60% syarikat teksi gulung tikar selepas pemandu tidak mahu membawa teksi disebabkan tidak mampu membayar sewa teksi akibat kurang sambutan daripada pengguna.

“Kebanyakan pemandu teksi yang berhenti mencari haluan lain seperti berniaga kecil-kecilan, memandu lori, menternak, bertani serta ada yang menjadi penganggur malah bagi yang berusia hanya duduk di rumah bergantung harap kepada ahli keluarga lain,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Menurutnya, implikasi itu disebabkan kemerosotan bilangan pemandu teksi sejak 2014 selepas tiada pengawalan pengoperasian e-hailing dan teksi dengan saksama hingga mewujudkan jurang antara perkhidmatan itu.

“Banyak syarikat cuba bertahan dalam tempoh itu, namun keadaan semakin parah pada 2018 dan ada antara mereka terpaksa gulung tikar. Disebabkan itu, sesetengah syarikat membiarkan teksi yang tidak digunakan di depoh masing-masing.

“Akhirnya banyak teksi tersadai selain ada yang dilupuskan di premis potong besi,” katanya.

Beliau berkata, lebih merugikan jumlah teksi berkenaan termasuk 2,500 jenis eksekutif dan 67,500 jenama tempatan dianggarkan bernilai RM2.9 bilion.

“Ia berdasarkan kiraan kasar sebuah teksi eksekutif berusia lebih empat tahun dianggarkan bernilai RM80,000 sebuah manakala teksi seperti Proton Waja dan Persona bernilai RM40,000 sebuah,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.