Apakah persamaan yang ada pada filem Top Gun: Maverick dan Mat Kilau?
Begini, terdapat empat kelompok penonton (mungkin sahaja lebih), yang hadir ke pawagam untuk menonton filem.
Pertama, kumpulan penikmat seni atau penggiur estetika. Mereka adalah kumpulan yang setia dengan sinema dan akan menonton filem dengan ghairah. Mereka terdiri daripada pengkritik filem, pelajar filem atau mereka yang terlibat secara terus dan langsung dalam dunia perfileman. Kumpulan ini ghairah mengupas makna filem termasuk sub-teks. Mereka mengerti bahasa filem iaitu visual, dan menangkap wacana filem pada dialognya.
Kumpulan kedua ialah mereka yang terburu-buru menonton filem apabila ada kehebohan. Selalunya mereka tidak pun menonton filem dan rata-rata buta estetika. Mereka hanya menonton selapis, dan cepat terhibur. Jarang aspek wacana digali. Mereka juga selalunya hadir sebagai pentaksub kepada satu-satu ruang gagasan atau idea yang diutus karyawan kegemaran mereka. Mereka tidak faham visual. Mereka juga selalunya cepat terpesona dan cepat naik semangat dengan utusan mesej filem. Selalu kita menemui mereka datang dengan busana tertentu kerana taksub. Kadang mereka hadir dengan kostum watak.
Kumpulan ketiga ialah mereka yang hanya ingin menonton atau memburu pelakon kegemarannya. Katakan penonton itu memang gila dan obseskan Tom Cruise, maka apa sahaja filem Cruise, dia akan tercongok di panggung. Elok atau tidak seni pada filem itu bukanlah pertimbangan. Janji Tom Cruise. Mungkin jika ada mana-mana penonton yang amat kasihkan pelakon-pelakon yang dianggap kayu persembahan mereka seperti katakan, Keanu Reeves sebagai misalan, mereka akan menonton drama petang-petang atau apa sahaja filem lakonannya meskipun apa sahaja dikecam
orang.
Kelompok keempat datang ke panggung sebagai pengekor kerana ada yang ingin menonton filem itu. Katakan sang ayah yang mengikutkan kehendak anaknya menonton animasi puteri salji. Kadang-kala mereka tidur berdengkur dalam pawagam. Ada juga kelompok kelima, iaitu pendana. Dia yang biayai filem itu. Dan kelompok ini mungkin berkait dengan perbincangan rencana ini.
Filem tidak datang dengan ruang kosong. Pengisiannya, kadang-kala cerita (sekadar cerita); juga kadang-kala ia disuguh atau disumbat dengan dramaturgi atau ‘naratif bertujuan’.
‘Naratif bertujuan’ ini mendekati apa yang dinamai karya seni propaganda.Tetapi adakah sebarang kesalahan jika ia satu karya propaganda? Jawapannya tidak.
Namun begitu, karya seni propaganda tidak terlepas dari skeptisme. Jadi kalau ada orang skeptikal, janganlah pula dikeluarkan keris dan parang untuk mencederakan mereka yang skeptis.
George Orwell, pengarang Inggeris terkenal, pernah berkata, ‘all art is to some extent propaganda’ atau semua seni itu pada sesetengah keadaan atau takat adalah propaganda.
Jika begitu, apakah propaganda? Untuk tidak menimbul kekeliruan, dua definisi dari kamus-kamus bahasa Inggeris terbaik dirujuk. Ini kerana perkataan itu datangnya dari bahasa Inggeris:
Allegations, facts, opinions, and the like, systematically spread with the intention of helping or harming some individual, group, institution, or movement; the dissemination of such information, now often used disparagingly to denote half-truths, distortions, and biased information, utilized mainly by political factions (New Webster’s Dictionary of the English Language 1986)
Suatu lagi pengertian yang tidak jauh bezanya:
False, distorted or misleading information, rumours, etc. Deliberately spread in order to help or harm a person, group, institution, country, etc (The New Hamlyn Encyclopedia World Dictionary 1971)
Dari dua definisi ini dapatlah dilihat propaganda dari satu sudut, mempunyai persamaan; iaitu penyebaran satu-satu idea yang dilakukan secara sistematik, tersusun dan disengajakan, terancang dan bertujuan khusus untuk menaikkan atau lebih lazimnya menjatuhkan satu-satu individu, kumpulan atau institusi.
Propaganda juga lebih dirujuk kepada tuduhan berat sebelah dan membesar-besarkan keburukan. Kadang-kala propaganda politik misalnya datang dengan cukup halus, terutama jika pilihan raya sudah berada di selekoh berhampiran, atau ketika genderang perang ingin dicanang.
Kelompok Nazi di Jerman semasa awal Perang Dunia Kedua sebagai contoh menggunakan filem sebagai hebahan untuk memanaskan api perang. Ia membakar kumpulan rakyat Jerman yang gila untuk membenci kelompok lain seperti gipsi, homoseksual, dan tentunya; Yahudi. Justeru filem juga kadang-kala datang dengan propaganda kaum atau agama, atau kepercayaan tertentu. Yakni propaganda kanan yang boleh mencetuskan keganasan dan perang secara sejagat.
Untuk mengesan propaganda tidaklah sukar. Filem propaganda selalunya agak langsung dan tidak (diulang; tidak) mempunyai lapis-lapis sasterawi atau visual yang boleh diperdebatkan. Dialognya kebiasaan adalah telanjang dan polos. Kalau wataknya memang ingin mengampu, maka akan ada satu dialog yang bertujuan mengampu penuh. Dialog ampu ini akan disertakan dengan adegan dramatisasi yang banyak. Sebagai contoh, aksi lasak di angkasa, atau aksi seni mempertahankan diri yang lincah. Semuanya untuk membakar semangat dan meletuskan dari dalam diri gejala wow, agar penonton yang keluar pintu panggung untuk masuk ke pintu tandas (setelah lama menahan) untuk menjadi audien yang dibasuh, lantas suci, taksub, berkeinginan untuk melakukan sesuatu yang selalunya suam-suam kuku.
Hal ini dalam bidang kajian filem ada disebut oleh J. Dudley Andrew dalam buku teks yang monumentalnya, ‘The Major Film Theories: An Introduction’ (1976), iaitu ketika membahaskan tradisi formatif gaya Sergei Eisenstein:
This dramatic level begins to dissolve into an even higher level of generality within the spectator’s mind. He sees the story as merely a single instance of a general theme which could be stated by other stories and other oppositions. At the highest level, then, the spectator becomes aware of the central problem or problem which the filmmaker had hoped to engender within him. The film has functioned as a machine, utilizing reliable fuel (attractions), energized to create a steady stream of motion (montage), developing a controlled and total dramatic meaning (story, tone, character, etc.), leading toward an inevitable destination (the final idea or theme).
Yang mana filem seperti dinyatakan dalam kutipan di atas, setelah naratifnya dibungkus dengan pelbagai drama akan menjadi mesin untuk menggesa ketertarikan, mengalirkan perasaan dan pengertian mendalam menerusi cerita, nada yang ditentukan dengan paparan watak. Ia membawa penonton kepada ‘rasa’ secara penuh emosi, kepada ‘total dramatic meaning’ yang ingin mengingatkan audien kepada ‘inevitable destination’, katakan ketuanan sesebuah bangsa.
Makanya, makna bawah sedar yang ingin disebarkan sebagai ‘the highest level’ seperti yang disebut J. Dudley Andrew itu mungkin sahaja adalah kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada pemimpin, pengukuhan konsep feudalisme, dan ingatan bahawa penguasa (menteri atau perdana menteri katakan) adalah juga bayang-bayang Tuhan di muka bumi.
Tentu untuk menjadikan ia berkesan dan diingati oleh penonton yang akan pulang ke rumah, sebab pilihan raya sudah dekat, maka kata-kata tersebut harus dilontarkan secara penuh penghayatan dari watak-watak dalam filem. Filem sebetulnya boleh lebih terselamat dari kesendengan sejarah dan penyuguhan propaganda bangsa atau agama jika karyawannya reti bahasa filem. Gambar bergerak adalah bahasa filem. Dan bahasa filem bukan sahajalah pada dialognya. Tetapi selalunya pembikin filem propaganda memang tidak tahu atau mempersetankan bahasa filem.
Kadang-kala pemilihan seseorang pelakon sebagai pemegang watak utama juga menentukan niat propaganda filem tersebut. Ini secara mudahnya oleh orang filem kita sebut sebagai ‘casting’. Ini kerana pemilihan pelakon yang memang aktivis parti tertentu misalnya barangkali dapat dibaca sebagai hanyalah satu lagi jentera politik parti tertentu.
Mungkin, produser perlu tunduk kepada pemberi dana. Ada juga kes pemimpin politik sendiri ikut berlakon, sebab itulah peluangnya menyentuh orang terbanyak (masuk panggung) kerana takut dihakimi di mahkamah atau di kotak undi.
Nah katakan anda sebagai pembaca kini menjadi seorang pelajar kritikan filem di fakulti seni persembahan atau katakan siswa di ASWARA, justeru setelah membaca nota kuliah di atas; sila jawab: apakah persamaan yang ada pada filem Top Gun: Maverick dan Mat Kilau selain pecah panggung? - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.